Friday, August 7, 2015

Kejam! ikan paus dipotong hidup-hidup

Badan ikan paus (kiri) yang dipotong dan ikan masih bernafas (kanan) ketika proses memotong.

SEBUAH video yang dimuatnaik ke laman YouTube dikecam majoriti pelayar dan aktivis haiwan liar kerana memotong badan ikan paus gergasi yang masih hidup.

Video mengerikan tersebut menunjukkan ikan paus gergasi jenis Whale Shark yang masih bernafas dipotong sedikit demi sedikit bermula dari bahagian ekor.

Menurut South China Morning Post, kejadian tersebut berlaku di Guandong, China.

Selama dua minit proses memotong tersebut berjalan, kedengaran orang ramai yang berada di sekitar ikan paus tersebut bersorak sambil segelintir dari mereka merakam menggunakan telefon bimbit.

Video tersebut yang dimuatnaik semalam kini sudah menarik perhatian lebih 60,000 pelayar, di mana lebih seratus pelayar memberikan tanda 'tidak menyukai' video berkenaan.

"Saya bukan aktivis, tapi mereka menjerit kegembiraan ketika ikan tersebut dipotong. Kenapa?" kata pelayar yang menggunakan nama samaran Wharg.

"Okey, potong dan makan. Tapi kenapa tidak dibunuh terlebih dahulu? Saya tak dapat dibayang penyeksaan yang dilaluinya!" kata Nira Katsumi.

Rakaman tersebut yang di China telah menyebabkan beberapa pelayar memberi komen tidak elok mengenai benua Asia.

"Perkara paling teruk adalah orang Asia tidak memikul tanggungjawab ke atas budaya mereka. Mereka menutup mata bila ikan paus dipotong atau anjing digoreng (sebagai makanan)," kata Anonymous.

Sementara itu, Pengarah Pemuliharaan Shark Trust, Ali Hood memberitahu, video tersebut sangat mengerikan.

"Melihat haiwan hebat dilayan tanpa ehsan menguatkan lagi Shark Trust untuk memperhebatkan kempen kesedaran tentang haiwan-haiwan tersebut," katanya Ali dipetik Dailymail.

Menurut beliau, bangkai seekor Whale Shark mampu mencecah USD30,000 (RM118,290) dimana dagingnya dijadikan makanan dan siripnya dijual kepada restoran.

"Whale Shark mendapat permintaan tinggi kerana sirip, daging dan minyak hatinya.

"Walaupun Whale Shark tersenarai dalam lindungan Konvensyen Spesis Migrasi, undang-undang selalu gagal mengesan aktiviti-aktiviti seperti tangkapan haram," jelasnya lagi.

Selain dijadikan makanan, bahagian-bahagian tertentu Whale Shark seperti kulit boleh diproses menjadi beg dan minyak hatinya dijadikan sebagai produk kesihatan.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas