Aktivis Ali Abd Jalil, yang kini dalam tahanan reman selepas didakwa dengan hasutan, mendakwa dipukul seorang pegawai penjara pada malam pertama dibawa ke penjara Sungai Buloh.
Laporan polis yang dilihat The Malaysian Insider dibuat pada hari Sabtu oleh abangnya di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail. Ali sebelum ini memaklumkan kepada keluarganya berkenaan dipukul apabila mereka melawatnya di penjara Sungai Buloh. Beliau dibawa ke penjara pada 8 September dan mendakwa dipukul seorang pegawai penjara yang mempunyai loghat Pantai Timur.
Pegawai penjara didakwa menumbuk, menampar dan memukul Ali menggunakan baton dan paip getah di dalam bilik kosong. Ali bagaimanapun berkata, pukulan itu tidak meninggalkan sebarang tanda atau kecederaan pada tubuhnya.
Beliau juga tidak dapat memberitahu sesiapa hal itu kerana tidak dibenarkan berjumpa sesiapa sebelum Jumaat semasa bertemu dengan peguamnya. Aktivis, yang didakwa menghasut pada 8 September ekoran salah satu posting beliau di Facebook pada bulan Januari berkata, seorang lagi warden penjara juga mengancam menyuruh banduan lain memukulnya.
Ali, yang menyertai pergerakan 'Asalkan Bukan Umno' (ABU) dituduh menyiarkan kenyataan di Facebook pada 21 Januari tahun ini di sebuah premis di Sunway Batu Caves.
Ali dituduh memuat naik bahan berunsur hasutan di www.facebook.com/kapitalis.bangsat melalui komen berasingan menggunakan akaun Rejimen Anarki. Antara komen termasuk memperkecilkan Kesultanan Johor dan menyeru institusi diraja negeri itu dihapuskan. Rejimen Anarki juga didakwa menentang sistem monarki di Malaysia. – The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment