PUTRAJAYA - Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) digalakkan menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana, sama ada secara sepenuh masa ataupun separuh masa bagi meningkatkan pengetahuan dan kompetensi diri.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kelayakan di peringkat ijazah sarjana akan menjadi satu keperluan pada masa depan demi kemajuan kerjaya seseorang PTD, selain kecemerlangan dalam perkhidmatan dan potensi untuk memegang jawatan yang lebih tinggi.
"Saya dimaklumkan bahawa daripada 990 PTD, kurang dari 10 peratus yang mempunyai ijazah sarjana ataupun masters degree," katanya pada majlis Amanat KSN sempena urusan penyerahaan surat pentauliahan untuk pemangkuan dan penempatan PTD Ke Gred M44 di sini hari ini.
Pada majlis itu, 990 PTD menerima surat pentauliahan memangku jawatan Gred M44 daripada Ketua Setiausaha Negara.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Pengarah Bahagian Perkhidmatan JPA, Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman.
Beliau berkata daripada 1,060 PTD untuk lantikan tahun 2009 dan tahun sebelumnya, hanya 990 PTD berjaya memangku jawatan ke Gred M44 kali ini, sementara 12 PTD akan diberi pemangkuan setelah tamat cuti belajar.
Dalam pada itu, baki 58 PTD pula tidak layak untuk dipertimbangkan kerana pelbagai sebab, antaranya ialah belum disahkan dalam perkhidmatan, tidak diperaku oleh Ketua Jabatan, penilaian potensi yang lemah dan tindakan tatatertib, katanya.
Ali berkata PTD yang berjaya memangku gred M44 dan selepas disahkan kenaikan pangkat mempunyai peluang untuk dipertimbangkan untuk pemangkuan ke Gred M48 pula yang diperkenalkan kerajaan dalam program 'Fast Track' bertujuan menggilap bakat dan potensi penjawat awam.
"PTD berkenaan akan diletakkan di jabatan-jabatan yang strategik di dalam dan luar negara dan pada masa yang sama memberi mereka latihan secara berterusan dari segi pembangunan kepimpinan," katanya.
Menurut beliau penjawat awam juga perlu bersikap setia kepada kerajaan dan menjalankan tugas secara profesional dan tidak mengkritik setiap tindakan dan pelaksanaan dasar kerajaan kerana mereka merupakan tulang belakang kepada pembangunan negara. - Bernama
No comments:
Post a Comment