Sunday, September 21, 2014

'Bukan saya yang jadi MB Selangor' - Iskandar

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cempaka, Iskandar Abdul Samad menafikan namanya 'naik' untuk menjadi Menteri Besar Selangor baharu yang akan diumum Selasa ini.

Katanya, dia difahamkan nama calon lain sudah diperkenan Istana Alam Shah untuk jawatan tersebut.

"Saya difahamkan bukan saya.

"Yang saya tahu nama orang lain sudah naik. Sudah jadi 'open secret'," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Iskandar mengulas kemungkinan bakal menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu selain dua calon lain yang disebut-sebut iaitu ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dan ADUN Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.


Astro AWANI sebelum ini menerima salinan kad jemputan istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor Selasa ini jam 10 pagi di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang.

Teka-teki siapa akan menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan terjawab pada Selasa.

Laporan Bernama sebelum ini yang memetik sumber memberitahu, Istana Selangor mengesahkan PAS menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun nama calon-calon berkenaan tidak didedahkan.

Astro AWANI sebelum ini memetik sumber yang memberitahu, 99 peratus kemungkinan Azmin akan menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mahu pihak Istana Alam Shah mempertimbangkan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah untuk jawatan berkenaan.

Tambah Saifuddin, sebarang berita kononnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara lisan untuk menerima Azmin adalah tidak tepat, selain tetap dengan keputusan mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Astro AWANI masih berusaha untuk mendapatkan kenyataan mengenai isu pencalonan menteri besar daripada Dr Ahmad Yunus.- Astro Awani

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas