Wednesday, April 22, 2015

SAYA BERKEMBAN IKUT ARAHAN


ARTIS dan isu berkemban bukanlah baharu. Sebelum ini pun, banyak penerbitan drama dan filem melibatkan artis berkemban mendapat kecaman sesetengah pihak yang tidak selesa dengan imej sedemikian.


Justeru pelakon Izreen Azminda yang mengetahui dirinya perlu berkemban dalam pementasan teater arahan Erma Fatima, Takhta 3 Ratu, menyedari hal ini akan jadi isu di kemudian hari sebaik sahaja memutuskan mahu terima tawaran tersebut.

“Dari awal lagi saya tahu watak tersebut memerlukan saya berkemban. Malah Erma juga bertanya sama ada saya sedia atau tidak untuk tampil sedemikian. Apabila saya terima tawaran membawakan watak Galuh, saya tahu ia akan jadi isu. Tapi saya anggap ia normal apatah lagi setelah dipentaskan.

“Segala komen dan kritikan adalah di luar kawalan saya. Lagi pula saya bukannya nak sangat berkemban, cuma sekadar menjayakan tuntutan watak tersebut. Saya buat berdasarkan logik cerita. Seandainya penampilan Galuh itu dipersembahkan seperti Tun Teja, memang tak kena. Jadi saya harap isu ini tidak dipandang negatif,” ujarnya kepada portal Media Hiburan.


Sebelum memulakan pementasan, Erma sendiri sudah menyatakan dia enggan karya terbaharunya itu dipandang negatif kerana wujudnya watak pelakon berkemban.

Pementasan Takhta 3 Ratu membariskan senarai pelakon terkenal dan berbakat besar antaranya Beto Kusyairy, Awie, Erra Fazira, Azri Iskandar, Soo Wincci, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Pementasannya akan berlangsung dari 13 hingga 22 Disember ini di Istana Budaya (IB) dan tiket-tiket berharga RM50 hingga RM350 boleh dibeli di kaunter IB atau menerusi laman www.airasiaredpix.com. – MYNEWSHUB.CC

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas