Saturday, March 22, 2014

Launtan Hindi juga penuh misteri..

Cabaran menanti di Lautan Hindi


Imej satelit dari selatan Lautan Hindi, yang dikaitkan dengan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS), jika disahkan benar, bakal menyaksikan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) sangat mencabar.


Keadaan Lautan Hindi yang sentiasa bergelora dengan angin mencapai kelajuan 40 knot (74km/sejam) serta ombak sehingga 10 meter, adalah sesuatu yang sukar ditempuh oleh anggota penyelamat yang menggunakan kapal penyelamat kecil. 

Kedudukan lokasi penemuan objek pada jarak 2,500 kilometer dari Perth, Australia, menyukarkan pesawat penyelamat ringan seperti helikopter untuk membantu, tanpa sokongan kapal induk berdekatan. 

Kedalaman Lautan Hindi antara 3,000 hingga 8,000 meter, memerlukan kelengkapan khusus seperti pesawat selam (Submersible) atau Kenderaan Kawalan Bawah Laut (ROUV) yang direka khas untuk menyelam dan menyelamat di laut dalam.

Selain itu, anggota penyelam juga berdepan risiko kerana kelajuan arus bawah permukaan laut yang tidak menentu dan berubah secara mengejut.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automatif dan Kejuruteraan Laut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Pakharuddin Mohd Samin, menyifatkan Lautan Hindi yang sangat luas, menyukarkan operasi mengesan MH370 sekiranya benar jatuh di kawasan itu.

Katanya, keupayaan mencari bergantung kepada kepakaran, teknologi dan logistik yang diguna pakai berikutan kelemahan dari aspek itu, sudah pasti melambatkan operasi. 
“Sepatutnya penyertaan satelit, radar kapal dan pesawat Orion dan Poseidon sudah memadai bagi pengesanan. Operasi mengesan perlu segera bagi memastikan kesahihan objek dijumpai sebelum penumpuan lokasi diperluaskan pada lingkungan 200 kilometer (km) dari objek terbabit.

“Jika pesawat meletup atau terjunam ke laut dan berkecai, pelbagai barang berkaitan pesawat pasti terapung. Jika tenggelam, beberapa bahagian pesawat pasti dapat dikesan kerana letupan pada ekor, tidak akan menjejaskan kepala, begitulah sebaliknya,” katanya kepada BH, semalam. 

Pakharuddin berkata, pasukan SAR perlu melakukan kajian terlebih dulu kerana Lautan Hindi sangat dalam dan gelap termasuk arus deras sudah pasti menjadi punca kegagalan operasi hingga mengambil masa yang lama.

“Kita tidak semestinya perlu mencari keseluruhan pesawat terbabit, namun dengan menjumpai kotak hitam terlebih awal, ia mampu menjadi kunci persoalan yang timbul selama ini,” katanya.

Pensyarah di Pusat Teknologi Marin Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Omar Yaakob, berkata kedudukan lokasi yang sangat jauh menyukarkan kapal kecil menyertai operasi SAR berikutan keadaan Lautan Hindi yang sangat bergelora.

Katanya, kapal biasa hanya mampu meluncur dengan kelajuan 40 knot dan kapal besar pula, antara 15 hingga 20 knot, yang sangat jelas mengambil masa untuk sampai ke lokasi.

“Ketika di lokasi, keadaan laut yang bergelora, angin kencang dan ombak tinggi sudah pasti boleh menyebabkan kapal kecil tidak dapat berada dalam keadaan yang stabil dan ini menyebabkan Malaysia terpaksa meminta bantuan peralatan dan kenderaan negara lain.

“Hanya kapal bersaiz besar atau setaraf pengangkut besar jenis USS dapat berada di lokasi terbabit dengan stabil,” katanya.

Omar berkata, proses menyelam memerlukan kelengkapan khas seperti pesawat selam (Submersible) atau Kenderaan Kawalan Bawah Laut (ROUV) yang direka khas untuk berdepan tekanan tinggi pada kedalaman tiga kilometer serta keadaan gelap.

“Arus deras boleh memindahkan objek dari lokasi asal. Ini sudah pasti melambatkan operasi seperti dialami pesawat Airbus, Air France 447, yang hilang di Laut Atlantik pada 1 Jun 2009, yang mengambil masa dua tahun sebelum kotak hitamnya ditemui.

“Sebahagian besar penumpang pesawat terbabit juga sehingga kini, gagal ditemui,” katanya.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Cabaran mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kini bertambah rumit dengan jangka hayat bateri kotak hitam itu kini hanya mempunyai masa lebih kurang dua minggu sahaja lagi untuk dikesan.

Menurut Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Rizal Arshad, kedalaman lautan Hindi yang mencecah 4000 meter membuatkan misi mencari menjadi semakin sukar.

Beliau membuat perbandingan dimana kedalaman Lautan Hindi adalah sembilan hingga sepuluh kali ganda daripada ketinggian Menara Berkembar Petronas iaitu 420 meter.

“Di sesetengah kawasan kedalamannya mencecah hingga 7000 meter. Kotak hitam itu kini mempunyai masa lebih kurang dua minggu untuk mengeluarkan isyarat sonar.

“Selain itu cabaran seterusnya ialah mengenal pasti lokasi. Kita tidak tahu dimana lokasinya dan dengan dengan Lautan Hindi yang bersifat dinamik dimana ia berubah menyukarkan lagi proses mencari,” kata Dr Rizal.

Beliau menambah, Lautan Hindi merupakan antara lautan yang kuat arusnya selain dasarnya yang kerap berubah.

Oleh itu menurut beliau jika kotak hitam tersebut bergerak atau dilitupi pasir di dasar laut, ia akan merencatkan isyarat yang boleh diberikan.

Selain itu, kekangan teknologi juga antara faktor yang memberi cabaran kepada pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mereka.

Lautan Hindi atau juga dikenali sebagai ‘Lonely Ocean’ amat jarang dikunjungi pedagang untuk belayar di kawasan tersebut.

Menurut Dr Rizal, rata-rata teknologi yang ada kini hanya boleh mengesan objek sedalam 500 meter sahaja dimana beliau mencerminkan Lautan Hindi sebagai lautan yang ‘ganas’.

“Isunya ialah menggunakan kapal untuk kita menggunakan teknologi sonar, iaitu tenaga bunyi untuk melakukan pemetaan di dasar laut. Kapal-kapal ini kebanyakkannya hanya boleh melakukan pemetaan pada kedalam 1000 meter sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau turut membuat perbandingan antara misi pencarian pesawat Air France 447 yang terhempas di lautan Atlantik pada 2009 dengan kehilangan MH370 dimana menurutnya ia amat berbeza.

“Kotak hitam tidak direka untuk menahan tekanan yang besar dalam lautan dengan kedalaman melebihi 4000 meter. Dalam kes Air France 447, mereka tahu lokasi pesawat itu terhempas, tetapi kita tidak tahu dimana MH370 berada.

“Disebabkan mereka tahu lokasi Air France 447, jadi ini telah memudahkan mereka untuk menggunakan segala jenis teknologi yang ada untuk mengesan kotak hitam pesawat tersebut,” kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas