Suatu hari seorang profesor bijak pandai sedang menyeberang sebuah sungai yang luas dengan sebuah sampan yang didayung oleh seorang lelaki.
Di tengah perjalanan, profesor bertanya, "Kamu pandai menulis dan membaca?"
"Tidak tuan. Saya buta huruf, " jawab pendayung sampan.
"Oh, kamu sudah hilang separuh dari kehidupan kamu! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh keupayaan untuk hidup berjaya."
Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu.
Sejurus kemudian profesor bertanya lagi, "Kamu ada membuat simpanan wang untuk masa depan?"
"Tiada tuan. Pendapatan saya hanya cukup-cukup makan sahaja." jawab pendayung sampan lagi.
"Kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tidak menyimpan wang boleh hidup dengan selesa pada masa tua nanti."
Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan.
Mereka berdua bergegas mengambil apa sahaja jua bekas untuk mencedok air itu keluar dari sampan. Namun usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras masuk. Ternyata sampan itu akan tenggelam!
Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya kepada profesor, "Tuan! tuan pandai berenang?"
"Er..er..saya tidak tahu berenang!" jawab profesor panik.
"Kalau begitu tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!" kata sipendayung sampan.
(rujukan: Solusi)
Apakah pengajaran dari cerita ini?
jawapannya:
Allah tidak jadikan manusia ini bodoh, tetapi Dia jadikan setiap insan mempunyai "kepandaian" yang berlainan , masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi, tidak ada manusia yang bodoh, yang ada hanya manusia dengan kepandaian yang berbeza.
No comments:
Post a Comment