Wednesday, August 12, 2015

Isu Dadah Dalam Minuman Upin & Ipin : Penjelasan dari Les Copaque


Berikutan penyebaran maklumat yang menyebut produk minuman Upin dan Ipin mengandungi dadah jenis ketamin, pihak Les Copaque tampil memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut.

Menurut kenyataan dari Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Haji Burhanuddin Md Radzi, berita mengenai pengedaran dadah yang menggunakan botol minuman Upin & Ipin memang benar dan bukan botol minuman Upin & Ipin sahaja yang menjadi mangsa.

"Berita mengatakan pengedar dadah menggunakan botol minuman Upin & Ipin memang betul. Mereka menggunakan bukan sahaja botol minuman Upin & Ipin tetapi banyak lagi jenama lain yang terkenal. Usaha mereka telah tertangkap dan pihak Polis sudahpun membuat pengumuman."

Selain itu, Burhanuddin juga turut menegaskan minuman Upin & Ipin yang berada di pasaran kini selamat diminum dan turut menyatakan perasaan kecewanya apabila terdapat menyebaran viral yang mengatakan minuman tersebut tidak selamat diminum.

"Oleh kerana ia dikeluarkan oleh pengedar dadah, sudah tentulah ia dijual dikalangan penagih dadah dan tiada di pasaran biasa. Oleh kerana itu, semua minuman kami yang berada di pasaran sudah tentu selamat diminum."

"Malangnya terdapat penyebaran viral yang mengatakan minuman Upin & Ipin kami mempunyai dadah dan membahaya untuk diminum. Ini amat mendukacitakan kerana pihak kami menjadi mangsa. Minuman kami dijamin selamat untuk diminum. Diharapkan semua peminat kami dapat membetulkan keadaan ini dan terus menyokong usaha kami.", katanya.




No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas