Tuesday, July 29, 2014

'Saya akan kahwin tahun depan'


SHAH ALAM – Akui masih belum menemui calon untuk dijadikan isteri, namun Abil Fikri Ahmad, 45, yakin bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.


Pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia tahun lalu gara-gara tindakan nekadnya berhenti kerja demi menjaga isterinya, kisah Abil meruntun jiwa yang mengikuti perkembangannya.

Isterinya, Allahyarham Fauziah Muhamad terlantar menderita penyakit saraf otak mendapat perhatian khusus si suami hingga saat akhir menghembus nafas pada 2 April tahun lalu.

Sejak kembali sendiri, Abil akui kerap ditanya tentang mencari pengganti namun beliau menepis istilah tersebut.

“Ramai yang tanya, tak nak cari pengganti ke? Bila saya dengar perkataan pengganti, saya kata saya tak cari pengganti kerana Gee ini tidak ada orang yang boleh ganti.

“Kalau saya nak cari jodoh, saya cari yang baharu. Bukan saya nak kata awak (isteri yang baharu) itu rendah nilainya, tidak. Masih isteri saya tapi isteri yang baharu,” katanya kepada Sinar Harian Online dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Menurut Abil, meskipun masih belum mempunyai calon isteri, namun dia dapat merasakan bahawa dirinya akan berkahwin tahun depan.

“Saya ada cakap dalam tahun depan saya kahwin. Selalunya apa saya cakap, saya buat. Insya-ALLAH, mungkin tahun depan saya kahwin. Cuma calonnya belum ada.

“Kalau saya rasa saya nak kahwin, saya akan terus tanya. Saya tidak praktikkan diri untuk bercinta sebelum kahwin,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cara menghargai pasangan baik suami mahupun isteri, Abil berkata, perkara itu tidak sukar.

“Saya tak rasa susah untuk seseorang menghargai pasangannya. Kalau tak hargai pasangan anda, kenapa berkahwin?

"Kenapa pilih si dia sebagai teman hidup? Itu jadi persoalan.

“Adakah mencari pasangan hidup itu satu perkara yang suka-suka?

"Oh sukalah, bila dah buruk nanti kita tukarlah. Bila dah buruk, kita buanglah tepi longkang. Ia tidak begitu,” katanya.

Jelasnya, menghargai pasangan itu sepatutnya bermula daripada saat sah kedua-duanya menjadi suami isteri.

“Menghargai daripada mula sah menjadi suami isteri. Maksudnya, sebelum sah pun kena hargai sebagai teman tapi menjadi wajib menghargai pasangan itu apabila sudah diisytihar menjadi suami isteri.

“Jangan risau tentang bergaduh sebab Tuhan akan jadikan satu pergaduhan itu. Tuhan akan bagi kehidupan yang sukar di pertengahan perjalanan kita. Tak apa. Kerana Tuhan suruh kita belajar,” katanya.

Beliau juga menasihatkan agar suami isteri menjadikan pasangan mereka sebagai kawan baik supaya bebas berbincang segala masalah. - SH

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas