Port Dickson: “Polis tidak menafikan kemungkinan ia perbuatan pemujaan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab,” kata Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Abd Wahab Harun, mengulas penemuan kubur kecil di pinggir hutan di Kampung Paya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, penduduk kampung terbabit gempar apabila berita penemuan kubur berkenaan seperti baru dikebumikan serta ditaburi bunga.
Bagaimanapun, hasil siasatan polis mendapati penemuan berkenaan yang disyaki penduduk sebagai kubur kanak-kanak, ditanam dengan bangkai anjing hitam.
Abd Wahab berkata, sebaik menerima aduan penduduk sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.
“Penduduk meragui ia kubur kanak-kanak yang baru ditanam dan ditabur dengan bunga serta ditanda dengan pokok kecil seakan-akan batu nisan.
“Polis pada mulanya menjalankan siasatan mengenai kewujudan kubur berkenaan sama ada ia adalah kubur manusia atau objek lain.
Ini kerana jika ia kawasan perkuburan yang digazetkan, polis perlu meminta kebenaran majistret untuk menggali kubur berkenaan,” katanya.
Katanya, selepas mendapat pengesahan dan pada jam 4.30 petang, polis mula menggali kubur terbabit sebelum menemui bangkai anjing hitam.
“Kemungkinan ini perbuatan pemujaan yang dilakukan oleh pihak tertentu dan kita menutup kes ini.
“Kita korek untuk memastikan jika ada mayat manusia di dalamnya disamping menutup keraguan penduduk kampung yang membuat aduan,” katanya.
GAMBAR DARI SINAR HARIAN
No comments:
Post a Comment