Wednesday, August 20, 2014

KISAH POKOK KURMA MENANGIS


Jabir r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW biasanya menyampaikan khutbah dengan meletakkan di belakangnya batang pokok kurma.


Pada suatu hari datang seorang wanita dalam kalangan Ansar telah meminta izin daripada Nabi SAW untuk membuatkan mimbar untuk Baginda. Setelah mendapat persetujuan Baginda, beliau menyuruh pekerjanya yang mahir dalam bidang pertukangan untuk membuatkan mimbar itu.

Maka pada hari Jumaat berikutnya Rasulullah SAW mulalah menggunakan mimbar baharu itu dan meninggalkan batang pokok kurma yang biasanya menjadi tempat Baginda bersandar semasa khutbah sebelum itu. Lalu pokok kurma itu menangis bagaikan bayi. Nabi SAW memberitahu para sahabat dengan sabdanya yang bermaksud, "Sesungguhnya pokok kurma ini berasa sedih setelah ditinggalkan." (Riwayat al-Bukhari no.2095, Ahmad no.14151, al-Baihaqi dalam Dala'il an-Nubuwwah no.830.)

Dalam riwayat lain, daripada Thufail bin Ubay bin Ka'ab daripada ayahnya, dia berkata kepada Rasulullah SAW, "Wahai Rasul! Izinkanlah saya membuatkan mimbar untuk tuan bagi membolehkan tuan menggunakannya semasa khutbah Jumaat agar mereka dapat melihat nabi!" Lalu Ubay membuatkan untuk Nabi SAW mimbar yang terdapat tiga anak tangga.

Apabila Rasulullah menuju ke mimbar baharu itu, Baginda akan melalui pokok kurma yang merupakan tempat Baginda bersandar semasa menyampaikan khutbah sebelum itu. Tiba-tiba pokok kurma itu bergerak-gerak hingga hampir rebah.

Melihat keadaan itu Rasulullah SAW kembali kepadanya lalu mengusapnya hingga pokok itu tenang kembali. Setelah itu Nabi SAW kembali semula menaiki mimbar Baginda.
Menurut Ubay bin Ka'ab, apabila Masjid Nabawi mula dirobohkan untuk diperbaharui1, beliau telah mengambil batang pohon kurma itu untuk disimpan di rumahnya hingga batang pohon itu hancur dimakan anai-anai.2

Riwayat daripada Anas r.a. pula menyebut, mimbar itu mula dibangunkan apabila jumlah umat Islam bertambah menyebabkan Rasulullah meminta ditegakkan mimbar yang membentuk tiga anak tangga. Apabila mimbar tersebut siap dan Nabi SAW memulakan khutbah di atasnya, tiba-tiba kayu itu menangis seperti bayi. Anas meriwayatkan, beliau sendiri mendengar tangisan hinggalah Rasulullah turun mengusapnya dan pohon kurma kembali tenang.3

Riwayat daripada Ibnu Buraidah al-Aslami daripada ayahnya, bahawa Nabi SAW berkhutbah dengan berdiri dalam tempoh masa yang lama, hingga kelihatan Baginda seperti kurang selesa. Lalu para sahabat mengambil sebatang pohon kurma dan ditanam berdekatan tempat khutbah nabi bagi membolehkan Baginda bersandar padanya. Mulai waktu itu Nabi SAW sentiasa menjadikan batang pokok itu sandaran Baginda ketika berkhutbah.

Seorang warga asing yang kebetulan datang menziarahi Madinah melihat Baginda dalam keadaan kurang selesa, lantas dia mencadangkan agar dibina tempat yang selesa untuk Baginda berkhutbah. Dengan tempat itu diharapkan nabi dapat berdiri atau duduk mengikut keselesaannya. Nabi menerima pandangannya dan mengizinkannya membuat mimbar tersebut.

Sejak itu Nabi SAW menyampaikan khutbah dengan bersandar kepada mimbar yang baharu dan tidak lagi menggunakan pokok kurma tersebut. Peristiwa itulah yang menyebabkan pokok kurma itu menjadi sedih dan merintih sebagaimana rintihan unta kerana ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Menurut Ibnu Buraidah dia mendengar ayahnya menceritakan bahawa ketika Nabi SAW mendengar batang pohon itu menangis maka Nabi SAW turun memegangnya sambil berkata, "Sekarang engkau boleh memilih sama ada ditanam di tempatmu semula dengan cara itu engkau akan berkembang menjadi pohon yang subur seperti sebelumnya atau engkau ditanam di Syurga yang engkau akan tumbuh di sisi sungai-sungai dan mata air, lalu engkau akan mengeluarkan hasil berupa buah-buahan yang akan dipetik oleh para kekasih Allah. Apa pilihanmu?"

Ketika itu, ayah kepada Buraidah mendengar Nabi SAW berbisik dengan katanya, "Ya! Aku akan kabulkan permintaanmu."
Nabi mengulanginya dua kali. Setelah itu seorang sahabat bertanya dan jawapan nabi ialah: "Pokok itu memilih untuk aku menanamnya di Syurga." (Riwayat al-Darimi)

Ibnu Aqil memberikan komentar tentang mukjizat itu dengan katanya, kita tidak perlu berasa harian tentang kejadian ini kerana Allah SWT yang berkuasa menjadikan magnet untuk menarik besi kepadanya. Maka Dia juga berkuasa menjadikan Rasulullah menarik makhluk-makhluk yang lain kepada Baginda.4

1.Pada zaman Umar al-Khattab; Syarah Muhammad Fuad Abdul Baqi kepada Sunan Ibnu Majah.

2.Riwayat Ahmad no.21248 dan Ibnu Majah no.1414

3.Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Baihaqi no.828 dalam Dala'il an-Nubuwwah.

4.Rujuk asy-Syifa' fi Huquq al-Musthafa dan al-Wafa' Bi Ahwal al-Musthafa karangan Ibnu al-Jauzi.

Hikmah dan Pengajaran
•Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah ialah Risalah Rahmat untuk seluruh alam. Maka tidak ada makhluk Allah di atas muka bumi ini yang akan dizalimi andai syariat Allah dipatuhi sepenuhnya.
•Selain itu, pada diri Baginda terdapat seribu satu keberkatan yang bukan saja menjadi rebutan manusia seperti para sahabat, malah binatang dan tumbuhan juga mahukan keberkatan Baginda itu.

•Sistem penggunaan masjid tidak statik malah boleh berkembang mengikut keperluan asalkan tidak lari dari objektif sebenarnya dan dilakukan dengan ijtihad yang teliti.

•Kisah ini mahu menginsafkan umat Islam agar mencari-cari cinta Rasulullah persis pokok kurma yang kesedihan apabila tidak lagi dapat berbakti kepada Rasulullah SAW. Sewajarnya umat Islam juga mencari-cari sudut manakah yang boleh dijadikan saluran untuk mereka menggembleng tenaga dan fikiran bagi tujuan berbakti kepada syariat yang dibawa oleh Baginda.

•Pokok kurma mengajar kita untuk memilih ganjaran dan kebahagian yang tiada tolok tandingnya lagi kekal selamanya iaitu Syurga. Lantas mengapakah kita sering alpa dengan ganjaran dunia yang hanya bersifat sementara?

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas