Sunday, December 21, 2014

Pusat beli belah terbesar di Minnesota ditutup

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul walaupun terdapat amaran mereka akan ditahan menerusi skrin digital di pusat beli belah itu.
MINNESOTA - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pusat beli belah terbesar di Minnesota, Amerika Syarikat ditutup selepas ribuan penunjuk perasaan berkumpul bagi membantah keganasan polis dan diskriminasi kaum.

Menurut AFP, menerusi laman sosial Facebook pusat beli belah Mall of America itu, kira-kira 3,000 penunjuk perasaan berhimpun di dalam bangunan tersebut sambil melaungkan 'Black Lives Matter'.


"Untuk keselamatan pengunjung dan penyewa kedai, pusat ini ditutup buat sementara waktu dan anggota keselamatan kini sedang berusaha menyuraikan penunjuk perasaan," menurut pusat beli belah tersebut dalam satu kenyataan.

Difahamkan, kematian seorang remaja kulit hitam Michael Brown di Ferguson, Missouri Ogos lalu akibat ditembak pegawai polis menimbulkan kemarahan banyak pihak terutamanya orang kulit hitam. - Sinar Harian

TANAH PERKUBURAN SEJUTA MUMIA DI TEMUI DI MESIR!!


Satu tanah perkuburan mengandungi lebih sejuta mumia ditemui di tengah Mesir, menurut arkeologi.Setakat ini saintis sudah mengeluarkan lebih 1,700 mumia yang dalam keadaan baik kerana dilindungi cuaca gurun yang panas dan kering di wilayah Faiyun, kira-kira 96 kilometer ke selatan Kaherah.


Bagaimanapun, pakar percaya mungkin ada sehingga sejuta lagi mumia seumpama itu tertanam dalam batu kapur yang sedalam 22.9 meter.

Mumia itu dipercayai ditanam di situ 1,500 tahun lalu antara kurun pertama dan ketujuh Masihi ketika Mesir dijajah Empayar Rom serta Byzantine.

Bagaimanapun mumia berkenaan dipercayai orang awam kerana ditanam di dalam kubur besar-besaran tanpa barangan peribadi atau keranda, berbeza dengan golongan bangsawan atau orang penting yang disemadikan di dalam piramid atau makam.

Satu lagi perbezaan, organ dalaman mumia ini juga tidak dibuang.

Mumia ditemui itu mengelirukan pakar kerana pekan yang mungkin pernah terletak di situ terlalu kecil manakala bandar terdekat, Philadelphia-yang dinamakan sempena Raja Ptolemy II-mempunyai tanah kuburnya sendiri.

Ada juga antara mumia berkenaan yang pelik, termasuk satu dipercayai lelaki setinggi lebih 2.13 meter, malah ada juga yang dikebumi di lokasi tertentu berdasarkan warna rambut mereka.

Pengarah projek, Profesor Kerry Muhlestein dari Universiti Brigham Young berkata, satu lagi ciri pelik mumia berkenaan ialah gigi mereka hampir semua elok.

Mumia seorang budak dipercayai perempuan berusia 18 bulan juga ditemui masih memakai gelang pada lengannya.

"Mumia ini dibalut elok dan mereka cuba melakukan proses mumia lengkap kerana organ seperti otak dan lidahnya diawet elok. Nyata dia amat disayangi keluarganya," kata Muhlestein.

Saturday, December 20, 2014

KUIL ZAMAN KUNO MASIH UTUH TERGANTUNG


Kuil Xuan Kong Si yang terletak di kaki gunung Heng, Shanxi, China pasti menarik perhatian sesiapa sahaja kerana berbeza daripada kuil-kuil biasa yang dibina di tempat yang strategik serta mudah dilihat dan dikunjungi semua orang.


Kuil itu dibina tergantung di sisi sebuah tebing curam kira-kira 1,500 tahun lalu dan oleh sebab itu, penduduk setempat menggelarnya sebagai Kuil Tergantung.

Tempat suci bagi penganut agama Buddha ini dibina di atas tebing setinggi 75 meter dan disebabkan lokasinya yang ekstrem, kuil itu menjadi salah satu tempat pelancongan kegemaran masyarakat tempatan dan luar negara.

Untuk menjejakkan kaki ke kuil itu sahaja, pengunjung perlu menaiki beberapa jambatan dan terdapat 40 buah kuil yang tergantung di tebing curam.

Tujuan kuil itu dibina di lokasi seperti itu bagi mengelakkan banjir yang sering melanda daerah Shanxi. Kuil itu dibina melekat pada tebing dengan beberapa kayu penahan yang kelihatan memanjang ke bawah bagi menyokong strukturnya.

Selain itu, kuil itu juga boleh menjadi tempat perlindungan daripada hujan, cahaya matahari dan salji.

Lebih daripada 80 patung-bersejarah, peti kuno yang diperbuat daripada tanah liat, ukiran batu dari zaman dinasti yang berbeza-beza masih dikekalkan sehingga kini.

KUIL Tergantung menjadi salah satu tempat pelancongan kegemaran masyarakat tempatan dan luar negara.

Menonton Online Siaran Langsung Bola AFF Suzuki Cup 2014 FINAL


Friday, December 19, 2014

Terengganu Tetap Laksana Peraturan Tutup Premis Waktu Solat Jumaat

PETALING JAYA: Disebalik protes beberapa pihak, kerajaan Terengganu tetap akan menguatkuasakan peraturan menutup kompleks membeli belah dan premis dalam bangunan berkenaan pada waktu solat Jumaat, bermula Januari ini.

Kerajaan negeri berkenaan mengumumkan perkara itu pada 9 Disember lalu untuk dipatuhi setiap majlis daerah.

Pihak berkuasa tempatan pula akan mengenakan denda mandatori RM1,000 terhadap pesalah kali pertama dan kegagalan menjelaskannya boleh mengakibatkan lesen perniagaan ditarik balik.

Menurut arahan itu, bengkel khas akan diadakan pada minggu ke dua bulan depan utnuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) untuk penguatkuasaan peraturan itu.

SOP yang akan diguna pakai pihak berkuasa tempatan juga akan dibincangkan pada bengkel berkenaan.

Pemangku Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh berkata, langkah itu dilaksanakan untuk mengelak belia Islam tidak menunaikan solat Jumaat.

"Ia membabitkan pasar raya besar dan premis di dalamnya, manakala kedai kecil di sekitar kawasan itu terkecuali.

"Kami juga akan mengeluarkan notis operasi perniagaan yang akan dikuatkuasakan dan dalam hal ini, pengusaha kedai makanan kecil-kecilan tidak perlu bimbang," katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Ketua MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw menggesa kerajaan negeri itu supaya mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Saya telah mengemukakan surat kepada menteri besar menyuarakan pandangan berhubung perkara ini, mewakili golongan bukan Islam.

"Lebih baik kerajaan negeri menyediakan bimbingan nasihatkepada komuniti perniagaan dan program kesedaran serta pendidikan kepada golongan belia Islam supaya mereka menunaikan solat Jumaat berbanding menguatkuasakan peraturan ini," katanya.

Chin Yaw berkata, keputusan itu akan memberi kesan kepada sektor pelancongan kerana Terengganu menjadi destinasi percutian pilihan umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia.

"Operasi perniagaan sepatutnya dibenarkan selagi ia tidak mengganggu keperluan agama di kalangan kakitangan, malahan komuniti perniagaan sentiasa membenarkan pekerja Islam mereka menunaikan ibadat pada setiap Jumaat," katanya.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Terengganu, Alex Lee turut prihatin terhadap isu ini terutama jika ia turut membabitkan premis kecil.

Bagaimanapun, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi berkata, langkah itu tidak akan memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri itu kerana kebanyakan perniagaan milik umat Islam ditutup semasa solat Jumaat.

"Ada sedikit kekeliruan berhubung peraturan ini, bagaimanapun ia tidak akan memberi impak yang besar terhadap industri pelancongan negeri," katanya. - Mstar

8 beradik mati ditikam

SYDNEY 19 Dis. - Sebanyak lapan kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia 18 bulan ditemui mati akibat ditikam secara beramai-ramai dalam satu kejadian di sebuah rumah di bandar Cairns di utara Australia, hari ini.

Polis bergegas ke kediaman itu di negeri Queensland tengah hari tadi selepas menerima laporan tentang penemuan seorang wanita dalam keadaan cedera parah di rumah itu.

“Semasa memeriksa rumah itu, polis menemukan kesemua mayat kanak-kanak itu berusia antara 18 bulan hingga 15 tahun,’’ kata polis dalam satu kenyataan, lapor portal berita Al Jazeera.

Seorang detektif polis Queensland, Bruno Asnicar ketika ditemui media di tempat kejadian berkata, wanita yang cedera itu sedang mendapatkan rawatan dan membantu siasatan polis.

Agensi berita Associated Press di Australia yang memetik sepupu wanita tersebut sebagai berkata, kesemua kanak-kanak itu merupakan anak kepada wanita tersebut.

Katanya, seorang abang kepada kanak-kanak itu yang berusia 20 tahun tiba di rumah itu dan menemukan mayat adik-adiknya bersama ibu mereka.

“Wanita itu berusia 38 tahun dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Orang ramai tidak perlu bimbang tentang kejadian itu. Ia merupakan satu peristiwa yang amat tragik,’’ kata detektif itu. - Utusan

Thursday, December 18, 2014

ASB: Dividen 7.50 sen, bonus 1 sen seunit

KUALA LUMPUR - Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.50 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 berbanding 7.70 sen yang diterima tahun lepas.

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu turut mengumumkan bahawa 8.60 juta pemegang unit ASB bakal menerima bonus 1.00 sen seunit.


Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pemegang unit secara kolektifnya memegang 137.07 bilion unit ASB.

Beliau berkata, peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM10.16 bilion, meningkat sebanyak 10.8 peratus berbanding RM9.17 bilion yang dibayar pada tahun lepas.

Manakala bagi bayaran bonus, ia melibatkan sejumlah RM804.43 juta, peningkatan sebanyak 19 peratus daripada 2013.

Sehingga Selasa lepas, katanya, skim itu mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM10.55 bilion.

"Pelaburan dalam beberapa syarikat menyumbang RM4.64 bilion atau 44 peratus, pendapatan daripada keuntungan jualan saham sebanyak RM4.23 bilion atau 40.1 peratus dan lain-lain pendapatan sebanyak RM1.68 bilion atau 15.9 peratus," katanya pada satu taklimat media di sini hari ini.

Prestasi ASB sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2014, secara keseluruhannya masih memuaskan walaupun pasaran saham mengalami penurunan mendadak sejak kebelakangan ini.

“Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan mulai 23 Disember 2014 sehingga 1 Januari 2015, bagi tujuan pengiraan pendapatan dan bonus,” katanya. - Bernama

Gambar Belangkas