Saturday, March 2, 2013

Servis Badan - Urut / Massage

Alhamdulillah, Allah memberi ku sekali lagi peluang dan kesempatan untuk merawat dan memanjakan diri ... 
Makcik tukang urut datang lagi dan selepas 2 bulan, segala urat-urat dalam badan yang tegang dan bersimpul-simpul dapat diurut/massage dan diluruskan agar pengaliran darah dalam badan dapat berjalan dengan lancar ..Apabila pengaliran darah berjalan lancar, maka oksijen juga dapat dibawa ke seluruh badan dengan baik ...Urutan yang baik dapat memperbaiki pernafasan dan pengaliran darah serta  meningkatkan kesihatan tubuh badan secara keseluruhan. Antara kesan emosi adalah meningkatkan perasaan tenang dan mengurangkan stress atau tekanan.

Sejarah Urut
(rujukan: http://panduanwanita.blogspot.com/2007/03/ceria-menawan-urut-rangsang-aliran.html)


TIADA siapa yang tahu asal usul urut kerana terlalu panjang untuk dijejaki. Ukiran pada kubur Mesir purba menunjukkan amalan ini diamalkan secara meluas dalam masyarakat itu.

Perkataan urut atau massage dalam bahasa Inggeris kemungkinan besar diambil dari perkataan Portugis, amasser yang bermaksud, menguli atau meramas, yang digunakan oleh penjajah Perancis di India pada abad ke-18.

Perkataan ini juga mungkin diambil dari bahasa Arab, massa, yang bermaksud menyentuh.

Kehebatan urut dapat dilihat apabila buku perubatan tradisional Cina bertarikh 2,700 tahun Sebelum Masihi menyarankan latihan pernafasan, urutan pada badan serta senaman pada tangan dan kaki sebagai cara merawat lumpuh, kesejukan dan demam.

Di kalangan ahli perubatan Greek dan Roman, urut adalah antara kaedah utama untuk melegakan kesakitan. Maharaja agung Roman, Julius Caesar, dikatakan diurut setiap hari untuk merawat sakit sarafnya.

Di Barat, Pech Henrik Ling (1776-1839) dari Sweden, dianggap sebagai bapa urut moden kerana beliau memodenkan teknik urut berdasarkan fisiologi.

Falsafahnya, tubuh bukan seperti mesin tetapi adalah sesuatu yang hidup dan melambangkan perasaan manusia, memberi kesan besar terhadap teknik urut Barat hingga tekniknya yang dikenali urut Swedish kemudian terkenal di seluruh dunia.

Pada 1895, Persatuan Juru Urut Terlatih ditubuhkan di Britain untuk meningkatkan kualiti bidang ini. Malah pada 1899, St George Hospital di London mempunyai jabatan urut.

Di Asia, urut di India bukan hanya untuk tujuan perubatan. Ukiran erotik di Khajuraho dan Kamasutra menunjukkan teknik urut tertentu boleh mengubah perasaan manusia dengan memberi rangsangan dan ketenangan.

Di China, pelajar bidang perubatan mempelajari dan menduduki peperiksaan dalam bidang urut dan akupuntur serta menduduki peperiksaan yang bertujuan memahirkan mereka untuk merawat pesakit. Peringkat pertama kelayakan, hsiu ts’ai menyemai ijazah pertama pada zaman sekarang.

FAKTA: Jenis Urutan

Anma
Diperkenalkan di Jepun lebih 1,300 tahun lalu. Urut Shiatsu juga berasal dari teknik ini. Teknik ini tidak menggunakan minyak dan sebaliknya berdasarkan pergerakan menguli.

Terapi Bowen
Menggunakan pergerakan mengguling terhadap otot, ligamen dan sendi.

Lomilomi
Berasal dari cara merawat kuno Hawaii

Urut Batu
Menggunakan batu licin sejuk atau panas, kebiasaannya adalah marmar atau basalt. Batu diletakkan di titik tumpuan utama tenaga seperti Chakra untuk meningkatkan pengaliran tenaga.

Urut Swedish
Gaya ini menggunakan urutan panjang dan berterusan, tetapi tidak semestinya menghala ke jantung. Urut ini direka untuk meningkatkan pengaliran darah.

Urut Thai
Asal-usul urut ini adalah berasaskan Ayurveda di India. Tidak menggunakan minyak dan tertumpu kepada regangan dan melonggarkan otot tubuh.

Urut Tai Chi
Urut ini menggunakan prinsip semula jadi Tai Ji, Yin dan Yang, untuk mencapai keseimbangan tenaga tubuh dan mencapai kesihatan tubuh dan semangat.

Urut Shantala
Teknik purba India ini mempunyai ciri berirama dan diberikan kepada bayi dan kanak-kanak. Urut ini diperkenalkan ke Barat oleh pakar perbidanan terkenal Perancis, Dr Frederique Leboyer dalam bukunya `Loving Hands: The Tradisional Art of Baby Message’.

Urut Kulit Kepala
Diamalkan oleh tukang gunting rambut di Hong Kong, yang mengambil masa antara 30-45 minit ketika menguli syampu pada rambut. Urut ini juga biasa dilakukan di India.

Urut Mayan
Diamalkan di Amerika Latin dengan tumpuan di bahagian perut. Bertujuan memperbaiki penghadaman dan bahagian peranakan.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas