KUALA LUMPUR - Jabatan Perdana Menteri hari ini menjelaskan bahawa pesawat eksekutif Airbus Corporate Jetliner (ACJ320) dibeli untuk menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang telah berusia 16 tahun.
JPM dalam satu kenyataan di sini berkata, kerajaan memperoleh ACJ320 melalui kontrak pembelian sewa beli untuk tempoh 15 tahun.
Pesawat BBJ itu akan dilupuskan bagi membiayai pembelian ACJ320.
Kenyataan itu bagi menjawab tuduhan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli di Parlimen hari ini bahawa ACJ320 itu untuk kegunaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut JPM, pesawat BBJ telah digunakan oleh MAS sejak 1999 sebelum kerajaan memperolehnya pada tahun 2003 untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong.
"Perbincangan untuk menggantikan BBJ telah dimulakan dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan kapal terbang itu semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.
"Perolehan pesawat ACJ320 dalam fleet pesawat eksekutif kerajaan dapat mengurangkan kos operasi, pengurusan dan penyelenggaraan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pesawat ACJ319," menurut kenyataan itu.
Menurut JPM, selain ACJ319 dan ACJ320, fleet pesawat eksekutif kerajaan termasuk kapal terbang yang lebih kecil iaitu pesawat Falcon yang diperolehi pada 1989 dan Global Express 2001, kata JPM. - Bernama
No comments:
Post a Comment