Wednesday, March 26, 2014

POCONG GEMPARKAN AUDITORIUM MPAJ !!


Usaha yang dirintis kumpulan Geliga Merah Opera (GMO) sejak tahun lalu semakin menampakkan kejayaan.


Penerbitnya yang juga pengarah Raja Azrey Raja Kamaruzzaman kini mampu tersenyum apabila garapan terbarunya, teater Pocong Bukit Pasir yang dipentaskan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 21 hingga 23 Mac lalu menerima sambutan hebat daripada penonton.

Ternyata peminat sudah kenal dengan barisan artis yang terbabit dengan kumpulan ini seperti Lokman Harmin, Black Azmir, Shazli Cuit, Abu Mamu dan Mamak Cuit dan tertung­gu-tunggu lakonan mereka. 

Persembahan mereka turut dibantu 10 pelakon lain yang digilap daripada bengkel teater yang dianjurkan Raja Azrey dengan kerjasama MPAJ.

Sememangnya bukan mudah untuk menarik penonton memenuhi tempat duduk dalam auditorium selama tiga malam, lebih-lebih lagi persembahan dikenakan tiket.


Bagaimanapun GMO berjaya melakukannya dan usaha ini wajar dipuji serta perlu dicontohi oleh kumpulan teater lain. Jika kena strategi dan cara promosi, tidak mustahil peminat akan turun padang beramai-­ramai menyaksikannya.

Menggambarkan keadaan di sebuah kampung, pentas sederhana besar diisi de­ngan prop tanah perkuburan, bengkel penggali kubur dan warung tempat berkumpul. 

Keseluruhan cerita ini berkisarkan kisah pocong yang membuat huru-hara mengganggu penduduk Kampung Pasir. 

Walaupun berkonsep komedi, Pocong Bukit Pasir mempunyai pengajaran tersendiri berkenaan sikap amanah yang sering diabaikan oleh orang kita. 

Sesuai dengan nama­nya, peminat berasa seram apabila pentas dibuka dengan berlatar tanah perkuburan yang dihiasi pocong. Namun ketakutan itu hanya sementara kerana mereka mula ketawa apabila pocong-pocong ini menyanyikan lagu Havoc nyanyian Joe Flizzow yang ditukar liriknya menjadi lebih lucu. 

Elemen seram dan suspen diselang-selikan dengan pengucapan dialog berunsurkan komedi menjadikan penonton tidak bosan mengikuti kesudahannya. 

Di sinilah terpapar kebijaksanaan Raja Azrey dan barisan pelakonnya memainkan emosi penonton. Tanpa skrip khusus dan lebih kepada pengucapan spontan, mereka boleh menuturkan apa saja dialog terkini dan relevan dengan cerita ini.

Tidak lupa, pemilihan beberapa lagu popular yang diselitkan dalam teater ini berjaya menyuntik kelucuan tersendiri. 

Ketika pentas digelapkan untuk pertukaran babak, muncul seekor pocong di barisan tempat duduk penonton bertujuan menyakat mereka. Ini sudah cukup membuatkan suasana bertambah gamat dengan jeritan ketakutan penonton wanita.

Pocong Bukit Pasir mengisahkan Pak Ali, se­orang penggali kubur dan pembuat batu nesan sering diganggu pocong. Kejadian menyeramkan ini turut dialami oleh orang kampung. Dia turut mempunyai pembantu iaitu Malek dan Samad yang merencana 
pel­bagai agenda kerana pendapatan mereka berkurangan akibat tiada penduduk yang meninggal.

Dalam kekalutan itu, Som anak Long Piah pula menuntut janji Pak Ali terhadap arwah bapanya. 

Idea garapan skrip Raja Azrey ini sememangnya menarik. Biarpun berteka-teki, peminat akan berpuas hati dengan kesudahannya pada penghujung cerita.

Secara keseluruhan teater ini memang menghiburkan. Abu Mamu dan Mamak Cuit sememangnya menonjol dan bijak bermain dengan situasi. 

Bagaimanapun, unsur jenaka yang berlebihan terutama ketika babak sedih dan penting dilihat agak mengganggu ‘mood’ penonton.

Apapun gandingan semua pelakon teater Pocong Bukit Pasir berjaya membuatkan penonton terhibur dan melangkah keluar dari Auditorium MPAJ dengan kepuasan.

Raja Azrey yang ditemui melahirkan perasaan gembira dan puas kerana teaternya berjaya menarik kehadiran ramai penonton.

“Alhamdulillah, nama GMO semakin dikenali. Percaturan saya menampilkan genre komedi seram amat tepat kerana lebih santai dan digemari ramai penonton. Mereka ada perasaan takut, tapi pada masa sama nak mengetahui apa misteri yang nak dirungkai.

“Ini adalah pembuka pentas pada tahun ini dan seterusnya GMO akan tampil dengan naskhah yang lebih menarik dan mencuit hati,” katanya yang bakal mengarahkan teater Monodrama Lagenda Dato Dol Said (Orang Kaya Seri Raja Merah) pada 15 hingga 18 Mei berkemungkinan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas