PETALING JAYA - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu berkuatkuasa esok.
Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor dijangka akan diadakan esok di Istana Alam Shah, Klang jam 10 pagi.
Sementara itu, surat pelantikan bertarikh 22 September yang dikeluarkan pihak istana menamakan Adun Bukit Antarabangsa itu sebagai pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan telah menyerahkan surat pelantikan kepada Mohamed Azmin.
"Ya, surat itu sah, istana sudah serahkan kepada beliau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Surat pelantikan bertarikh 22 September yang beralamat kediaman Mohamed Azmin di Ampang itu mula tersebar sebelum Ahli Parlimen Gombak itu memberi pengesahan.
Mengulas mengenai hal itu, Munir berkata, pihak istana tidak bertanggungjawab atas sebaran surat tersebut.
"Istana serahkan terus kepada calon. Kita tidak sebarkan (surat) itu, sama ada calon atau orang terdekat beliau yang mendedahkan perkara itu terlebih dahulu.
"Perkara ini (sebaran) diluar kawalan istana," katanya.
Surat yang mulai menjadi viral itu menyebut, "Sukacita dimaklumkan Sultan Selangor telah berkenan melantik Tuan menjawat jawatan Menteri Besar Selangor berkuatkuasa mulai 23 September 2014". - Mkini
No comments:
Post a Comment