SUBANG JAYA – Dua lelaki menyamar sebagai pekerja syarikat telekomunikasi sebelum memecah masuk sebuah rumah yang dihuni seorang ibu bersama bayi berusia 20 bulan, di USJ 6, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi, suspek pada mulanya menyangka rumah terbabit ditinggalkan kosong tanpa penghuni.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa yang sedang tidur bersama anak lelakinya terbangun apabila terdengar bunyi pintu bilik terbuka dari arah luar.
Suri rumah berusia 30 tahun itu menyangka suaminya yang pulang namun terkejut mendapati dua lelaki tidak dikenali berada dalam bilik tidurnya.
Suspek yang juga dikatakan terkejut melihat kelibat wanita dan anaknya, terus mengacukan sebilah pisau lipat dan memintanya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan.
“Dua lelaki itu memecah masuk rumah mangsa dengan mengumpil pintu belakang. Mereka mengikat tangan mangsa menggunakan sehelai kain pelekat diambil dari bilik tidur tersebut. Namun anak pengadu tidak diikat,” katanya.
Suspek membawa lari seutas rantai leher, gelang tangan, telefon bimbit dan wang tunai yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM4,000 selepas 10 minit berada di rumah mangsa.
“Wanita itu berjaya membuka ikatan, menghubungi suami dan membuat laporan polis,” katanya.
Kedua-dua suspek berpakaian seragam tertera logo syarikat telekomunikasi dipercayai bagi dilihat seolah-olah membuat pemeriksaan di rumah pelanggannya selain mengaburi mata jiran tetangga mangsa.
Kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Sehubungan kejadian itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya curiga dengan tindak tanduk orang luar meski berpakaian seolah-olah mewakili sesebuah syarikat utiliti. - SH
No comments:
Post a Comment