Showing posts with label seram. Show all posts
Showing posts with label seram. Show all posts

Wednesday, March 18, 2015

FILEM SERAM "JENGKA" BERBEZA - AZIZ M OSMAN


Meskipun filem genre romantik percintaan Azura 2012 arahannya di bawah terbitan produksi sendiri, Ace Motion Pictures Sdn Bhd meraih kutipan kurang memuaskan di pawagam, namun Aziz M Osman tidak pernah mengalah.

Sebagai anak seni sejati, dia terus gigih berkarya walaupun industri perfileman tempatan kini agak merudum. Kini, Aziz akan mempertaruhkan filem baru terbitannya, Jengka.

Bergenrekan seram, filem Jengka arahan Ramdan Che Hassan dan Nyon Othman itu akan menemui penonton di pawagam tanah air mulai 26 Mac ini.

Antara barisan pelakon yang membintangi filem Jengka ialah Riezman Khuzaimi sebagai Basir, Ramona Zamzam (Nini) Afida Es (Mak Fida), Raja Azrey (Along), Eyka Farhana (Aqish), Jobot (Ustaz Mizi) dan Sahiddin (Nyun).

Berbicara mengenai inspirasi filem itu, Aziz, 53, berkata, semuanya berlaku secara kebetulan kira-kira lima tahun lalu.Katanya, ketika itu dia sibuk menyiapkan drama hari raya untuk TV3.

“Pada 2010, ketika terbabit menyiapkan penggambaran drama di satu lokasi, seorang lelaki datang bertemu saya dan dia menceritakan kisah ini yang didakwa berlaku pada keluarganya.

“Lelaki yang juga anak jati Jengka, Pahang itu berjaya meyakinkan saya bahawa kisah diceritakannya cukup menarik untuk dijadikan karya.

“Saya sendiri akui berminat dengan cerita itu kerana ia ada kelainan untuk dikongsi bersama penonton. Kisahnya bukan seperti cerita seram yang biasa didengar,” katanya.

Bagaimanapun, Aziz berkata, ketika itu dia tidak ghairah mahu menerbitkan filem hantu. Namun, dia tetap bercadang menghasilkan cerita itu ke layar perak.

Berbekalkan sumber kewangan yang dikumpul, pada mulanya Aziz merancang menghasilkan filem bajet kecil. Apapun, selepas melihat hasilnya dia dapati ada potensi untuk dibesarkan.

Membuat penambahan bajet pelaburan, maka terhasillah filem Jengka yang memberi ruang kepada Aziz bertindak sebagai penerbit dan penasihat cerita.

“Apapun, saya menganggap pertemuan dengan lelaki itu sebagai rezeki untuk terus menghasilkan karya baru. Pada masa sama, cerita itu ada kelainan tersendiri.

“Cerita disampaikan itu berbeza dengan kisah seram yang pernah diangkat menjadi karya filem sebelum ini. Ia lebih menjurus pada kewujudan entiti,” katanya.

Mengulas soal bajet, Aziz berkata, setakat ini, perbelanjaan digunakan untuk filem Jengka hampir mencecah RM1 juta.

Bercerita mengenai elemen entiti atau makhluk halus diketangahkan, Aziz berkata, bukan mudah sebenarnya menghasilkan filem bergenre seram atau hantu.

Katanya, filem seram menuntut seseorang pengarah itu lebih kreatif daripada pelbagai aspek seperti sudut penceritaan, teknik kamera, elemen kejutan, mendebarkan, takut dan sebagainya.

“Menghasilkan filem seram tak sama dengan karya cinta dan romantik. Biasanya dalam filem cinta, segala emosi dan perasaan digalas oleh pelakon sebagai peranan utama.

“Bagi filem seram, pengarah perlu bijak mencipta babak menarik yang mampu membuatkan penonton dapat merasai kisah penceritaan yang dimuatkan dalam karya itu,” katanya.

Menurut Aziz yang berkarya bukan untuk mengejar keuntungan, dia hanya mahu menjadi pencerita terbaik melalui karya berkualiti untuk dikongsi bersama penonton.

Sebagai penggiat seni yang tidak asing di persada industri hiburan tanah air, Aziz pernah menghasilkan karya filem hebat seperti Femina, Fenomena, XX Ray, Senario The Movie, Leftenan Adnan dan banyak lagi.

Sinopsis Filem Jengka
Filem ini berkonsepkan ‘paranormal’ menceritakan Nini yang sarat mengandung meminta suaminya, Basir menghantar dia pulang ke kampungnya di Jengka, Pahang untuk melahirkan anak.

Basir hanya mengikutkan saja kehendak isterinya dengan alasan dia pun sibuk dengan urusan kerja dan tidak boleh menemani Nini.

Kepulangan Nini di kampung diraikan keluarganya dengan mengaturkan majlis kenduri doa selamat sempena menyambut kelahiran bayi dikandung Nini.

Bagaimanapun, mak bidan yang dijemput datang ke majlis itu menasihatkan Nini supaya tidak dibebankan dengan tekanan perasaan. Ini kerana, Nini akan diganggu ‘semangat tidak baik’.

Malangnya, pada majlis kenduri itu Nini mengetahui kecurangan Basir yang memiliki kekasih gelap. Akibat kecewa dan memberontak, Nini akhirnya lari dari rumah.

Nini menyusup masuk ke ladang kelapa sawit yang didakwa ‘berpenunggu’ dan hilang secara tiba-tiba. Bahkan, paling megejutkan Basir, along dan orang kampung hanya mendengar jeritan Nini dan tangisan bayinya.

Apakah yang sebenarnya berlaku kepada Nini? Adakah Nini dan bayinya selamat? Semua jawapan untuk kisah yang berlaku ini ada jawapannya dalam filem Jengka.

Diterbitkan Ace Motion Pictures, Jengka yang menjurus pada kisah gangguan entiti dan makhluk halus itu diletakkan dalam klasifikasi tontonan P13. Filem ini berdurasi satu jam 20 minit.

TRAILER JENGKA!!

Sunday, March 15, 2015

KEHIDUPAN PUAK SAMI KANIBAL


Memakan daging manusia, minum menggunakan tengkorak dan tinggal bersama mayat, menyebabkan satu puak sami ini sangat digeruni penduduk di India.


Sami Aghori yang tinggal di bandar suci Varanasi yang terletak di negeri Uttar Pradesh ini mengamalkan gaya hidup pelik, kononnya untuk lebih dekat dengan Tuhan.

Puak ini tinggal di kawasan pembakaran mayat dan memakan daging manusia serta minum menggunakan tengkorak sebagai satu ritual keagamaan.

Mereka juga menggigit kepala haiwan hidup hingga putus, meditasi di atas mayat dan mendakwa boleh meramal masa depan.

Maka, tidak hairanlah mengapa puak sami ini sangat digeruni penduduk di India sehingga mereka dianggap golongan terbuang.

Namun bagi jurugambar Itali, Cristiano Ostinelli, puak berkenaan sangat unik dan dia sanggup tinggal bersama untuk merakamkan kehidupan mereka.

Ostinelli berkata, gambar berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk menyelami kehidupan sami misteri itu.

“Mereka diselubungi misteri yang hebat. Mereka juga digeruni penduduk di sini kerana didakwa boleh meramal masa depan, berjalan di atas air dan mempunyai kuasa sihir,” katanya.

Sami itu menggunakan ganja, alkohol dan meditasi untuk membantu mereka mencapai tahap tidak kesedaran tertinggi dan membawa mereka lebih dekat dengan dewa Hindu, Shiva.

Mereka percaya dengan mendekati mayat walaupun dianggap tabu atau mengganggu oleh orang ramai mereka semakin hampir ke tahap kesucian.

Sami ini percaya dewa Shiva dan Kali Ma juga tinggal di kawasan pembakaran mayat serta makan apa sahaja yang dibuang oleh manusia.

Mayat biasanya dibakar dan abunya dibuang ke dalam Sungai Ganges yang mengalir di Varanasi tetapi ada mayat yang dibuang tanpa dibakar.Sami Aghori dipercayai mengutip mayat ini untuk upacara keagamaan mereka.

Ada bahagian mayat digunakan sebagai perhiasan atau alat pemujaan manakala dagingnya dimakan mentah-mentah.

Mereka percaya darah dan daging hanya sementara dan tubuh badan manusia pula adalah bentuk yang tidak penting.

Kepercayaan itu menyebabkan mereka suka tinggal di kawasan pembakaran mayat dan dikelilingi kematian serta mayat yang mereput.

Puak sami ini mudah dikenali kerana berjalan dengan pakaian yang sedikit atau tidak berpakaian langsung.

Mereka percaya dengan tidak berpakaian boleh menghalang mereka daripada godaan dunia dan menunjukkan badan manusia dalam bentuk yang paling suci.

Puak Aghori percaya amalan mereka berasal dari sami puritan, Baba Kinaram yang dipercayai hidup pada kurun ke-17. - Agensi

Thursday, March 12, 2015

FILEM TERBARU MR. VAMPIRE VERSI MALAYSIA?


Sudah bergelar penyampai radio dan pengulas sukan, Kieran kini melebarkan langkah dalam bidang lakonan pula menerusi filem Zombie vs The Lucky Exorcist arahan Jaguar Lim yang mula ditayangkan hari ini.


Menerusi filem genre komedi aksi kungfu ini, Kieran membawakan watak bomoh bernama Osman yang berlawan dengan Zombi yang menyerang sebuah kampung.

Saya memang suka filem kungfu dan waktu kecil dulu suka juga layan filem Cina. Tak sangka tiba-tiba datang pula tawaran untuk berlakon filem Cina tempatan. Saya memang tak pernah terfikir nak berlakon filem Cina.

Saya terima tawaran ini kerana wataknya yang tak berat. Jaguar hubungi saya dan seterusnya saya diberikan skrip. Saya juga diberitahu pelakon Hong Kong, Bobby Yip dan Hidy Yu turut berlakon sekali gus membuatkan saya lagi bersemangat,” katanya.

Kieran berkata, dia pernah didatangi tawaran lain, tapi terpaksa menolak kerana terikat dengan kerjayanya sebelum ini sebagai penyampai radio di Hot FM.

Agak susah kerana saya bekerja pada waktu petang dan penerbit sukar membuat jadual. Tapi Jaguar Lim sanggup buat penjadualan dan tak ganggu masa bekerja saya. Bahkan dia sanggup ikut kesesuaian masa saya untuk penggambaran.

Saya pun tak sukar nak bawa watak Osman kerana dah tahu karakter bagaimana yang dikehendaki pengarah, sekali gus memudahkan saya berlakon. Menariknya, saya juga bertutur beberapa dialog bahasa Mandarin dalam filem ini,” katanya.

Menurutnya lagi, penggambaran filem ini dibuat dua tahun lalu ketika bulan Ramadan dan baru sekarang ditayangkan.

Ia bukanlah filem pertama lakonan Kieran kerana sebelumnya dia sudah berlakon filem berjudul Kantoi.

Saya pun tak tahu perkembangan filem ini, tapi saya sekarang terfikir nak serius berlakon sekiranya ada tawaran. Tambahan lagi saya dah tak terikat dengan tugas sebagai penyampai radio dan hanya bekerja secara sambilan dengan Sinar FM setiap Sabtu.

Sekiranya ada penerbit yang tawarkan peluang berlakon, tak salah untuk saya mencuba. Secara peribadi saya dikenali dengan karakter keras, jadi tentunya saya sukakan watak antagonis seperti gangster dan mafia kerana lebih mudah dihayati, katanya.

Fokus pada perniagaan
Selain bertugas secara sambilan di Sinar FM, Kieran juga selesa dengan perniagaan sejuk Kieransfoodproducts sejak 8 Oktober tahun lalu.Dia gembira kerana sambutan yang diterima semakin hari semakin menggalakkan.

Saya lebih senang menjual secara online atau menerusi pengedar kerana setakat ini saya belum ada kedai tetap. Ejen pengedar saya kini berkembang di Alor Setar dan Johor Bahru dan saya menyasarkan banyak lagi kawasan akan dimasuki nanti.

Sebenarnya bukan mudah terbabit dengan perniagaan kerana saya perlu fokus dan banyak habiskan masa di sini. Saya lebih senang pasarkan produk sendiri dan bukan ambil barang orang kemudian labelkan dengan jenama saya, katanya.

Biarpun sibuk, Kieran tetap bersyukur kerana bidang ini memberikan lebih banyak masanya untuk bersama dua anaknya, Muhammad Adam, 6, dan Muhammad Iman, 4, serta ibunya, Kamariah Akbar Ali, 60.

TRAILER Zombie vs The Lucky Exorcist

Friday, February 27, 2015

TERAKAM GAMBAR PUNTIANAK HINGGAP DI BALKONI ASRAMA UITM.


SETIAP pelajar yang pernah tinggal di asrama pastinya mempunyai pengalaman mistik atau sekurang-kurangnya, mendengar kisah-kisah seram daripada senior.

Jarang ada yang dapat membuktikannya melainkan melalui cerita mulut sahaja, justeru gambar yang didakwa berjaya dirakam penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini sungguh mengemparkan.

Makhluk ini didakwa sebagai pontianak yang sedang berdiri di balkoni asrama!

Kejadian dikatakan berlaku Ahad lalu di sebuah cawangan IPTA tersebut yang terletak di Negeri Sembilan.

Pun begitu, baik kiranya kami rahsiakan lokasi tepat asrama berkenaan kerana gusar boleh mencetuskan ketakutan dalam kalangan penuntut.

Gambar yang mula tersebar di laman sosial ini sekaligus menimbulkan tanda tanya sama ada ianya asli atau tidak.

Meskipun ada pihak menganggap kisah makhluk halus adalah tahyul, namun ramai juga beranggapan kewujudannya tidak boleh diketepikan.

Bagaimanapun harus diingat, manusia adalah sebaik-baik kejadian di muka bumi ini maka kita tidak seharusnya takutkan makhluk lain yang juga ciptaan Allah SWT.


Wednesday, February 25, 2015

PASANGAN KEKASIH DITELAN BUMI??


Viral kini di laman Youtube, satu rakaman CCTV yang memaparkan sepasang warga Korea Selatan kelihatan melalui detik cemas apabila terjerumus secara tiba-tiba ke dalam laluan pejalan kaki.


Menerusi video kejadian yang berlaku di Seoul itu, pasangan itu pada mulanya turun dari sebuah bas kemudiannya ketika berjalan pada bahagian jubin yang kelihatan timbul, ia terus runtuh dan menyebabkan pasangan tersebut jatuh pada kedalaman 10 kaki.

Pihak penyelamat dihubungi dan segera ke tempatkejadian untuk membantu keluarkan mangsa. Mujurlah pasangan itu hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Hasil siasatan awal mendapati lubang itu terbentu di bawah jubin dan mungkin berpunca dari pembinaan pangsapuri 39 tingkat di kawasan berhampiran.

Setelah itu laluan itu ditutup untuk kerja pemeriksaan oleh pihak berkuasa.

Tuesday, February 17, 2015

LOKASI YANG MENGGERUNKAN

Bayangkan cerunan gunung yang menegak atau ombak besar maut menggunung, jalan cerun yang menggayatkan. Demi minat dan kepuasan untuk merakam lokasi-lokasi berbahaya ini, ia tentu tidak menjadi terlalu bermasalah walaupun nilainya mungkin memakan nyawa sendiri.

Walaupun begitu, sejumlah lokasi amat berbahaya ini mungkin memerlukan anda berfikir lebih daripada sekali sebelum menyahut cabarannya.

Berikut adalah antara lokasi rekreasi paling berbahaya di dunia:


Half Dome, Taman Negara Yosemite

Setinggi hampir 1,500 meter dari Lembah Yosemite, Half Dome adalah lejenda di kalangan pendaki.
Memerlukan masa seharian dan jerih untuk sampai ke puncak, jarak 120 meter terakhir ‘kubah’ ini hampir menegak 90 darjah.

Pendaki perlu menggunakan kabel logam sebagai alat bantu untuk menjejakkan kaki di puncaknya.Namun, perlu diingatkan bahawa di peringkat inilah kemalangan paling banyak terlaku dan dilaporkan, kira-kira 60 orang terbunuh di sini.

Pada 2011 seramai tiga pendaki maut, dengan dua daripadanya dihanyutkan arus di bawahnya.Jika itu belum cukup menggerunkan, ini mungkin dapat memberikan gambaran lebih jelas: Sesetengah pendaki maut kerana disambar petir!


Lawatan ke gunung berapi Hawaii

Aktiviti mengunjungi gunung berapi aktif semakin popular di kalangan pelancong yang dahagakan cabaran. Namun ia ternyata tidak semakin selamat.

Taman Negara Gunung Berapi Hawaii melaporkan ada sebanyak 40 kematian dan 45 kecederaan serius antara 1992 hingga 2002.

Pada 2007 mereka menutup aktiviti berbasikal di Kilaluea tempat gunung berapi paling aktif di dunia selepas tiga orang maut dalam tempoh setahun.

Kini dibuka semula, pelancong terdorong untuk ke puncak gunung berapi sebelum boleh berbasikal ketika menuruni cerunnya.Risiko yang ditempah?

Hilang kawalan, cedera parah, melecur akibat terkena lahar dan terhidu gas beracun yang membunuh.
Mont Blanc, Perancis & Itali

Daripada 20,000 pengunjung yang cuba mendaki pergunungan tertinggi di kalangan negara Kesatuan Eropah ini, berpuluh-puluh terbunuh.

Dengan ketinggian 4,810 meter, pelancong sering menjadi korban akibat perubahan cuaca mengejut, jumlah pengunjung melampau dan runtuhan batu.

Kejadian terburuk direkodkan dalam tempoh beberapa tahun ini ialah pada 2012 apabila sembilan pendaki dari Switzerland, Jerman, Britain dan Sepantyol terbunuh dirempuh runtuhan salji.


Jalan Maut, Bolivia

Dianggap satu daripada laluan paling berbahaya di dunia, Jalan Yungas Utara sering dirujuk sebagai Jalan Maut. Ia tidak menghairankan jika melihat kepada kadar kematian dicatatkan di situ sehingga 300 orang setahun.

Laluan 64 kilometer dari puncaknya menarik lebih 25,000 penunggang motosikal setiap tahun.Jalan yang sempit, tanpa penghadang keselamatan dan tebing tinggi menjadi ujian kepada mereka.


Kokoda Track, Papua New Guinea

Popular ketika Perang Dunia Kedua, Kokoda Track menjadi tempat kunjungan warga Australia yang ingin memberi penghormatan kepada tentera yang terkorban ketika konflik berkenaan.

Laluan sepanjang 96 kilometer itu melalui kawasan hutan, sungai dan pergunungan.Setakat ini ia sudah mengorbankan enam pengunjung Australia, selain 50 yang lain terpaksa diselamatkan melalui helikopter.


Teahupoo Gigantic Wave 

Disenarai sebagai antara 10 lokasi berombak besar paling bahaya di dunia, ada lima kematian dicatatkan sejak 2000.

Menjadi lokasi kejohanan dunia setiap tahun, ombaknya boleh mencapai ketinggian tujuh meter bersama kekuatan yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.Nama Teahupoo boleh diterjemah sebagai “Tempat Tengkorak.”


Gunung Huashan, China

Bersatu dengan pergunungan suci Tao, laluan di sini adalah antara yang paling bahaya di dunia.Tangga yang curam dibina mengelilingi gunung setinggi 2,154 meter itu dengan rantai sebagai tempat berpaut.

Pendaki yang berani akan mendapat ‘habuan’ jika mereka berjaya tiba di puncak iaitu secawan teh.
Walaupun tiada statistik rasmi mengenai kematian di sini, dianggarkan 100 orang terbunuh setiap tahun.


Pantai Acapulco

Jangan terpedaya bahawa keindahan pantai akan menjamin keselamatan.Kawasan perkelahan Acapulco memang terkenal dengan jenayah tinggi dengan kadar pembunuhan sebanyak 142 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Firma pelancongan Australia pula menyarankan warga negara itu hanya melawat kawasan yang sering dikunjungi ramai, tetapi masih mengingatkan lokasi itu tetap berdepan risiko pembunuhan dan penculikan.

Kebanyakan jenayah berlaku di kejiranan kelas pertengahan yang terletak tidak jauh dari apartmen mewah, pusat peranginan dan kedai eksklusif.


Rangkaian sungai Colorado

Ia mungkin rangkaian sungai paling popular di Amerika Syarikat, tetapi dibayangi pelbagai kecelakaan dengan sesetengahnya menyebabkan kematian.

Pada 2014, berlaku 15 kematian dalam tempoh tujuh bulan pertama menjadikan tahun lalu sebagai tempoh paling buruk dalam sejarahnya.

Jabatan Taman dan Hidupan Liar Colorado menyalahkan salji cair dari bahagian hulu menyebabkan paras air meningkat mendadak serta kian deras.

Mereka juga mendakwa pengambilan arak dan kekurangan pengalaman menyumbang kepada banyak kemalangan.


Skellig Michael

Terletak di barat Ireland, Skellig Michael diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1996 berdasarkan kepada kewujudan biara purba unik di situ.

Ia boleh dicapai selepas anda mendaki 600 anak tangga berusia lebih 1,000 tahun sambil mengharungi deruan angin kencang serta lereng curam.Tergelincir dan terjatuh adalah kemalangan paling lazim di sini.

Pada 2009, dua kematian direkodkan dan mendorong pihak yang berkenaan mengkaji semula aspek keselamatan sedia ada.Namun di sebalik kemalangan berkenaan, mereka tetap tidak memasang palang keselamatan di situ.

Tuesday, February 10, 2015

MISTERI ANAK BABI MUTAN


Seorang petani terkejut apabila babi peliharaannya melahirkan anak ‘mutan’ dengan wajah seakan manusia serta kemaluan lelaki pada dahinya.


Tao Lu, 40, berkata, anak babi itu dilahirkan hidup, tetapi tidak diterima ibunya. Haiwan ganjil itu mati selepas enggan minum susu dari botol.

Tao kemudian memuat naik gambar haiwan malang itu ke Internet sebelum menjadi viral dan dibeli agensi berita China.

Katanya, sebaik gambar itu viral dia mendapat pelbagai tawaran wang yang tinggi daripada pihak yang mahu membeli haiwan itu kerana disangka masih hidup.

“Sayang anak babi itu mati, jika tidak pasti kami sekeluarga dapat merasa habuannya,” katanya.
Sebanyak 18 lagi anak babi dilahirkan tidak menunjukkan sebarang kecacatan.

Berikutan itu, Tao berkata dia akan mempamerkan bangkai babi itu untuk mereka yang berminat melihatnya.

Sunday, January 4, 2015

POVEGLIA - PULAU BERHANTU DI ITALI


POVEGLIA: Pulau ini disebut dalam sejarah, apabila orang-orang dari Padua dan Este melarikan diri dari pencerobohan orang gasar . Dalam abad ke-9 penduduk di pulau ini mula berkembang , dan dalam abad yang berikut populasinya berkembang dengan pesat , sehingga ia ditadbir oleh Podestà yang berdedikasi . Dalam tahun 1379, Venice telah diserang dari armada Genoan dan kesemua rakyat Pulau Poveglia telah berpindah ke Giudecca .


Pulau ini masih tidak didiami pada abad-abad yang berikutnya.Kisah seram Pulau Poveglia ini telah di dokumentasikan untuk episod kedua terbaik bagi season terbaru Ghost Adventures. Pulau Poveglia , di luar pantai Venice, Itali , ini adalah salah satu pulau paling gelap di dunia . Menurut lagenda , pulau ini terbentuk daripada abu mangsa yang di bakar hidup-hidup dibakar, dan telah di jadikan sebuah penjara buat penjenayah dan sebuah hospital bagi pesakit mental yang tidak diterima oleh ahli keluarga.

GAMBAR-GAMBAR DI SEKITAR PULAU POVEGLIA YANG DI KAITKAN DENGAN KISAH SERAM DAN MISTERI.


Monday, December 29, 2014

SEBUAH FILEM EKSPERIMENTAL SYAFIQ YUSOF TERBITAN VIPER STUDIOS & SKOP PRODUCTIONS.


Villa Nabila filem seram arahan Shafiq Yusof terbitan Viper Studios & Skop Productions bakal di tayangkan pada pertengahan Januari 2015 ini amat dinanti nantikan.Dengan harapan filem bergenre seram ini tidak sama seperti filem-filem yang kita pernah tonton sebelum ini.

SAKSIKAN TRAILER VILLA NABILA INI



Tuesday, December 16, 2014

FILEM EPIC THRILLER PERTAMA MALAYSIA BAKAL DI PAWAGAM

Nasir Jani bakal arah filem adaptasi novel thriller nombor satu Malaysia.

Setelah hampir tiga dekad menghilang, pengarah veteran, Nasir Jani tampil mengarah filem baru adaptasi novel thriller nombor satu Malaysia karya Ramlee Awang Murshid.


Kali terakhir Nasir duduk di kerusi pengarah adalah 27 tahun lalu, ketika menghasilkan dua buah filem sekitar tahun 80an iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rosana Cinta 87.

Namun menurut Nasir, dia tidak menghilangkan diri tetapi aktiviti seninya banyak tertumpu di belakang tabir.

“Saya mungkin sudah lama tidak mengarah, tetapi saya tak hilang. Saya masih lagi aktif menulis dan membuat kerja-kerja di sebalik tabir tetapi cuma tak menggunakan nama ‘Nasir Jani’” jelas Nasir yang mempunyai kolum tetap di akhbar Sinar Harian.

Bakal mengarahkan filem ‘Tombiruo: Penunggu Rimba’, kata Nasir, kerana minatnya terhadap hasil karya Ramlee membuatkan dirinya tertarik untuk menerima tawaran ini.

“Novel-novel Ramlee telah diperkenalkan oleh anak saya beberapa tahun dahulu dan sehingga kini saya sudah ‘khatam’ kesemua 24 novel hasil tulisan Ramlee.

Apabila Ramlee datang sendiri berjumpa dengan saya dan menawarkan peluang ini, saya terima dengan hati yang terbuka kerana saya sendiri adalah peminat novel-novelnya.

Sebagai pengarah saya akui, tanggungjawab yang digalas amat berat terutama dalam memvisualkan sebuah novel popular” katanya yang ditemui di sidang media filem Tombiruo: Penunggu Rimba.

'Tombiruo: Penunggu Rimba' hasil nukilan Ramlee Awang Murshid telah diterbitkan pada tahun 1998 sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.

Filem aksi ini merupakan kerjasama antara syarikat Layar Sunan, Karangkraf Media Group dan Ideate Media serta merupakan filemm adaptasi ketiga bagi Karangkraf selepas Ombak Rindu dan Manisnya Cinta di Cappadocia.

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba menceritakan mengenai mitos yang wujud di dalam lagenda hutan tebal masyarakat di Sabah yang sebenarnya adalah seorang manusia yang berwajah tidak sempurna yang bertindak sebagai penjaga rimba.

Novel yang diterbitkan pada tahun 1998 ini sehingga kini telah terjual hampir 70,000 naskhah serta telah diulang cetak kali ke 14.

Dalam majlis yang sama, penulisnya Ramlee yang cukup terkenal dengan genre thriller dan pengembaraan aksi berkata, hatinya terbuka untuk membenarkan karyanya kali ini diangkat ke layar perak kerana adanya kerjasama bersama Karangkraf.

“Sebelum ini memang ada lamaran mahu novel saya difilemkan, tetapi saya tolak kerana saya cerewet dalam membenarkan karya saya diolah.

"Apabila ada tawaran begini, dalam masa yang sama Karangkraf turut bertindak sebagai penerbit filem. Saya terima kerana bekerja dengan Karangkraf lebih bebas dan lebih bertolak ansur,” katanya yang sudah menghasilkan 24 novel di bawah terbitan Karangkraf.

Filem yang akan menjalani pengambaran di Sabah ini akan memulakan produksi pada pertengahan tahun hadapan.

Pihak produksi dijangka akan mengumumkan barisan pelakon yang akan membintangi filem Tombiruo: Penunggu Rimba ini tidak lama lagi.

Monday, December 1, 2014

PARANORMAL AKTIVITI DI HOSPITAL LAMA DAERAH PILGRIM


Apa pendapat anda tentang rakaman cctv ini?Ianya telah di rakam oleh kamera litar tertutup pengawal di bangunan 55 Brentwood iaitu salah sebuah bangunan lama Hospital Daerah Pilgrim yang sangat terkenal dengan paranormal aktivitinya.


Di setiap penjuru bangunan terbabit telah dipasang dengan cctv kerana terdapat aduan mengenai remaja-remaja yang suka merosakan harta benda awam di situ.Bangunan lama itu turut menempatkan sebuah unit rawatan rapi sakit mental yang menakutkan.

Pernah juga kakitangan pejabat baru di kawasan itu diganggu oleh perkara-perkara aneh hingga membuatkan mereka berasa takut untuk bekerja hingga lewat malam.

Saksikan `footage ini`..

Monday, November 24, 2014

MACKAMEY MANOR RUMAH HANTU PALING SERAM DI DUNIA?


Sanggupkah anda merasai pengalaman di rumah hantu paling menakutkan di dunia? Percaya atau tidak, McKamey Manor, San Diego, California mempunyai 24,000 dalam senarai menunggu yang rata-rata tidak gerun memasuki rumah hantu itu.


Mungkin juga mereka tercabar mahu menjadi yang pertama mampu menghabiskan keseluruhan pengembaraan disediakan di dalam McKamey Manor. Sejak dibuka 14 tahun lalu, belum ada seorangpun pengunjung berjaya sampai ke garisan penamat.

Lihat saja gambar-gambar ini-amat menggerunkan! Jika memasuki rumah ini, bersedialah untuk diikat, disumbat dalam sangkar ular dan disimbah darah palsu.

Tidak hairanlah jika orang yang paling gagah sekalipun-termasuk anggota tentera marin-ada yang menangis ketakutan 'dikerjakan' hantu-hantu di McKamey Manor.

Kalau sekadar ingin menjenguk, anda boleh melihat pengembaraan menakutkan yang mengambil masa antara empat hingga lapan jam untuk dihabiskan secara online.

Pengasasnya Russ McKamey, 55, dan teman wanitanya Carol Schultz kreatif memastikan pengunjung merasai pengalaman berbeza setiap kali ke McKamey Manor.

"Ini penting kerana acara kami berunsur sinematik. Jadi kami mengubah temanya setiap tahun namun apa yang penting, pengunjung akan rasa diikat anggota badan atau mulut, dimasukkan dalam kandang ular atau dipaksa makan telur busuk," katanya.

Syaratnya hanya dua pengunjung boleh memasuki rumah itu pada satu-satu masa dan latar belakang mereka juga diperiksa sebelum dibenarkan masuk.

Tidak ada bayaran dikenakan untuk masuk ke rumah hantu itu namun pengunjung mesti berusia 21 tahun ke atas dan sihat mental serta fizikal selain menandatangani dokumen penepian terlebih dulu.

McKamey berkata dia menghasilkan projek itu kerana begitu meminati kisah seram seperti Psycho, Texas Chainsaw Massacre dan The House on Haunted Hill dan sanggup menghabiskan lebih AS$500,000 (RM1.6 juta) untuk menjadikan McKamey Manor pengalaman paling menakutkan di dunia.

"Pengalaman yang kami tawarkan adalah interaktif malah saya turut berbincang dengan peminat selain membuat kajian mendalam. Percayalah, apa yang dialami di sini amat unik-tidak ubah seperti merasai filem seram anda sendiri," katanya.

Saturday, November 22, 2014

DEFINISI SI "HANTU GALAH" MENGIKUT KEPERCAYAAN ORANG MELAYU


"Hantu Galah" merujuk kepada sejenis makhluk halus dalam kepercayaan Melayu, kemungkinannya dari golongan jin atau syaitan.


Ia dikatakan berbentuk seperti manusia tetapi bersaiz besar dan amat tinggi sehingga kepalanya dikatakan mampu menyapu awan. Ia sering kali ditemui jauh di dalam hutan dan biasanya hanya kakinya yang kelihatan.

Mereka yang diusiknya dikatakan sering menyangka kakinya sebagai batang pokok. Kakinya dikatakan berbulu panjang dan hanya mangsa hanya terserempak pada waktu malam apabila sering bersandar atau memegang kakinya, atau ketika melalui celah kangkangnya.

Manusia yang bersahabat dengannya dikatakan boleh mencabut bulu betisnya yang akan dibakar untuk menyerunya apabila memerlukan pertolongannya.

Hantu galah dipercayai hanya mengusik tetapi tidak membahayakan orang.

Hantu galah dikatakan nampak dalam keadaan normal apabila kita pertama kali melihatnya tetapi menjadi tinggi dan tinggi sampai ke satu masa kita hanya melihat kakinya. Seseorang dinasihatkan supaya tidak mendongak ke atas atau kepala kita akan selama-lamanya mendongak ke atas.

Seseorang juga dinasihatkan tidak berjalan di celah kakinya atau hantu ini akan mengepit orang itu dengan kakinya yang panjang.

Kalau ditakdirkan terjumpa hantu galah, dinasihatkan supaya meniarap. Kerana tubuh makhluk ini yang tinggi lampai, ia tak akan perasan manusia yang meniarap.

Hantu galah antara hantu-hantu yang dikatakan direka ceritanya untuk menakut-nakutkan kanak-kanak supaya tidak memanjat pokok pada waktu malam. Sesetengah orang Melayu percaya hantu galah dapat dilihat jika seseorang itu mempercayai kewujudannya

VIDEO INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA

Monday, November 3, 2014

RAKAMAN JELMAAN PUNTIANAK HOSPITAL BANTING


Imej lembaga kononnya didakwa menyerupai pontianak di Hospital Banting yang dirakamkan oleh pihak tertentu kini mula tersebar di laman sosial Facebook (FB) sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.


Meskipun ada pihak menganggap ia sebagai tahyul, namun tanggapan ramai dalam kalangan masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus juga tidak boleh diketepikan.

Bekas Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Abd Samad Maharudin berkata, beliau percaya keadaan itu wujud. Namun katanya, masyarakat dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh sehingga menakut-nakutkan pelanggan hospital.

Beliau yang pernah menjadi Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Datuk Harun Idris memaklumkan, pada asalnya tapak kawasan Hospital Banting dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat merupakan kawasan ladang getah dan kelapa sawit.

Justeru katanya, kewujudan makhluk halus di kawasan-kawasan berkenaan tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, beliau tetap menegaskan bahawa hal tersebut tidak wajar dijadikan isu utama kerana bimbang ia disalah tafsir, sedangkan yang Maha Berkuasa adalah ALLAH SWT.


Berhenti sebar gambar!!

“Masa tu, kawasan tersebut adalah milik sebuah syarikat swasta yang mengusahakan ladang getah dan kemudian di jadikan ladang kelapa sawit. Selepas pembinaan bangunan hospital dilakukan, tidak pula pernah dengar ada jelmaan makhluk halus. Cuma... jika betullah seperti yang kecoh sekarang ni, saya cuma anggap itu sebagai petunjuk dari ALLAH, untuk manusia beringat-ingat.

"Lagipun hospital... biasalah. Hospital kan tempat banyak berlaku insiden ngeri macam pesakit mati kemalangan, mati dibunuh, mati bunuh diri, atau pun mati sakit. Itu perkara biasa, tapi janganlah pula ia dijadikan satu kebimbangan yang tidak sepatutnya kepada masyarakat.

“Mengenai gambar-gambar (pontianak) tu, boleh jadi ia telah diedit. Bagi saya mudah saja, selagi ia tak kacau masyarakat biarkanlah. Tapi jika ada gangguan, pihak pengurusan hospital perlu ikhtiar melakukan sesuatu,” katanya yang mahukan masyarakat berhenti menyebarkan foto berkaitan makhluk halus berkenaan di laman sosial ataupun menerusi lain-lain medium.

Abd Samad berkata, beliau mahu masyarakat memanfaatkan kemudahan yang ada dengan baik dan tidak mencetuskan keadaan yang boleh mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.

"Saya yakin masyarakat boleh buat pertimbangan yang wajar akan situasi yang berlaku ini," katanya yang juga merupakan bekas Adun Morib sekitar tahun 1995.

Bukan rakaman CCTV hospital

Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Banting, Abdul Razak Khasbullah berkata, beliau belum pernah menerima aduan daripada pihak pengurusan hospital atau aduan awam mengenai sebaran gambar tersebut.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan telah bertemu dengan pengarah hospital berhubung hal berkenaan dan merumuskan kejadian itu tidak pernah berlaku di dalam wad apatah lagi ia hanya sebuah rakaman melalui telefon bimbit dan bukannya melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik hospital.

“Bagi saya senang, dalam Islam kita tak boleh meragui kewujudan makhluk-makhluk berkenaan. Cuma, apa yang perlu diberi perhatian adalah pihak yang mengirimkan gambar-gambar berkenaan agar berhenti menyebarkannya jika hanya nak menakut-nakutkan orang ramai.

“Paling penting kejadian itu pun bukan boleh dilihat oleh semua orang... hanya insan-insan terpilih sahaja yang boleh nampak. Jadi tak perlulah nak sebarkan gambar-gambar seumpama itu. Ini penting bagi mengelakkan keraguan dan kebimbangan di kalangan masyarakat,” katanya yang turut memaklumkan hospital tersebut telah dibina sejak tahun 1974.

Simpan buat koleksi peribadi

Sementara itu, seorang orang awam, Adenan Yusop, 50, berkata, dia tidak pernah melihat atau terdengar khabar angin mengenai sebaran gambar menyerupai pontianak itu walaupun percaya kewujudan makhluk halus.

"Pihak yang dapat rakam gambar 'benda' tu tak payahlah nak sebar-sebarkannya... bagi takut orang ramai buat apa. Nanti orang yang sakit takut nak datang hospital, bukankah dah bagi masalah tu.

"Apa lebih elok, pihak tu simpan sendiri semua gambar pontianak tu jadi koleksi peribadi. Lagipun, kejadian makhluk halus ni tak boleh dibuat main-main... jika benarlah ada, hal ni perlu diambil serius... bukannya memutar belitkan maklumat,” katanya.

Sunday, October 26, 2014

HOBI PEREKA WAJAH SERAM


PEKERJA rumah kebajikan Nikki Shelley, 33, mempunyai minat unik apabila menggunakan cat wajah untuk mengubah mukanya sehingga menyerupai pelbagai watak menakutkan, termasuk hantu serta zombi, malah hasil tangannya kini semakin popular di Facebook sehingga turut mendapat perhatian pakar kesan khas siri fiksyen sains popular BBC, Doctor Who dan Torchwood.


Ibu tiga anak itu yang mempelajari sendiri kemahiran melukis muka nyata terkejut dengan perhatian diterimanya.

“Saya melakukannya kerana minat tanpa menyangka ia mampu mendapat reaksi sebegini. Saya tidak membuat apa-apa perancangan ketika menyolek wajah, sebaliknya membiarkan saja kreativiti mengambil alih pergerakan tangan saya,” katanya.

Nikki berkata, minat itu bermula selepas mengecat wajah tiga anaknya - Taylor, 13, Leah, 11, dan Kaiden, sembilan - untuk Halloween tanpa menyangka itu sebenarnya bakat terpendam.

Hasil kerja yang dimuat naik ke Facebook mendapat pujian lebih 1,000 pengguna media sosial itu dan keluarganya termasuk suami, Craig, 37, kagum dengan bakatnya sehingga menganggap rugi jika tidak menjadikannya kerjaya profesional.

“Pada mulanya saya mengecat wajah anak untuk Halloween. Kemudian saya cuba pula menyolek muka Craig. Lama-lama saya mengecat muka sendiri dan cuba memikirkan pelbagai kaedah untuk menghasilkan wajah berbeza dan unik,” katanya.

Menurutnya, idolanya yang juga pereka prostetik, Neill Gorton turut tertarik dengan bakatnya dan memintanya menyertai persidangan The Prosthetics Event di Birmingham sebagai tenaga pengajar, bulan depan.

“Ini memang peluang besar untuk saya. Tidak pernah saya terbayang mampu menjadi pengajar dalam acara dikendalikan Gorton.

“Memang tempoh 18 bulan lalu sungguh menyeronokkan dan kini saya berpeluang pula belajar menghasilkan prostetik. Siapa tahu? Mungkin satu hari nanti saya berpeluang menggunakan bakat ini untuk rancangan televisyen atau filem,” katanya.

Friday, October 24, 2014

PEGAWAI POLIS TERKEJUT MERAKAM "HANTU" MEMASUKI KAWASAN PELABUHAN

Pegawai Polis ini berkata video pengawasan dari balai polis New Mexico utara telah berjaya merekodkan imej aneh kelihatan seperti hantu.

Laporan KOAT - TV - pegawai polis yang bernama Karl Romero berkata dia melihat hantu tersebut di litar cctvnya seperti makhluk yang sedang melangkah merentasi skrin pada hari Sabtu lalu ketika sedang membuat pemantauan di pelabuhan Sally.

Romero berkata, beliau telah melaporkan segera kepada penyelia yang bertugas bersama beliau pada malam itu namun tidak mendapati sesiapa pun berhampiran pintu pagar itu.

Dari penyiasatan menyeluruh, polis mendapati tidak ada jalan masuk dan keluar yang mudah dari kawasan tersebut kerana kawasan itu di lengkapi oleh cctv dan penggera .

Detektif Solomon Romero berkata, beliau tidak tahu jika rakaman imej misteri itu adalah 'the apparition'.

Saturday, October 18, 2014

'SI HANTU COLOMBIA'


Dengan wajahnya yang menakutkan, lelaki ini tidak mungkin diterima bekerja.Malah, mungkin dia akan diusir sebaik memasuki bilik temuduga.

Inilah Si Hantu dari Colombia yang bangga dengan tatu hitam pada bola matanya, beberapa implan tanduk dan begitu banyak tindik.

Dengan wajahnya itu, Caim Mortis sudah pasti menjadi lelaki yang tidak perlu berpakaian khas bagi menghadiri majlis seperti Halloween.


Lelaki berusia 42 tahun ini menghabiskan 11 tahun daripada hidupnya untuk 'mengubah suai' tubuhnya, termasuk mentatu seluruh bola matanya menjadi hitam, membuat implan tanduk pada dahi dan lengan.

Tidak cukup dengan itu, dia menindik tanduk itu.Akibat daripada tindakannya itu, keluarga Caim yang taat kepada ajaran Katolik, enggan menerimanya menyebabkan dia berpindah dari Colombia ke Mexico, tempat dia boleh diterima masyarakat.

"Apabila orang melihat saya kali pertama, reaksi mereka ialah terkejut atau hairan.

"Soalan pertama mereka tanya ialah 'tidak sakitkah' atau 'siapa yang melakukan ini terhadap kamu,'" katanya.

Menurutnya antara perkara yang mendorongnya melakukan pengubahsuaian pada tubuhnya ialah keinginan untuk menjadi unik dan berbeza berbanding orang lain.

Seperti Caim, ramai lagi yang ingin kelihatan pelik dan dia membantu mereka dalam tugasnya selaku artis tatu.

Minggu ini, Caim berkata, dia akan melancarkan karier baru musim Halloween akan datang, bersama-sama dengan rakannya, Gisella, yang akan memegang watak 'malaikatnya.'- Agensi


Monday, September 8, 2014

HOMESTAY BERHANTU

Bagi mereka yang bosan dan tiada berbuat apa-apa pada malam ni, jangan lupa luangkan masa untuk menonton telefilem komedi seram ini.



Membariskan pelakon hebat seperti Izreen Azminda, kumpulan Bocey dan Nas T, telefilem komedi seram "Homestay Berhantu" dijangka menggamit keseronokan dan ketakutan pada malam ini jam 8.30 malam di TV9.

Menurut pengarahnya, Amor Rizan, beliau melihat kumpulan Bocey mempunyai bakat yang sangat besar dan sekiranya mempunyai lebih banyak masa, beliau ingin terus mencungkil apa yang terpendam dan dimiliki kumpulan berkenaan.

"Namun masa terlalu suntuk kerana jadual mereka begitu padat dan saya cuma ada enam hari untuk menjalani penggambaran telefilem ini berikutan kesibukan mereka. Tetapi mereka juga memberikan kerjasama yang sangat bagus dan penuh disiplin, walaupun kadangkala penggambaran menjangkau ke awal pagi.

"Izreen juga tidak ketinggalan memperlihatkan kehebatannya dalam mendalami watak di mana beliau melakonkan watak Mawar, yang juga penari Mengadap Rebab. Izreen dengan penuh komited belajar untuk menari tarian terbabit dalam masa hanya 2 jam sebelum penggambaran.

RITUAL "MAINENE" SULAWESI

Sulawesi Selatan - Satu ritual dinamakan "MaiNene" atau majlis merapikan mayat dilakukan oleh penduduk sebuah kampung di sini yang terletak di Sulawesi Selatan, Indonesia setiap tahun pada bulan Ogos.

Dalam upacara itu, penduduk kampung akan menggali semula kubur saudara-mara mereka dan mengheret keranda berisi mayat itu menuju ke tempat mereka meninggal dunia.

Menurut kepercayaan penduduk tempatan, walaupun anggota keluarga mereka telah meninggal dunia tetapi roh dan kenangan mendiang masih lagi wujud dan perlu dibersihkan.

Mayat-mayat itu akan dibawa pulang ke rumah sebelum mereka dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian baharu sebelum dihias cantik.



Amalan tersebut turut melibatkan mayat kanak-kanak yang dipakaikan pakaian yang cantik dan diberikan anak patung mainan.

Keranda rosak yang menempatkan mayat-mayat pula akan ditukar atau dibaiki sebelum diarak sekeliling kampung dalam satu garisan lurus. - Agensi




Tuesday, April 1, 2014

Lelong Hantu??

Hantu dilelong RM6,585

Dua hantu yang masing-masing terperangkap di dalam dua botol kecil akhirnya dilelong secara talian oleh pemiliknya, Avie Woodbury di New Zealand pada harga NZ$2,830 (RM6,585).


Woodbury dari Christchurch di selatan New Zealand berkata, seorang pengusir hantu dari sebuah gereja berjaya menangkap dua entiti terbabit di rumahnya dan memasukkan mereka ke dalam botol kaca kecil mengandungi air suci.

Hasil penjualan hantu-hantu terbabit akan diserahkan kepada sebuah syarikat jualan bantuan elektronik untuk golongan yang berhenti rokok.

Penjualan itu telah disahkan oleh laman web lelongan Trademe semalam.

Laman tersebut menolak tawaran oleh seorang pembida palsu yang menyebabkan harga lelongan mencecah sehingga AS$5,000 (RM16,710).


Hantu itu dikatakan seorang lelaki tua bernama Les Graham yang meninggal dunia di rumahnya pada 1920-an dan seorang budak perempuan yang muncul mengganggu rumah itu selepas satu permainan memuja roh diadakan.

Woodbury berkata, hantu-hantu itu menyebabkan dia tidak dapat makan atau tidur selain mengganggu dengan memasak air panas, menyentuh belakang leher, bersuara dari bilik lain dan menghilangkan barangan sebelum muncul di tempat lain.

"Anjing di rumah menjadi 'gila' dan tidak mahu pergi ke bilik-bilik tertentu manakala anak perempuan saudara saya terpaksa duduk bersama saya selepas dia berkata pernah bercakap dengan seorang kanak-kanak perempuan." katanya.

Gambar Belangkas