Persoalan ini pun telah mendapat perhatian dari para sarjana Islam. Ramai yang telah mengkajinya dengan terperinci. Malah ada ekspedisi-ekspedisi silam yang telah dilakukan untuk mencari di mana letaknya tembok tersebut. Untuk mengelakkan dari menulis terlalu panjang, saya ringkaskan di sini bahawa setakat ini seolah-olah terdapat satu persetujuan bahawa lokasi Tembok Zulkarnain sudah ditemui. Saya telah melakukan carian demi carian untuk mendapatkan foto Tembok Zulkarnain tetapi masih gagal. Namun begitu, dalam artikel ini saya paparkan kawasan lokasi Tembok Zulkarnain untuk kita sama-sama renungkan.
Kawasan yang dipercayai terletaknya tembok Zulkarnain berada di Utara Georgia, selatan Rusia, iaitu di banjaran Gunung Caucasus (bahagian tengah Greater Caucasus Mountains), iaitu di kaki Gunung Kazbek. Kawasan ini dikenali sebagai Lorong Dariel atau Daryal (Dariel Pass, ketinggiannya ialah 3,950 kaki atau 1,204 meter dari aras laut). Kedudukannya berhampiran dengan Sungai Terek. Terdapat satu jalan tentera Georgia yang merentasi lorong ini (ini baru saja dibina oleh Rusia tahun 1850'an) dan sejak zaman silam ianya terkenal sebagai lorong yang dilalui untuk tujuan menjajah. Pada zaman silam, Lorong Dariel ini juga dikenali sebagai Gerbang Alan, atau Gerbang Caucasia, atau Gerbang Iberia.
Al-Marhum Abul Kalam Azad pun menyatakan begitu. Beliau mengakui bahawa di Georgia terdapat satu timbunan besar tembok yang dibuat daripada besi bercampur tembaga di Bukit Qawqaz (Caucasian Mountain) di suatu kawasan yang sempit iaitu antara dua bukit Darial (Dariel). Keadaan bukit itu curam memanjang dari Laut Hitam hingga Laut Qazwain. Ianya menghubungkan antara dua laut ini. Panjangnya 1,200 kilometer. Bukit Darial ini secara umumnya masih tidak terusik, masih teguh, mempunyai bentuk berlapis-lapis. Di sana ada suatu timbunan yang tinggi daripada besi tulen bercampur tembaga tulen di Tembok Darial. Ia adalah merupakan suatu hasil kerja menyumbat satu lubang yang ada di situ. Penduduk-penduduk tempatan takut untuk mengusik atau mengubahnya. Hanya perubahan semulajadi saja yang berlaku di situ. Terdapat proses penerokaan tanah berlaku di sebelah-menyebelah tembok itu, tapi tidak menjejaskan tembok itu sendiri. Ini menyebabkan wujudnya ruang-ruang kosong antara batu-batu bukit dan Tembok Zulkarnain, yang masih kukuh hingga sekarang. Nampaknya manusia di atas muka bumi pun tidak mampu untuk melubanginya mahupun mendakinya.
Banjaran Gunung Caucasia merupakan satu rekahan (fracture, sebagaimana "geological fault-line"), dan ia adalah pembahagi bukan saja dari sudut geografi dan budaya etnik, malah juga dari sudut geopolitik. Terdapatnya kaum yang ganas dan membuat kerosakan (bangsa Monggol) di sebelah utara menyebabkan Tembok Besar China telah dibina, begitu juga Tembok Hadrian (Roman Limes). Ada yang berpendapat bahawa Gerbang Caucasia dibina untuk melindungi Timur Tengah (dari kaum nomad bangsa Eurasia).
Gerbang Caucasia juga sering disebut sebagai "Pillars, Stronghold" atau "Iron Gate of Alexander The Great" oleh penulis-penulis klasik. Barat juga menganggap bahawa Tembok Zulkarnain (Gerbang Caucasia) ini dibina untuk mengepung Gog dan Magog dari melakukan keganasan dan kerosakan yang lebih banyak. Pada hari ini, lambang Georgia (matahari, bulan dan lima bintang) kononnya adalah sempena lambang Iskandar (Zulkarnain).
Kawasan pergunungan Caucasus ini agak unik. Di sini terdapat 62 bahasa yang dituturkan oleh 5 keluarga besar, budayanya juga berbagai. Kawasan ini juga terkenal sebagai kawasan yang selalu berlaku peperangan antara kaum, pertumpahan darah dan peperangan kolonial sejak zaman berzaman. Lorong Dariel (tempat Tembok Zulkarnain) berada di kaki Gunung Kazbek (5033m/16,800') dan Elbrus (5642m/18,800'). Kedua-dua gunung ini adalah gunung berapi yang aktif tapi sudah tidak meletup sejak 500 tahun lampau, menyebabkan penduduk tempatan menganggap ianya gunung berapi yang sudah mati.
Saya telah membuat beberapa siri carian di Internet, dan telah terjumpa antara bukti-bukti bahawa penduduk silam di kawasan ini mempunyai teknologi yang tinggi. Di kawasan Caucasia ini banyak ditemui batu-batu besar yang disusun (megaliths) yang dipercayai merupakan kepuk kubur (dolmens). Batu-batu ini telah dipotong rapi (high-precision) dan di batu tengahnya telah ditebuk satu lubang bulat. Kehalusan ukiran pada batu adalah amat tinggi, dianggap sehalus kemahiran pengukir permata (jeweller).
KESIMPULAN
Pada hemat saya kaum Yakjuj dan Makjuj ini mempunyai teknologi yang tinggi (mungkin yang diwarisi dari kaum yang telah musnah ketika taufan Nuh a.s.) dan masih membangunkan teknologinya hingga saat ini. Mengenai siapakah mereka ini sebenarnya, sama ada Mongol atau Tartar atau dari keturunan Yahudi adalah pendapat-pendapat yang hingga kini belum dapat disahkan. Mengenai di manakah Yakjuj dan Makjuj sekarang ini, saya berpendapat bahawa mereka ini terkepung di bawah bumi, bukan di atas bumi dan bukan pula di dimensi yang lain. Bolehlah diputuskan bahawa mereka ini adalah anak-anak Adam dan ciri-ciri mereka adalah sebagaimana manusia di atas muka bumi juga. Para sarjana Islam telah menolak kemungkinan bahawa mereka ini berupa seperti binatang atau berbentuk ganjil dan hodoh.
Satu perkara yang elok dicatat ialah ada sarjana berpendapat bahawa pada akhir zaman nanti kaum Yakjuj dan Makjuj ini keluar dari banyak tempat, bukan hanya dari Tembok Zulkarnain yang telah ditebuk. Keadaan mereka keluar itu ialah secara pantas, berpusu-pusu atau berlumba-lumba, iaitu suatu keadaan keluar dari tempat yang sempit. Saya berpendapat bahawa pada akhir zaman mereka ini akan meluru keluar dari tempat yang tinggi mungkin bermaksud bahawa mereka keluar dari kawasan pergunungan, bukan saja dari pergunungan Caucasus (Tembok Zulkarnain) tapi kawasan-kawasan tinggi yang lain seperti Himalaya. Kemungkinan mereka juga menebuk bekas kawah gunung berapi yang telah mati juga tidak mustahil. Apa pun, ini hanyalah pendapat saya yang serba tidak tahu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui bagaimanakah keadaan Yakjuj Makjuj kini dan ketika ia keluar nanti.
Satu perkara yang elok dicatat ialah ada sarjana berpendapat bahawa pada akhir zaman nanti kaum Yakjuj dan Makjuj ini keluar dari banyak tempat, bukan hanya dari Tembok Zulkarnain yang telah ditebuk. Keadaan mereka keluar itu ialah secara pantas, berpusu-pusu atau berlumba-lumba, iaitu suatu keadaan keluar dari tempat yang sempit. Saya berpendapat bahawa pada akhir zaman mereka ini akan meluru keluar dari tempat yang tinggi mungkin bermaksud bahawa mereka keluar dari kawasan pergunungan, bukan saja dari pergunungan Caucasus (Tembok Zulkarnain) tapi kawasan-kawasan tinggi yang lain seperti Himalaya. Kemungkinan mereka juga menebuk bekas kawah gunung berapi yang telah mati juga tidak mustahil. Apa pun, ini hanyalah pendapat saya yang serba tidak tahu. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui bagaimanakah keadaan Yakjuj Makjuj kini dan ketika ia keluar nanti.
Kisah Yakjuj Makjuj dan Zulkarnain wajib dipercayai oleh seluruh umat Islam kerana ianya secara jelas termaktub dalam Al-Qur'an. Kerana itu jugalah ulama Islam bukan saja telah meneliti berbagai sumber hadis, malah telah menghujahkan pendapat mereka dengan panjang lebar. Kajian demi kajian yang telah dilakukan sebelumnya telah dikaji semula oleh sarjana yang kemudian dengan teliti sekali. Begitulah sikap pengkaji Muslim sejak dari zaman kegemilangan Islam lagi. Sepatutnya sikap ini dapat diteruskan oleh sarjana Muslim zaman ini dan seterusnya zaman berzaman. Walaupun identiti Zulkarnain dan juga Yakjuj dan Makjuj belum lagi bertemu kata putus, sebenarnya usaha-usaha para pengkaji mempunyai hikmah yang amat besar. Mereka telah menyingkap kembali sejarah kegemilangan banyak empayar silam dan ini telah didokumenkan untuk tatapan generasi kemudian. Pada hemat saya, kisah Yakjuj Makjuj dan Zulkarnain dalam Al-Qur'an adalah salah satu dari mukjizat Al-Qur'an itu sendiri. Ianya satu berita misteri besar yang mendorong banyak pengkaji untuk melakukan kajian demi kajian, secara berterusan zaman-berzaman selagi jawapan yang pasti belum ditemui. Umat Islam perlu memperhatikan, menyelidik dan mengkaji untuk menjadi umat yang hebat dan kaya dengan ilmu pengetahuan. Dan jangan lupa, itu semua pun adalah atas rahmat Allah Yang Maha Bijaksana.
Sekian.
baca artikel sebelumnya | Kisah Zulkarnain & Yajuj Majuj Part 1
Sekian.
baca artikel sebelumnya | Kisah Zulkarnain & Yajuj Majuj Part 1
No comments:
Post a Comment