KUALA LUMPUR- Kementerian Pendidikan digesa menyiasat laporan bahawa ada guru biasa yang menjadi guru besar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, berdasarkan aduan yang diterimanya, perkara itu berlaku di beberapa sekolah rendah.
Katanya beliau sudah menerima satu aduan mengenai kes demikian bulan lepas dan satu lagi aduan bulan ini dan percaya banyak lagi kes seumpama itu yang tidak didedahkan.
“NUTP membantah kalau ada guru besar yang dilantik terus daripada guru biasa, kerana untuk naik pangkat sebagai guru besar mesti ada syaratnya.
"Kita mahu pemimpin-pemimpin di sekolah ini cekap, yang boleh jalankan tugas sebagai pemimpin untuk boleh mentadbir sekolah,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Menurutnya NUTP tidak mempertikaikan kenaikan pangkat seseorang guru, tetapi ia mestilah melalui prosedur yang betul.
“Kita setuju program dan kursus yang ditawarkan Kementerian Pendidikan untuk guru penolong kanan ditawarkan kursus supaya mereka diberi peluang untuk naik pangkat.
“Tetapi kita tidak setuju jika guru biasa ditawarkan jawatan guru besar kerana syarat perlu jadi guru penolong kanan itu dipersetujui bersama antara NUTP dan pihak kementerian sejak tiga tahun lalu,” ujarnya.
Tambahnya, jika dibiarkan seseorang guru biasa terus dinaikkan pangkat menjadi guru besar, ianya akan mendatangkan masalah kepada sekolah.
“Berdasarkan pengalaman kita, guru biasa yang tidak pernah jadi guru penolong kanan, tidak ada pengalaman urus kewangan sekolah serta banyak perkara yang dia tidak tahu seperti mahu menyelesaikan masalah dengan ibu bapa bila hadapi masalah
serius. Kita mahu pemimpin yang berkualiti,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment