PKR dan DAP tetap hanya akan mencalonkan satu nama sebagai menteri besar Selangor iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail walaupun Sultan Sharafuddin Idris Shah menghendaki Pakatan Rakyat (PR) menghantar lebih daripada dua nama.
Melalui satu kenyataan lewat malam ini, dua parti itu berkata, hanya nama Dr Wan Azizah akan dipersembahkan untuk pertimbangan Sultan Selangor sejajar dengan konvensi yang diamalkan PR pada tahun lepas. "Ini sejajar dengan konvensi yang telah diamalkan secara berterusan dalam pelantikan menteri besar sebelum ini.
"Ia juga memandangkan Dr Wan Azizah sudah mendapat sokongan majoriti sekurang-kurangnya 30 orang ahli Dewan Undangan Negeri Selangor," menurut kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua. Kenyataan berkenaan turut melampirkan surat dari istana bertarikh 7 Mei, 2013 berkenaan pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Sambil merakamkan doa dan menjunjung kasih atas budi bicara Sultan Selangor, Pua dan Saifuddin berkata, keputusan berkenaan diambil dengan mengambil kira titah Sultan dan konvensi yang diamalkan sebelum ini dalam pelantikan Khalid apabila parti dalam PR mencadangkan beliau pada 2013. "Pencalonan ini diperkenankan dan diterima pakai oleh Sultan Selangor. "Oleh yang demikian, PKR dan DAP menjunjung titah Sultan dan akan mempersembahkan pencalonan Dr Wan Azizah untuk dipertimbangkan sejajar dengan konvensi yang diamalkan oleh PR dalam tahun 2013," kata mereka dalam kenyataan itu.
Sultan Selangor hari ini menangguh peletakan jawatan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sehingga pelantikan menteri besar baru dibuat. Baginda mahu PAS, DAP dan PKR setiap satu mengemukakan lebih daripada dua nama bagi memudahkannya menentukan calon yang layak. Khalid berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatannya kepada Istana Kayangan, Shah Alam hari ini, namun ia ditolak Sultan.
"Ini ialah tatacara yang pernah dilakukan oleh istana bukan saja semasa PR, tetapi juga semasa Barisan Nasional (BN) ingin menamakan mereka yang dicadangkan untuk dilantik menjadi menteri besar," katanya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) petang tadi. Khalid dipecat keahlian PKR pada 9 Ogos lalu selepas enggan berundur dan memberi laluan kepada Dr Wan Azizah untuk menjadi menteri besar.
Beliau kemudiannya memecat enam anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) daripada PKR dan DAP dan mentadbir Selangor dengan empat exco PAS. "Sultan Selangor menitahkan agar setiap pemimpin parti PAS, PKR, dan DAP mencadangkan lebih dua nama daripada parti-parti PR sebagai calon menteri besar Selangor bagi memudahkan Sultan Selangor menentukan calon berkelayakan dan seterusnya memberi perkenan untuk melantik mana-mana calon yang difikirkan layak.
"Ini adalah sejajar dengan konvensi yang diamalkan secara berterusan dalam perlantikan menteri besar Selangor sebelum ini," katanya dalam kenyataan yang dibacakan Khalid. Khalid dalam pertemuannya dengan sultan memohon maaf kepada baginda atas suasana politik masa kini sehingga menyebabkan pihak istana terheret sama. Katanya, beliau menyerahkan kepada baginda untuk mencari penyelesaian terbaik sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada pemerintah, institusi beraja dan pentadbiran awam. – TMI
No comments:
Post a Comment