Sunday, March 8, 2015

PAS keluar PR, bersama Umno sumber dari mana?

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 09 Mac 2015.

KALAU kita sokong kenyataan Presiden dan Majlis Syura, maka kita mestilah memperkukuhkan PR, kerana salah satu dari kenyataan mereka semua ialah PAS akan tetap bersama PR. Maka tidak timbul soal keluar dari PR.

Demikian juga seandainya tahaluf kita bercanggah dengan syarak, tentulah Majlis Syura tidak akan membuat kenyataan untuk tetap bersama PR. Musuh politik kita sangat inginkan kita berpecah. Kita akui ada masalah dalam muafakat kita, namun permasalahan tersebut lebih bersifat isu bukan prinsip yang dilanggar oleh parti. Isu adalah subjektif kerana ia akan muncul di sepanjang zaman permuafakatan kita.

Di sinilah kebijaksanaan kita mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Dalam politik, isu akan sentiasa ada, kerana ia adalah makanan bagi politik. Tanpa isu politik akan mati.

Apa yang perlu disedari dalam zaman media terbuka ini, bukan semua penulisan dan pandangan perlu dibahas. Sebagai contoh untuk keluar dari muafakat PR, ia bukan boleh dilakukan dengan kenyataan satu dua pimpinan atau ahli, ia mesti dibahas dan diterima oleh muktamar.

Demikian juga ada yang menuduh PAS akan bersama dengan Umno walau berpuluh kali ditegaskan dan dinafikan oleh pimpinan, masih ada yang percaya sedangkan semua dasar utama dan perkara besar mesti dibahas dan diterima dalam muktamar.

Kita perlu fahami ada media dan blogger hidup dengan melaga-lagakan pimpinan, mensensasikan keadaan serta manipulasi sesuatu isu. Blogger dan penulis upahan inilah yang mewujudkan pelbagai kegawatan, kecelaruan dan perpecahan dalam masyarakat. Di sinilah keperluan ahli merujuk sumber rasmi parti sahaja sebagai sumber utama, manakala penulisan lain tidak boleh dijadikan pegangan.

Malangnya ada dalam kalangan kita merasai ia sama sahaja dari mana sumber kita ambil, lebih malang apabila kita mengambil dari sumber musuh. Kalau rakyat Israel lebih percaya kata-kata pimpinan Hamas dari kenyataan pemimpin mereka, maka kita mesti yakin kepada kepimpinan presiden kita.

Tentulah aneh kalau ahli parti lebih sayang presiden lain daripada presiden sendiri, atau lebih tertarik kepada dasar parti lain dari parti sendiri. Kalau terjadi begitu mungkin dia tersilap parti atau tidak hadir program tarbiyah parti.

Kita memilih PAS kerana dasar dan tujuan perjuangannya. Inilah yang membezakan PAS dengan parti yang lain. Parti ini sentiasa berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi di sepanjang laluannya. Terlalu banyak darah, airmata, keringat yang tumpah. Terlalu banyak penderitaan ahli ditekan, ditindas semata-mata kerana menyokong PAS. Jangan ada yang mengkhianati perjuangan ini.

Kita yakin Allah akan memelihara pimpinan dan ahli yang ikhlas dalam perjuangan ini. Musuh akan berusaha menghancurkan parti ini seawal penubuhannya, dan kita yakin ianya akan berterusan sehingga hari kiamat kerana itu adalah Sunnatullah.

Maka peliharalah hati dari buruk sangka, hasad dengki, khianat dan pelbagai penyakit lain dengan memelihara amalan peribadi. Jagalah solat-solat sunat, mathurat, bacaan al-Quran, ambillah bahagian dalam apa jua kerja jamaah walau sekadar menyusun kerusi. Peliharalah amalan hati, kerana bila hati rosak, tukarlah siapa pimpinan pun ia tetap tidak berpuas hati, kerana yang rosak adalah dirinya bukan jamaah atau kepimpinannya. - HARAKAHDAILY 9/3/2015

Penulis ialah Naib Presiden PAS.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas