Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menangguhkan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan pelakon Abby Abadi terhadap suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar yang dibuat melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan semula kes itu selepas Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 37, memaklumkan terdapat satu lagi lafaz cerai yang masih belum difail dan disahkan oleh mahkamah.
Dalam prosiding itu, Abby memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya Muhammad Noor Farhan, 25, pernah memberitahu kepada rakannya bahawa mereka sudah bercerai pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pelakon itu berkata beliau tidak pernah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai itu kerana mereka sudah merujuk kembali dan perkara itu sudah dirujuk kepada ulama sebelum ini.
Kenyataan Abby itu mengejutkan orang ramai termasuk media yang berada di dalam galeri awam dan Shaiful Azli kemudian meminta supaya pelakon itu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut secepat mungkin.
"Kalau kamu sudah berbaik semula pun, kamu tetap kena failkan permohonan itu kerana lafaz yang pertama itu perlu disahkan dan sekiranya lafaz itu sah, mahkamah khuatir jumlah talak bertambah," katanya.
Terdahulu, Abby selaku plaintif memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Noor Farhan selaku defendan melafazkan cerai kepadanya melalui SMS yang tertera "Aku ceraikan kau" kira-kira jam 10.25 pagi pada 9 Mei lepas.
Menjawab lanjut soalan hakim, Abby yang pernah berlakon dalam drama bersiri "Gerak Khas", memberitahu mahkamah beliau turut menerima satu lagi rantaian SMS yang dihantar suaminya yang mengandungi ayat "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" selepas mereka berbalas SMS pada hari yang sama.
Abby, yang berada di dalam keadaan suci dan tidak mengandung ketika lafaz cerai itu dibuat, berkata SMS itu dihantar kepadanya selepas timbul perselisihan faham pada malam itu yang berlarutan hingga ke pagi berikutan suaminya itu tidak pulang ke rumah.
"Semasa saya terima SMS itu, saya berada di dalam kereta tetapi saya tidak ingat ada atau tidak membalas mesej itu untuk mendapatkan kepastian daripadanya dan kami hanya berkomunikasi melalui SMS," katanya sebak sambil menambah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak lafaz cerai itu dibuat.
Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan yang kelihatan tenang bersetuju dengan penjelasan Abby dan mengesahkan beliau berada dalam keadaan waras dan menghantar SMS itu kepada Abby dengan niat untuk bercerai tanpa paksaan sesiapa.
Abby memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Sejurus selesai kes, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan mahkamah sebelum pihak media sempat mendapatkan sebarang penjelasan berhubung kes itu.
Sementara itu, Abby ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau tidak menyangka perkara itu berlaku sekelip mata dan berakhir dalam masa yang singkat.
"Saya sayang sangat-sangat padanya, namun saya tidak diberi ruang untuk bersemuka dan memperbaiki hubungan. Saya redha dengan ketentuan daripadaNya dan masih berharap ia dapat diselesaikan dengan baik," katanya yang hadir ke mahkamah dengan ditemani dua anak perempuannya.
Abby dan Muhammad Nor Farhan bernikah di Selatan Thailand pada 9 Julai tahun lepas di selatan Thailand selepas dua minggu berkenalan dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Kelantan.
Abby pernah diceraikan oleh pelakon Norman Hakim di mahkamah yang sama pada 18 Disember 2008 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak. – Bernama, 29 Mei, 2014.
No comments:
Post a Comment