Sunday, March 23, 2014

Bukan Saja Di Malaysia, Memburu Hantu Kian Popular Di Amerika Syarikat..

KETIKA tengah malam menjelma, sekumpulan orang sibuk dengan satu aktiviti di sebuah padang rumput di tempat bekas depoh kereta api lama di Urbana, Ohio, Amerika Syarikat (AS).



Kira-kira 90 orang melihat kamera penglihatan waktu malam untuk menunggu kereta api hantu Lincoln di mana sebahagian orang percaya ia melalui bandar itu.

Pada tahun 1865, kereta api itu membawa mayat Presiden Lincoln ke Springfield, Illinois selepas beliau ditembak untuk dikebumikan.


Aktiviti memburu hantu seperti itu semakin menjadi minat ramai orang di negara tersebut.

Populariti kumpulan-kumpulan memburu hantu seumpama itu adalah kesan daripada program televisyen, internet dan peningkatan peralatan berteknologi tinggi yang mudah diperoleh.

“Golongan akademik tidak mempercayai semua itu,” kata seorang penolong profesor di Universiti Urbana yang mengundang pemburu hantu tersebut dan mengendalikan aktiviti sedemikian dengan melibatkan 80 pelajar dan penduduk.

“Saya berharap terdapat petunjuk bahawa terdapat aktiviti paranormal di sekitar kawasan ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang aktiviti paranormal dikesan berlaku ketika memburu hantu itu dilakukan pada bulan lalu.

“Program realiti hantu menyebabkan minat kebanyakan orang untuk melibatkan diri dalam aktiviti itu semakin meningkat,” kata pengasas Kumpulan Hantu Ohio, James Willis.

Kumpulan berkenaan mengawasi landasan kereta api yang dikatakan dilalui oleh kereta api hantu Lincoln itu.

Peningkatan gelombang mencari hantu itu berlaku berikutan terdapat program-program di televisyen seperti

Ghost Whisperer, Medium, Paranormal State dan Ghost Hunters.

“Jika anda mahu terlibat secara serius dalam bidang itu, anda perlu mengetahui bahawa sebahagian perkara yang terdapat di luar sana adalah sesuatu yang bukan realiti.

“Mereka mahu mencari jawapan (terhadap perkara itu,)” katanya.

Bilangan penonton realiti Ghost Hunters di rangkaian SCI FI sudah meningkat dua kali ganda sejak ia ditayangkan pada 2004.

Sebelum ini penonton program itu adalah 1.3 juta sebelum meningkat kepada 2.6 juta.

“Terima kasih kepada program Ghost Hunters di rangkaian SCI FI,” kata pengasas sebuah kumpulan pemburu hantu, Lexington, Patti Starr.

“Menerusi program itu, saya berpendapat bahawa orang ramai mendapati kami amat serius dengan apa yang kita lakukan,” tambahnya.

Pihak Tentera Udara AS juga pernah mengundang kumpulan Ghost Hunters untuk menyiasat laporan mengenai kejadian luar biasa yang berlaku di Pangkalan Tentera Udara Wright-Patterson dekat Dayton.

Dalam satu episod program realiti televisyen itu, terdapat cahaya kilat dan kejadian pintu dikunci yang tidak dapat dijelaskan.

Beberapa kumpulan lagi juga berpendapat terdapat peningkatan dalam minat untuk memburu hantu.

Sebuah kumpulan pemburu hantu, Midwest Haunting yang berpangkalan di MaComb, Illinois menawarkan aktiviti memburu pada bulan Oktober lalu di beberapa bangunan, kubur dan lain-lain tempat yang dipercayai dihuni oleh hantu.

Bilangan peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu meningkat dari 600 pada 2006 kepada 1,800 orang pada tahun lalu.

Sebanyak 40 dari 60 orang yang menghadiri satu majlis makan malam di Erie, Pennsylvania, baru-baru ini yang mempromosikan Kumpulan Penyelidikan dan Kajian Paranormal meminta jika mereka boleh menyertai kumpulan itu untuk memburu hantu.

Sementara itu, penyelidik kanan dengan Jawatankuasa Penyiasat Hal Mencurigakan, Joe Nickell yang beribu pejabat di New York menyatakan dia sudah menyiasat berpuluh-puluh laporan hantu sejak 1969 tetapi gagal memperoleh sebarang bukti.

WILLIS meletakkan kamera video ketika mahu menyiasat aktiviti paranormal di landasan kereta api di Urbana, Ohio.

Menurutnya, peralatan yang digunakan untuk mengesan hantu itu sebenarnya tidak direka khas untuk tujuan tersebut.

Pemburu hantu kerap menggunakan alat pengesan elektromagnet, jangka suhu yang boleh menentukan lokasi yang sejuk dan mikrofon tanpa wayar.

Dia berkata, peda kebiasaanya cahaya berbentuk bulat yang pernah dirakamkan oleh kamera hanya zarah abu yang kecil atau bahan yang terdapat dekat lensa kamera.

Nickell menjelaskan suara yang dirakamkan di tempat kejadian mungkin isyarat atau bunyi bising dari alat perakam suara dan peralatan pengesan elektromagnet yang berjaya melakukan sebarang bentuk pengesanan mungkin disebabkan berlaku kecacatan pada pendawaian atau menara gelombang.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas