Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Tuesday, August 11, 2015

Bukan mudah menjadi penulis blog.


Bukan mudah menjadi penulis blog|Ya, bukan mudah seperti yang di sangka. Menjadi seorang penulis blog memerlukan idea dan daya kreativiti yang tinggi. Aku sedikit hairan melihat blogger malaysia yang punya momentum kekal di dalam penulisan blog mereka. Mungkin kerana terdapat masa khas untuk mereka menulis.

Penulisan dalam bentuk keilmuan adalah yang paling mencabar. Tapi! Tapi, penceritaan mengenai hal-hal semasa dan peribadi juga bukanlah suatu perkara yang mudah. Seperti aku sekarang, otak aku semacam tepu! Ada pelbagai idea penulisan yang ingin aku ceritakan di dalam blog ceritaejoy ni. Tapi semacam ada perkara yang lebih besar bermain di dalam minda aku sekarang. Baru aku tahu bukan mudah menjadi penulis blog.

Antara masalah yang berjaya aku kenal pasti adalah masalah kejatuhan matawang ringgit terkini. Arghh! Siapa yang tidak tertekan? Apa yang bermain dalam minda aku sejak semalam adalah, jika ianya berterusan, sudah pasti akan memberi kesan kepada aku dan semua orang. Aku hanya memikirkan tentang pinjaman perumahan aku dengan bank merah. 1 tindakan berbentuk kesalahan paling besar di dalam hidup aku.

Aku semacam dah terjerat dalam perangkap hidup aku sendiri. Mungkin cerita pinjaman perumahan dengan bank merah ini akan aku ceritakan dengan lebih luas di dalam entry lain. Yang aku ingin ceritakan sekarang adalah, aku sememangnya tidak mampu menulis jika berada di dalam emosi seperti ini. Dan sememangnya aku sedar bukan mudah menjadi penulis blog.

Aku tak mampu fokus dengan cerita yang ingin aku sampaikan. Kalau aku teruskan juga menulis, dah pasti tiada langsung kaitan dengan cerita yang ingin aku sampaikan. Respek! Dengan blogger malaysia yang mampu kekalkan penulisan terbaik pada blog mereka. Ianya sudah pasti bukanlah sesuatu yang mudah. kan? Bukan mudah menjadi penulis blog

Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya.

maksud istidraj

Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya|Maksud istidraj|Biasa atau tidak mulut kita atau kita pernah terdengar ayat-ayat seperti ini "main judi, dapat duit banyak, kaya, tapi tiada pula sakit bagai" atau "buat dosa besar hari-hari, tapi hidup senang juga" atau "Makan duit anak yatim, kenapalah tak turun bala atau jatuh sakit". Ha, biasa tak dengar? Atau ada ayat-ayat yang seumpama dengannya.

Ada 1 istilah iaitu istidraj. Apa maksud istidraj? Ia bermaksud "pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya". 

"Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”

(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Mungkin ada yang kurang jelas, aku cuba berikan contoh mudah. Sewaktu zaman firaun, dia tak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Dan atas sebab yang demikian, firaun mengangkat dirinya menjadi tuhan. Allah memberikan dia kesenangan itu bukan atas sebab Allah memberi nikmat, akan tetapi ingin merosakkannya. 

Ada juga yang berfikiran, mereka yang tidak pernah tinggal solat, rajin berpuasa, rajin berzikir tetapi hidup serba kekurangan. Berbeza dengan mereka yang rajin ke kelab malam, minum arak, berjudi tetapi memiliki harta yang banyak, rumah yang mewah. Beringatlah, Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya.

Ada manusia yang terlalu sombong dengan hartanya. Hingga ada yang tidak mahu melihat orang susah. Mereka cuma ada harta di dunia. Nabi muhammad S.A.W naik ke langit bertemu Allah pun tidak sombong. Nabi sulaiman, sebesar-besar pangkat hinggakan semua makhluk tunduk kepadanya, pun tak sombong. Nabi yusoff, dikatakan manusia paling kacak di muka bumi, pun tidak sombong. Mereka yang cuma ada harta sementara nak sombong?

Tahu anai-anai? Yang duduk dalam busut tu? Lumrahnya anai-anai hanya duduk diam di dalam busut. Tetapi ketika Allah ingin membinasakannya, diberikan anai-anai sayap. Dan anai-anai yang hanya duduk diam, terbang mencari api. Kemudian tahu apa jadinya? Mati semacam itu sahaja. 

Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya.

Ingat cerita namrud? Yang terlalu sombong dengan Allah dan ingin membakar nabi ibrahim? Tahu ajalnya dengan apa? Hanya berasbabkan seekor nyamuk masuk ke dalam hidungnya. Masih nak menyombong di muka bumi Allah ini? Manusia istidraj?

Pergi pula kepada kisah manusia yang dikatakan terkaya di muka bumi "Qarun". Hartanya tidak ternilai banyaknya. Dan akibat dari itu, wujud perasaan sombong, angkuh dan takbur. Tahu apa jadi dengannya? Allah tenggelamkan dia bersama dengan harta-hartanya. Kalau kita kaya, jangan ingat Allah memberi kita kenikmatan hidup, takut nanti kita adalah manusia istidraj. Yang Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya.

Cerita ini bukan bermaksud menghalang kita dari menjadi kaya. Jadi kaya itu tidak salah, yang salah jika kita tidak menggunakan harta itu ke arah kebaikan. Yang salah jika kita kaya, kita menjadi sombong dan takbur. Ingat! Bukan bermakna harta yang banyak, kesihatan yang baik, bererti Allah redha kepadanya, tetapi Allah memberi kesenangan hanya untuk merosakkannya.

3 langkah mudah menjadi seorang jurujual yang paling berjaya.


3 langkah mudah menjadi seorang jurujual yang paling berjaya|Setiap dari kita perlu menjadi seorang jurujual. Ya! Ini kerana, walaupun anda tidak pernah terniat untuk menjadi seorang jurujual, anda sebenarnya telah terlibat secara langsung dalam aktiviti jualan.

Jualan adalah sebahagian daripada aktiviti seharian kita. Tak percaya? Baik, apabila kita bercakap dengan rakan-rakan kita mengenai sesuatu rancangan atau perkara, kita sebenarnya sedang menjual idea kita. Apabila kita memilih di antara 2 perkara yang terbaik untuk diri kita *kedua-duanya melibatkan kos* secara automatiknya kita menjadi jurujual. Bidang jualan adalah universal. 

Jadi! Apa yang perlu kita tahu mengenai jualan dan bagaimana kita boleh menjadi lebih baik? Ha, itulah yang kalian perlu teruskan bacaan 3 langkah mudah menjadi seorang jurujual yang paling berjaya ini. Hehehe.

3 langkah mudah menjadi seorang jurujual yang paling berjaya.

#1 Jualan adalah mengenai beberapa perkataan.

Bukan semua orang suka menjual, tetapi ramai orang suka membeli. Kata-kata ini perlu sentiasa bersama kita, terutamanya ketika kita memikirkan cara bagaimana ingin mewujudkan kepercayaan orang untuk membeli dengan kita.

Semua orang minat membeli dan apa yang mereka perlukan adalah "sebab" yang besar untuk berbuat demikian. Dan di antara salah satu sebabnya adalah "kepercayaan".

Ada 2 peranan kepercayaan di dalam jualan. 

i) Seseorang pembeli itu akan terus membeli produk kita jika produk kita berjaya menyelesaikan masalah mereka.

ii) Yang keduanya, syarikat atau penjual datang kepada pembeli dan memberikan mereka "harga istimewa".

"Nilai" dan "harga" adalah 2 perkataan yang berbeza. Pembeli mahukan sesuatu produk yang memberi nilai kepada mereka dan bukannya harga.

Walaupun harga produk daripada syarikat Apple boleh dikatakan mahal, tetapi ianya tetap menjadi pilihan. Ini adalah kerana Apple telah membina "kepercayaan" pembeli dengan menghasilkan produk yang bermutu dan memberi nilai kepada mereka.

#2 Jualan adalah mengenai keyakinan dalaman.

Jika anda tiada keyakinan, anda tidak akan mampu menjual. Idea jualan adalah mengenai penjual yang memiliki keyakinan yang tinggi kepada produk yang mereka jualkan. Jika anda tidak mampu menyakinkan orang membeli produk anda, anda haruslah pelajari ilmu ini terlebih dahulu.

Dalam proses jualan, penjual mestilah di dalam keadaan agresif! Pembeli akan merasakan keyakinan yang ada di dalam diri anda. Dan inilah juga di antara rahsia jualan. Pembeli akan turut merasai keghairahan ini dan akan membeli produk tanpa ada alasan yang kukuh. Hebat kan?

#3 Menjual cerita adalah lebih bernilai daripada jualan produk.

Mempunyai cerita yang hebat mengenai produk adalah sangat membantu di dalam proses jualan. Tumpuan pertama di dalam proses jualan adalah ketahui cerita di sebalik produk jualan, apabila anda tahu apakah kelebihan produk, tidak sukar bagi anda untuk menjual produk tersebut.

Anda mungkin bukan seorang penjual yang hebat. Dan tidak mustahil anda mampu menjadi begitu hebat jika mempraktikan 3 langkah mudah menjadi seorang jurujual yang paling berjaya ini. Ini adalah kunci kepada kejayaan jualan anda. Bila dah ada kunci, anda mampu memasuki apa sahaja pintu kejayaan. Semoga maju jaya dan terima kasih kerana sudi singgah ke blog ceritaejoy.

Monday, August 10, 2015

9 Teknik mencapai matlamat hidup!


9 Teknik mencapai matlamat hidup!|Entry ini khas untuk mereka yang punyai matlamat berjaya di dalam kehidupan. Menjadi jutawan adalah impian setiap orang. Jadi, jika anda tidak mempunyai apa-apa matlamat di dalam hidup, sila hentikan bacaan anda sekarang, dan beralih kepada bacaan buku #amranfans. Wahahahaha.

Aku lebih suka kongsikan di blog ceritaejoy ini, mana-mana tips atau teknik yang ada kaitan dengan diri aku. Sebagai contoh 9 Teknik mencapai matlamat hidup ini. Ianya juga berkaitan dengan diri aku. Aku baca dari blog lain, aku fahamkan dan aku cuba kongsikan di blog ceritaejoy. Blog ini ibarat buku rujukan kepada aku 1 masa nanti *jika aku lupa apa yang perlu aku lakukan*.

Baik. Setiap dari kita ada yang telah menetapkan apakah matlamat hidup mereka. Tetapi, berapa ramai yang benar-benar mencapai matlamat mereka? Ini mungkin kerana matlamat mereka tidak cukup mencabar. Atau mungkin juga matlamat mereka tidak selari dengan definasi kejayaan yang ingin mereka kecapi.

Kenapa perkara seperti ini berlaku? Ini adalah kerana visi kita di dalam mencapai matlamat itu sendiri tidak jelas. Matlamat itu bukan bermaksud kita berjaya membina perniagaan sendiri atau berjaya membina rumah yang sempurna. Ia adalah lebih kepada perjalanan dan bukannya destinasi yang hendak kita tuju.

*Setakat ini ada yang tak faham tak? Jika ada, sila angkat tangan teruskan bacaan ya. hehehe

Ini adalah apa yang perlu anda, aku, #amranfans lakukan. 

9 Teknik mencapai matlamat hidup!

#1 Jangan melihat ke belakang.

Mungkin ada perkara yang pernah menjadi pengalaman hitam kita, yang mana ia menghalang kita dari terus bergerak ke hadapan. Kenal pasti apakah ia, dan mula berhenti memikirkannya! Anda perlu tetap dengan matlamat anda!

#2 Tetapkan matlamat BESAR.

Jika matlamat anda tidak cukup besar, anda tidak akan ada momentum untuk melakukannya! Serius! Jadi mula menetapkan matlamat yang cukup besar, secara automatiknya, cara anda berfikir juga akan berbeza.

#3 Terjemahkan ianya di dalam bentuk tulisan.

Kita tak mampu berfikir semua perkara dalam 1 masa. Jadi tuliskan setiap dari matlamat anda dan sentiasa berpegang dengannya. Tampalkan pada mana-mana tempat yang mudah di lihat. 

#4 Dateline.

Biasa tak kerja dengan dateline ni? Kalau tempoh dateline semakin dekat, dan segala urusan kerja masih belum sempurna, kita akan melakukan pelbagai perkara hanya untuk memastikan ianya siap dalam tempoh yang diberikan.

Jadi, mula tetapkan dateline pada matlamat anda.

#5 Tanyakan mengapa.

Tuliskan pada kertas. Kenapa anda perlu capai matlamat anda. Kenapa ianya sangat penting? Apa yang bakal anda perolehi jika anda berjaya mencapai matlamat yang telah di tetapkan.

9 Teknik mencapai matlamat hidup!

#6 Kenal pasti di mana permulaan langkah.

Matlamat dah ada, kejayaan dah nampak, tapi tak tahu mana nak mula. Pun tak jadi apa kan? Jadi kenal pasti di mana mahu mula. Fikirkan juga apakah langkah-langkah logik yang akan memberi lebih banyak kejayaan.

#7 "Reset" semula emosi.

Dalam usaha kita untuk mencapai matlamat kita, pasti kita akan kurang bersemangat jika ianya mengambil masa yang terlalu lama. 

Apa yang perlu anda lakukan adalah, lihat semula matlamat anda. Kemudian fikir adakah ianya masih relevan dengan misi anda.

Jika tidak, fikirkan semula langkah-langkah yang perlu anda buat. Anda cuma perlu ubah langkah dan bukannya matlamat yang telah anda tetapkan.

#8 Biar orang terdekat tahu apakah matlamat anda.

Aku pernah di beritahu untuk merahsiakan apakah target dan matlamat aku kepada orang lain. Kerana takut kalau ianya tidak berhasil.

Yang sebenarnya ianya salah!

Anda perlu kongsikan matlamat anda kepada orang terdekat anda. Untuk apa? Kerana mereka akan membantu anda ketika anda berada di dalam keadaan yang sukar. Dan mereka juga akan menolong anda untuk sentiasa mengingatkan anda kepada matlamat anda!

#9 Ketahui dengan jelas rupa kejayaan yang sebenar.

Berikan diri anda penghargaan bagi setiap tangga kejayaan yang berjaya di capai sepanjang menuju kepada matlamat anda. Jika anda tidak bercita-cita tinggi, anda tidak akan kemana-mana.

Fuh! Penat sungguh aku bercerita. Impian dulu nak jadi pakar motivasi, tetapi memandang diri ini masih dalam proses pembelajaran, terpaksa la tangguhkan impian aku tu. Tapi lepas sahaja aku bercerita perihal 9 Teknik mencapai matlamat hidup ini, aku kembali bersemangat di dalam mengejar matlamat hidup aku.

Apa yang penting kerjasama adalah praktikal. Bacalah 1000 buku sekalipun, jika tiada usaha ke arah itu, tiada maknanya. Kalau tak tahu, apakah kelebihan yang ada pada diri anda, bolehlah baca entry aku yang ini:


Doa tanpa usaha.


Doa tanpa usaha|Aku tak tahu dari mana aku nak mulakan ceritaejoy berkaitan tajuk entry aku ni. Kadang-kadang aku malas nak mukadimah bagai untuk memulakan cerita. Jadinya, aku terus jelah dengan point aku ya.

Doa tanpa usaha pada aku hanyalah sia-sia. Kerana apa? Ianya ibarat kita tulis impian kita untuk jadi kaya di dalam buku dan kemudian simpan buku tu dalam almari. Lansung tiada usaha. Apakah ianya akan menjadi kenyataan?

Aku tidak menidakkan kelebihan berdoa. Betul, memohon kepada yang maha esa adalah jalan yang terbaik daripada meminta-minta dari orang lain. Tetapi perlulah disertakan dengan usaha. Bukan duduk diam je. Allah suruh kita berusaha, bila ada usaha, apa yang anda inginkan pasti berhasil. Betul tak? Takkan nak tunggu je bulan jatuh ke riba? *Kenapa mesti bulan? Bukan bintang jatuh ke riba ek?*

Berapa ramai yang kaya dengan hanya duduk diam sahaja? Janganlah cerita pasal main no ekor pula. Ada yang menang beribu atau berjuta, berapa lama duit itu mampu bertahan? Akhirnya kembali kepada kehidupan asal. Sebab apa? Sebab tiada keberkatan dalam duit tu. Doa tanpa usaha ni hanya sia-sia jika duduk diam sahaja.

Kalau bukak cerita pasal cari keberkatan dalam kewangan, rasanya lagi panjang boleh diceritakan, tapi itu bukan fokus aku, fokus aku adalah doa tanpa usaha untuk menjadi seperti apa yang anda inginkan hanyalah 1 impian yang hanya bermain di dalam fikiran seseorang tu. Ianya tidak diterjemahkan ke dalam kehidupan sebenar. Macam angan-angan.

Kemudian berdoa itu biarlah betul. Biarlah di dalam keadaan suci. Barulah mudah di dengar yang maha esa. Bukan berdoa dalam laman sosial di waktu pagi, jam 0900, tapi waktu solat subuh masih berdengkur. Macam mana rezeki nak mudah masuk. Kan? Jangan hanya berdoa tapi tanpa usaha. Ia hanyalah perbuatan sia-sia. Biarlah berdoa beserta usaha. Barulah segalanya menjadi kenyataan. InsyaAllah.

Egokah seorang suami jika..


Egokah seorang suami jika..|Lelaki memang dilahirkan dengan ego nya yang tersendiri. Ini memang tak boleh dinafikan. Tahap ego itu pula bergantung kepada diri masing-masing. Ada yang ego nya biasa-biasa sahaja. Ada yang tahap ego nya berada di tengah. Dan yang paling teruk, merasakan langsung tiada kesalahan pada dirinya.

Apa yang cuba aku ceritakan di dalam entry aku kali ini adalah, egokah seorang suami jika berdiam diri untuk satu tempoh masa yang sedikit lama ketika berlaku perselisihan faham dengan isterinya? Pada pendapat aku, diamnya seorang lelaki itu bukanlah kerana perasaan bencinya, tetapi mengambil masa untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku.

Ini yang kebanyakkan isteri tidak faham. Apa yang aku lihat *yang berada di sekeliling aku* seorang perempuan atau isteri lebih gemar meluahkan segalanya dan cuba menyelesaikannya ketika waktu itu jua. Berbeza dengan lelaki yang akan mengambil masa untuk berfikir dan cuba untuk cari jalan penyelesaian. Ini bermakna, seorang lelaki perlu mengambil masa yang sedikit panjang dan bukannya menyelesaikan segalanya dalam waktu itu juga. Adakah ini yang di namakan ego seorang suami?

Aku sendiri, tidak mampu berfikir dalam masa yang pantas. Kerana emosi marah pasti membantaskan minda aku untuk berfikir. Aku perlu ambil masa untuk duduk dan kembali berfikir, apakah perbuatan aku salah? Atau ada kata-kata aku yang tidak betul? Dalam masa yang sama, aku akan ingat kembali detik-detik indah sewaktu bercinta, sewaktu memperolehi anak pertama. Setiap dari inilah yang menjadikan aku menjadi sangat tenang. Apakah ini yang dinamakan ego seorang suami?

Ini sangat berbeza dengan pasangan aku. Tidaklah aku merendah beliau. Mungkin juga sifat wanita semacam ini *aku tidak katakan semua, tapi pasti ada ya* yang lebih gemar menyelesaikan segala hal dan perkara ketika itu juga, Mungkin juga dalam paksaan. Dan ini pada aku akan lebih mengeruhkan keadaan. Jika aku berhadapan perkara seperti ini, aku lebih suka mengambil sikap berdiam diri. Kerana aku tahu, jika semuanya diselesaikan ketika berada di dalam keadaan marah, ianya pasti akan berlanjutan. Atau perbuatan aku ini salah?

Egokah seorang suami jika..

Benar juga kata orang, bukan mudah sebenarnya memahami hati dan perasaan orang perempuan. Walaupun mereka semakin meningkat usia, mereka tetap ingin dilayan dan dibelai umpama anak kecil. Hati mereka mudah terusik. Tidak seperti orang lelaki. Banyak perkara yang perlu kita fikirkan apabila berhadapan perkara seperti ini. 

Di awal hubungan kekeluargaan itu, banyak perkara yang perlu di pelajari. Inilah nikmat rumahtangga. Bukan mudah berkongsi hidup, dan janji Allah itu benar, banyak nikmat yang akan diperolehi di dalam rumahtangga. Semoga banyak lagi yang aku akan pelajari. InsyaAllah.

17 Dosa isteri pada suami yang tidak di sedari.


17 Dosa isteri pada suami yang tidak di sedari|Mungkin ada yang sedar dan mungkin ada yang tidak sedar. Mungkin isteri menganggapnya seperti tidak ada apa-apa, walhal malaikat telah mencatitkan ia sebagai satu dosa. Bila sesuatu pasangan itu memilih untuk mendirikan rumah tangga, mereka juga memilih untuk berkongsi hidup. Di dalam perkongsian hidup, pasti berlaku geseran emosi di antara pasangan. Dan mungkin seorang isteri telah melakukan di antara 26 perkara ini tanpa mereka sedari. 

17 Dosa isteri pada suami yang tidak di sedari.

1. Berlebihan dan terlalu menuntut kesempurnaan.
2. Kurang memperhatikan/mengambil berat kedua orang tua suami.
3. Kurang mempercantikan/berhias di depan suami.
4. Lebih banyak mengeluh dan tidak bersyukur dengan apa yang diberikan suami.
5. Mengungkit kebaikan yang telah dilakukan kepada suami.
6. Menyebarkan masalah keluarga kepada orang lain.
7. Membebankan suami dengan banyak permintaan.
8. Bersikap nusyuz kepada suami.
9. Menolak hubungan kelamin tanpa apa-apa alasan.
10. Lalai dalam melayani suami.

17 Dosa isteri pada suami yang tidak di sedari.

11. Tidak meminta izin suami ketika membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah.
12. Keluar dari rumah tanpa izin suami.
13. Cemburu berlebihan kepada suami.
14. Kurang perhatian kepada keadaan dan perasaan suami.
15. Mengugat kepimpinan suami.
16. Meninggikan suara ketika bercakap dengan suami.
17. Lebih banyak bersuara dan bercakap melebihi suami.

Semoga perkongsian ini tidak banyak, sedikit memberi makna kepada semua isteri-isteri di luar sana. Semoga menjadi isteri yang diredhai oleh Allah dan di tempatkan di syurga atas segala macam pahala yang telah dilakukan oleh isteri. InsyaAllah. 17 Dosa isteri pada suami yang tidak di sedari.

Nuffnang : Tiada yang sudi singgah?


Nuffnang : Tiada yang sudi singgah?|Aku sedikit konfius. Samada ada berlaku masalah atau memang benar tiada yang sudi singgah. Huk.Huk.Huk. Dalam beberapa minggu ni, ada juga aku perhatikan, kenapa tiada orang pada bahagian bawah akaun nuffnang aku *tidak seperti kebiasaannya*. Yang menjadikan ianya pelik, graft pada akaun nuffnang tu ada peningkatan. Hmm, ada masalah ke? Atau tiada yang sudi singgah?

Nuffnang. Satu-satunya medium pengiklanan yang aku gunakan sekarang. Orang kata masih setia dengan nuffnang. Hehehe. Sebenarnya, pernah sekali aku merasa terkilan. Kerana pada awal aku cashout dulu, tunggu punya tunggu, tak juga sampai cek nya. Bila aku hantar tiket, katanya ada fraud click. Ish, betul ke? Hmm, hentahla, aku sendiri tak paham part yang tu.

Kali ini, dengan nuffnang, masih juga menunggu untuk cashout. Nilainya tidaklah sebanyak top blogger malaysia, tetapi bolehlah untuk blogger picisan seperti aku. Tunggu cukup dulu, barulah cuba untuk cashout. Minta-minta, tidaklah ada fraud click lagi. Tapi itu part lain, yang aku fikirkan sekarang ni, betul ke tiada yang sudi singgah atau benar-benar ada masalah? Hmm, konfius sekejap.

Sunday, August 9, 2015

Bukan mudah menjadi seorang blogger yang terkenal.

top blogger malaysia

Bukan mudah menjadi seorang blogger yang terkenal|Menjadi seorang blogger terkenal atau top blogger malaysia menjadi impian pada setiap blogger. Siapa yang tak mahu terkenal dan dikenali kan? *ada beza tak ayat aku ni?*. Mungkin ada yang memilih untuk menjadi silent blogger yang hanya mahu karya mereka sahaja dikenali ramai. Itu adalah pendirian masing-masing.

Jalan menuju kejayaan tidaklah semudah yang disangka. Bukan buat blog harini, 2-3 hari lepas tu dah dikenali orang. Melainkan anda buat entry yang hot. Yang mana boleh sensasikan segalanya. Banyak kelebihannya bila blog kita sudah mula dikenali orang. Dari situ jugalah pendapatan terhasil daripada blog. tetapi Bukan mudah menjadi seorang blogger yang terkenal.

Ada aku cuba dapatkan tips dari blogger terkenal HH, katanya, untuk menjadikan satu-satu blog itu terkenal, perlulah hasilkan entry yang berkualiti dan menjadi carian orang ramai. Bunyinya macam senangkan? Tapi ianyanya tidak semudah itu. Blog anda mestilah semacam guru, yang mengajar anak-anak murid.

Bagaimana pula dengan blog yang berkongsikan perihal peribadi? Bagaimana pula mahu menarik perhatian orang? Kalau ada rupa, mudahlah, bagaimana pula kalau biasa-biasa? Aku suka rujuk blog Ben ashaari. Blog ni hanya menceritakan hal dirinya dan keluarga. Tetapi mampu menarik ribuan orang membacanya. Apakah rahsianya? 

Bukan mudah menjadi seorang blogger yang terkenal.

Disinilah kelebihan seseorang blogger itu dalam menghasilkan cerita. Gaya lengok bahasanya juga mampu menarik pembaca datang hampir setiap masa. Selain daripada teknik-teknik SEO pada blog, gaya penceritaan adalah suatu perkara yang amat-amat penting. Banyak perkara yang perlu dilakukan dalam usaha menjadi seorang blogger yang terkenal. Bagaimanapun, ini adalah pendapat aku semata-mata, bagaimana pula pendapat korang? Bukan mudah menjadi seorang blogger yang terkenal.

Kenapa umat islam tak boleh makan babi.


Kenapa umat islam tak boleh makan babi|Hai, dah kenapalah tajuk entry aku kali ni kan? Semacam pulak bunyinya. Kalau takda apa-apa, takkanlah aku saja-saja nak bercerita dalam blog ni kan? Mestilah ada sebabnya. Baik, terus terang, aku ada kawan yang makan babi walaupun dia islam. Islam mungkin hanya pada namanya sahaja tetapi tidak pada dirinya. Kita dah tegur, dia tetap dengan dirinya, tidak apalah. Azab Allah sememangnya tidak tertanggung oleh sesiapa pun, yang hidup pastinya akan mati. Semoga beliau sempat bertaubat sebelum menemui ajal.

Baik. Kenapa umat islam tak boleh makan babi?  Sebelum apa-apa, kita baca dulu ayat ini:


"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan atasmu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan menyebut nama selain Allah; tetapi barangsiapa yang terpaksa memakannya dengan tidak menganiaya dan tidak pula melampaui batas, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(QS. 16:115)"


"Katakanlah: "Tiadalah aku peroleh dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi - kerana sesungguhnya semua itu kotor - atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah. Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".(QS. 6:145)"

Kalau kita baca ayat di atas, ia menerangkan bahawa, babi atau khinzir itu adalah tergolong dalam haiwan yang kotor. Bila kita cakap kotor sahaja, pasti ada ayat-ayat yang soalan seperti ini:


"Kalau babi itu dibela, dijaga kawasan kandangnya dan diberikan makanan yang paling bagus, apakah ia tetap kotor?"

Kalau bersih, apakah ianya boleh dimakan? Mungkin ada agama lain yang membenarkan umatnya untuk makan babi, tetapi Kenapa umat islam tak boleh makan babi?

Ini adalah jawapan kepada kandang yang bersih tadi ye. Jika benar sekalipun kandang belaan babi itu bersih seperti hotel 5 bintang, tetapi haiwan yang bernama babi itu tetap sama. Bersih macamana sekalipun, haiwan ini tetap akan memakan semula najisnya dan kotoran itu akan dirembeskan ke daging mereka. Bukankah bunyinya sangat kotor?

Dan ini adalah di antara sebab yang terkuat kenapa umat islam tak boleh makan babi.

1. Babi adalah rumah bagi penyakit. Terdapat banyak cacing dan virus pada tubuh babi. Antaranya adalah Tapeworm (Taenia solium), spiral worms (Trichinella spiralis), Hookworm (Ancylostoma duodenale), lung flukes (Paragonimus pulmonary), intestinal worms (Fasciolopsis Buski), Schistosoma worms (japonicum), Bacteria Tuberculosis (TB), cholera bacteria (Salmonella choleraesuis), Brucellosis suis bacteria, virus of smallpox (Small pox), sores Virus (scabies), Balantidium coli protozoan parasite, a protozoan parasite Toxoplasma gondii.

2. Daging babi sangat empuk. Ya, bila aku tanya, daging babi tu sedap ke, jawapan sahabat aku tu, huhuhu. Lebih sedap dari daging yang lain. Itu yang dia tahu, apa yang beliau tidak tahu adalah, Daging babi sangat sukar di hadam! Ya! Sangat sukar. Dan oleh yang demikian, daging ini tidak memberi manfaat pada tubuh dan mungkin boleh merosakkan tubuh untuk jangka masa yang panjang.

3. Penyebab kepada kanser usus. Memakan daging babi yang telah tercemar dengan cacing boleh menyebabkan peningkatan kolestrol dan melambatkan penguraian protein dalam tubuh badan manusia. 

Ini di antara 3 sebab Kenapa umat islam tak boleh makan babi. Sebenarnya banyak keburukan yang boleh dihidapi pemakan daging ini. Apa yang perlu anda tahu adalah, babi adalah binatang yang paling kotor dan rakus. Haiwan ini sangat gemar makan bangkai dan juga najisnya sendiri. Selain itu haiwan ini juga sangat suka berada di tempat kotor dan basah. Untuk memuaskan sifat rakusnya, selepas tidak ada apa lagi yang hendak di makan, babi akan memuntahkan isi perutnya dan kemudiannya akan memakannya semula. 

Inilah sebab Kenapa umat islam tak boleh makan babi. Islam mengalakkan umatnya untuk memilih makanan yang bersih. Ini kerana, makanan yang bersih akan memberikan tubuh badan yang sihat dan bebas dari penyakit. Semoga sahabatku itu terbacalah entry aku ini, InsyaAllah.

Friday, August 7, 2015

Hargai masa anak-anak.

Hargai masa anak-anak|Semalam sewaktu aku masih di tempat kerja, ada seorang rakan sekerja tegur aku, " Dah la bang, balik la, bawak anak jalan-jalan, asyik kerja je", aku yang dengar, cuma tersenyum je. Aku punya alasan aku sendiri kenapa aku perlu lebihkan kerja. Bukan aku tidak hargai masa anak-anak aku, tapi benar, aku punya alasan aku yang tersendiri.

Selepas pulang dari kerja, sewaktu duduk berbual dengan wife aku, aku nyatakan sedikit keinginan aku perihal apa yang aku impikan. Impian yang hanya boleh aku lakukan untuk diri aku dan mungkin wife aku. Tetapi anak kami masih kecil dan aku diamkan sahaja impian aku ini. Kata wife aku, " Sayang, anak-anak cepat membesar, tahu-tahu dah mula sekolah dah". Bila aku dengar ayat ini, apa yang terlintas di fikiran aku adalah, adakah aku benar-benar menghargai masa aku bersama anak-anak aku?


Benar apa yang isteri aku katakan. Masa sememangnya cepat berlalu. Dan sedar tak sedar, segalanya sudah berubah. Jika dulu aku adalah seorang anak, tetapi kini aku adalah seorang ayah. Dan mungkin antara sedar tak sedar juga, anak aku juga akan menjadi seorang ayah dan seorang ibu. Persoalannya, adakah aku benar-benar hargai masa anak-anak aku ketika ini?

Orang cakap, masa sewaktu anak-anak masih kecil adalah masa yang paling berharga. Setiap ibubapa pastinya akan merindui masa anak-anak sewaktu mereka masih kecil. Aku dan isteri juga sama. Tetapi bukan aku sengaja hendak membiarkan masa ini berlalu semacam itu sahaja. Ada perkara yang lebih penting daripada masa-masa ini. Bukan aku sengaja tidak menghargai masa anak-anak aku.

Mungkin inilah pengorbanan seorang ayah. Perlu menghabiskan masa untuk mencari pendapatan keluarga, untuk kesenangan dan kelesaan semua. Benar, masa itu tidak boleh dibeli dengan wang, tetapi wang jugalah yang akan memberi mereka keselesaan. Bukan mahu meminta menjadi kaya raya, cukup sekadar merasa senang. Inilah harga yang aku perlu bayar untuk memberi anak-anak dan isteri kesenangan. Bukan aku tidak menghargai masa anak-anak. Tidak sama sekali.

Ada masanya, aku lihat semula gambar anak sulung aku. Yang usianya kini bakal mencecah 3 tahun. Ada masanya aku tergelak melihat wajahnya ketika usia 3 bulan. Hahahahha. Macam tak percaya pun ada. Apa yang pasti, aku sebenarnya rindukan saat itu. Apa yang aku boleh cakap, hargailah masa bersama anak-anak. Kerana masa itu akan berlalu tanpa kita sedari. Dan aku? Masih perlu korbankan masa mereka, untuk pastikan mereka selesa dan senang di dalam kehidupan mereka. InsyaAllah.

Thursday, August 6, 2015

Bahayanya comfort zone.


Bahayanya comfort zone|Ramai daripada kita *mungkin* sangat selesa berada di dalam comfort zone. Tetapi tahukah kalian semua akan bahayanya comfort zone ini? Sebelum aku mula membebel panjang perihal perkara ni, jom kita ketahui apakah maksud comfort zone. Ianya bermaksud "tempat atau keadaan di mana seseorang berasa selamat atau selesa dan tanpa tekanan".

Dalam bahasa mudah, situasi selamat bagi seseorang. Contohnya seorang pekerja yang makan gaji. Mula kerja dari awal pagi hingga ke lewat petang, dari awal bulan hingga hujung bulan. Dan di pengakhirannya dapat wang gaji, gunakan untuk segalanya dan kembali bekerja semula. Ini yang dimaksudkan dengan comfort zone. Jika dilihat, bunyinya semacam kehidupan selesa, tetapi ramai yang tidak sedar akan bahayanya comfort zone ini.


Mungkin ada yang cakap, mereka sudahpun bekerja selama berpuluh tahun tanpa ada masalah. Ya! memang benar, mungkin anda benar-benar selamat berada di dalam kehidupan selesa anda. Mungkin juga anda tidak diuji dan mungkin juga anda sudah benar-benar bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Anda sememang hebat kerana anda sudah sedia maklum akan bahayanya comfort zone ini. Soalannya, bagaimana dengan mereka yang tidak bersedia?

Apa yang cuba aku sampaikan adalah, mereka yang hanya berharap dengan apa yang mereka dapat. Jumlah amaun yang mereka dapat setiap bulan adalah sama. Yang mana digunakan untuk hampir pada setiap perkara. Disinilah bahayanya comfort zone. Bahaya jika "sesuatu" terjadi kepada diri dan pekerjaan mereka. Ini adalah perkara yang tidak dijangka.

Katakan mereka mengalami kehilangan upaya ataupun syarikat tempat mereka bekerja mengalami kerugian teruk yang mana boleh menjejaskan pekerjaan mereka. Apa yang bakal terjadi kepada mereka yang tidak bersedia ini? Sudah pasti 1 masalah yang lebih besar akan wujud. Inilah bahayanya comfort zone.

Tidak salah untuk anda kekal berada di dalam keadaan selesa anda. Tetapi kata orang, sediakan payung sebelum hujan, kerana langit tak selalunya cerah. Aku teringat kata-kata seorang pakar motivasi, yang mana katanya, kita perlu menyediakan simpanan sekurang-kurang 3 bulan perbelajaan bulanan kita. Ini kerana, jika berlaku apa-apa, kita mampu untuk terus hidup selama 3 bulan tanpa pendapatan dari pekerjaan kita. Soalannya, adakah semua orang mempunyai simpanan sebanyak ini? Inilah Bahayanya comfort zone.

Layanan double standard!

Layanan double standard!|Isu ini hanya bermain di persekitaran aku. Tak usah melihat kepada yang lebih atas, di bahagian bawah ini pun, wujud Layanan double standard ni. Apa maksudnya ayat ini? Layanan double standard bermaksud layanan yang tidak sama kepada orang yang berbeza dalam sati situasi yang sama.

Dalam kata mudahnya, katakan di dalam situasi restoran makanan. Layanan yang diberikan kepada A adalah sangat istimewa mungkin kerana A adalah orang berpangkat, berbeza pula dengan layanan kepada B yang mungkin diberi layanan yang biasa sahaja, atas kerana B tidak mempunyai apa-apa jawatan. Walhal mereka makan di tempat yang sama. Inilah yang di maksudkan dengan Layanan double standard tu.

Kaitan dengan ceritaejoy adalah, aku sememangnya tidak mempunyai apa-apa jawatan di tempat kerja aku sekarang. Aku hanyalah pekerja biasa. Di sekeliling aku punya ramai orang yang "berjawatan besar". Yang menariknya, ada di antara mereka melakukan kerja yang sama sebagaimana kerja aku *Usah ditanya kenapa perkara seperti ini berlaku*. Yang menjadikan aku sedikit tertekan adalah kerana layanan yang aku terima, Layanan double standard!

Kami melakukan kerja yang sama, kenapa tidak aku diberi layanan yang sama? Kenapa perlu disisihkan? Apakah kerana jawatan aku yang sekadar pekerja biasa ini, jadi selayaknya aku mendapat layanan yang semacam sampah? Kenapa perlu dibeza-bezakan? Kenapa perlu memberi Layanan double standard!

Aku masih memikirkan segalanya atas kerana aku mempunyai tanggungjawab dan amanah. Ini yang menjadikan aku tetap kukuh berdiri disini. Jika tidak kerananya, dah lama aku tinggalkan segala yang aku ada sekarang. Untuk apa aku menerima satu perkara semacam ini? Aku hairan dengan sifat manusia jenis ni. Kenapa perlu beza-bezakan orang? Kenapa? Hairan! Layanan double standard!

Jangan cium anak masa tidur!


Jangan cium anak masa tidur!|Ok, ini rare! Hahaha. Anak aku dah masuk 2 dan ini pertama kali aku baca yang tidak boleh cium anak masa mereka tidur. Hahaha. Dah kenapa kan? Anak kita kut, takkan tak boleh cium, takkan nak kiss wife je? *bacaan 18 tahun ke atas ya!* hahahaha.

Semuanya bermula dengan bacaan aku di blog Viva merah. Bila baca tajuk je, terus aku bukak blog ni dan teruskan bacaan. Kenapa tak boleh cium anak waktu mereka tidur kan? Apa sebabnya? Lepas habis bacaan, apa yang aku dapat adalah "Jangan cium anak masa tidur kerana itu adalah penyebab anak menjadi semakin nakal". Ha?? Biar kebenaran? Betul ke?

Aku sangat kerap cium anak aku waktu mereka tidur *pada waktu malam*. Ini kerana masa aku bersama anak-anak adalah sangat kurang. Aku lebih dengan kerjaya aku. Ada masanya mereka langsung tidak melihat aku. Kerana aku ke tempat kerja, mereka masih tidur, aku pulang bekerja, mereka sudahpun tertidur. Jadi, ciuman aku itu menunjukkan rasa rindu yang sangat-sangat kepada anak aku. Jadinya bila terbaca Jangan cium anak masa tidur aku jadi pelik. Kenapa? Kenapa tak boleh?

Aku teruskan bacaan dari 1 blog ke 1 blog untuk cari kepastian. Apa benar ada hukum yang mengatakan Jangan cium anak masa tidur ni. Setelah hampir puas hati, apa yang dapat aku simpulkan adalah, ianya adalah 1 kepercayaan orang tua-tua dahulu. Ini yang hampir kebanyakkan blogger malaysia cakap. 

Kalau kita rujuk semula hadis ini:

"Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam mencium Al-Hasan bin 'Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro' bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro' berkata, "Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun dari mereka yang pernah kucium". Maka Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallampun melihat kepada Al-'Aqro' lalu beliau berkata, "Barangsiapa yang tidak merahmati/menyayangi maka ia tidak akan dirahmati

(HR Al-Bukhari no 5997 dan Muslim no 2318)

Dari apa yang aku faham, kalau kita tidak mengasihani anak kita *melalui cara ciuman* kita juga tidak akan dikasihi. Tapi bila aku cuba cari apa-apa hadis berkaitan larangan atau Jangan cium anak masa tidur ni, tak juga aku jumpa. Jadinya, dari bacaan dan andaian aku, ada benarnya ia adalah kata-kata orang tua dahulu yang mungkin ada maksud yang lain. Antaranya mungkin tidak mahu tidur sang anak terganggu.

Apapun, ini semua kuasa yang maha esa. Kita sebagai hamba dan ibubapa, perlulah selalu mendoakan yang baik-baik untuk anak kita. Usahlah berkata apa-apa yang tidak elok kepada anak-anak. Amarah itu pasti ada di dalam proses didikan, tapi ingatlah, mereka adalah kurniaan yang tidak terhingga. Hargailah mereka seadanya. Jangan cium anak masa tidur!

#cerita tambahan.


Baca dan anda pasti bersetuju dengan aku.

Friday, July 31, 2015

Musim demam melanda!

Musim demam melanda!|Mulanya anak-anak yang demam, mungkin kerana antibody mereka masih belum kuat. Jadinya, ayahnya terpaksa beri dua badan ni. Satu untuk fokus kepada kerjaya dan keduanya kepada anak-anak. Alhamdulilah anak bongsu dah baik dari demam. Kemudian anak kedua sulung pula demam. Ish!

Demamnya bukan biasa-biasa. Sampai tak boleh jalan! Serius. Wife call cakap, anak yang sulung demam. Aku ok lagi, sebabnya takut cuaca panas beri efek pada tubuh badan anak kecil. Tapi bila wife cakap, anak aku takleh jalan, aku dah mula risau. Dah kenapa kan? Fikiran aku, mesti beri efek pada sendi ni. Bila dah dua-dua anak demam, aku dah mula fikir, musim demam melanda lagi.

Macamana aku tak cakap musim, yelah, ada satu-satu masa tu, budak-budak je ramai dekat klinik. Dan kesemuanya demam. Kan ke bermusim tu? Kan? Semalam, lepas buat pemeriksaan doktor, terus je aku bagi anak aku makan ubat. Mulanya ok la, dalam hati dah bersyukur yang panas badan anak aku dah kurung, jadinya berilah dia tidur.

Tapi pagi tadi, bila aku bangun untuk tukar pampers anak aku, aku rasa badan dia panas balik. Arghh sudah. Demam balik ke? Aku kejut la wife aku, terus dia bangun dan ambil kain basah kemudiannya lap satu badan anak aku. Yelah, kita takut jadi benda yang lebih teruk dari tu kalau tak kawal suhu badan anak kita ni. Kan? Aku paling risau kalau musim demam melanda ni, sebabnya, cuaca ketika itu adalah sangat panas dan boleh dikatakan klinik juga bukanlah suatu tempat yang selamat kerana dipenuhi dengan anak-anak kecil yang sakit.

Sekarang, wife aku masih pantau anak sulung kami ni. Takut-takut suhu badan dia meningkat. Dan aku juga lupa nak kasitau dekat wife aku yang aku pun rasa macam nak demam. Sebab dah mula selsema ni. Pening tu takda, tapi tak mula panas dekat hidung. Arghh, takkan aku pun berjangkit juga? Ini yang aku kata musim demam melanda ni.

Thursday, July 30, 2015

Punca ibu jari tangan kiri sakit disebabkan sihir?

Punca ibu jari tangan kiri sakit|Selepas pulang sahaja beraya dari kampung nun jauh di utara, terus ibu jari tangan sebelah kiri aku sakit. Nak gengam tangan pun susah. Nak pegang barang pun tak kuat. Entah kenapa pun aku sendiri tak pasti.

Bila aku tanya dengan pakcik google, Tiada yang specific menceritakan hal sebenarnya. Tetapi dari kesimpulan yang boleh aku simpulkan, ianya mungkin berpunca daripada masalah usus. Hmm. Mungkin ada benarnya, dan aku sememangnya merasakan aku sedang mengalami masalah usus. Tapi apakah benar ini adalah punca ibu jari tangan kiri sakit?

Bila aku ceritakan hal ni pada wife aku, seperti biasalah, dia akan urut pada bahagian sakit tu. Tetapi selepas sahaja wife aku urut, dia pula yang sakit. Aiks. Dah kenapa boleh jadi macam tu kan? Wife aku pulak, pemikirannya lebih ke arah cerita-cerita dalam filem. Soalan dia mudah je pada aku. Hmm, ada orang sakit hati ke? Dan buat perkara yang elok? Sebab apa dia cakap macam tu, yelah, kenapa dia urut, dia pula yang sakit. Adakah ini Punca ibu jari tangan kiri sakit?

Bila aku cuba gali dan gali, tak berjumpa pula dengan hal yang wife aku cakapkan tu. Maksudnya bukanlah kan? Ke betul? Erks. Untuk waktu sekarang, aku lebih selesa merasakan Punca ibu jari tangan kiri sakit adalah disebabkan masalah usus. Sebabnya, aku memang sekarang ni mengalami sedikit masalah usus. Ataupun rakan rakan semua ada jawapannya?

Tuesday, July 28, 2015

4 sebab kenapa perlu minum banyak air.

4 sebab kenapa perlu minum banyak air|Air adalah asas kepada kehidupan. Air tersangat penting kepada tubuh badan kita. Air yang cukup di dalam tubuh badan manusia boleh mengelakkan pelbagai penyakit. Jom ketahui apakah 4 sebab kenapa perlu minum banyak air.

#1 Air meningkatkan metabolisme:

Cuba untuk menurunkan berat badan? Air minuman boleh meningkatkan keupayaan badan untuk membakar lemak. Satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Klinikal Endokrinologi dan Metabolisme mendapati bahawa air minuman mampu meningkatkan kadar metabolisme sebanyak 30 peratus di kalangan lelaki dan wanita yang sihat. Rangsangan yang berlaku dalam tempoh 10 minit tetapi mencapai maksimum 30-40 minit selepas minum.

#2 Mampu mencegah sakit kepala.

Migrain. Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neurologi, saintis merekrut penghidap migrain dan membahagikan mereka kepada dua kumpulan: satu mengambil plasebo, yang lain disuruh minum 1.5 liter air (lebih kurang enam cawan) . Pada akhir dua minggu, kumpulan air yang telah mengalami 21 jam kurang kesakitan daripada mereka dalam kumpulan plasebo, serta penurunan dalam kesakitan.



#3 Meningkatkan kuasa minda.

Otak manusia memerlukan banyak oksigen untuk berfungsi pada tahap optimum, jadi dengan minum air dengan kuantiti yang banyak memastikan bahawa otak mendapat semua yang diperlukan. Malah, minum lapan hingga 10 cawan air setiap hari boleh meningkatkan tahap prestasi kognitif sebanyak 30 peratus.

#4 Mencegah Dehidrasi

Dehidrasi adalah punca kepada masalah keletihan pada siang hari. Dengan meminum banyak air, anda akan sentiasa bersemangat sepanjang hari dan mampu memberikan sepenuh tumpuan semasa waktu kerja. 

Banyak lagi sebenarnya kelebihan minum air yang boleh dikongsikan. Air antara elemen utama di dalam tubuh manusia tetapi tidak di pandang berat. Dengan hanya meminum air, kita mampu mengurang banyak kos di antaranya kos perubatan. Semoga perkongsian ini memberi makna kepada semua. InsyaAllah. 4 sebab kenapa perlu minum banyak air.

Dosa yang tidak berhenti mengalir.

Dosa yang tidak berhenti mengalir|Kebiasaan yang ramai orang suka kongsikan adalah, pahala yang sentiasa mengalir walaupun anda sudah meninggal dunia. Tetapi aku nak kongsikan pula dalam blog ceritaejoy ni, apakah dosa-dosa yang tidak berhenti mengalir tanpa kita semua sedari.

Media massa kini merupakan 1 keperluan kepada hampir semua orang. Boleh dikatakan semua orang wajib memilikinya. Ia adalah suatu ruangan perkongsian cerita atau gambar peribadi pemiliknya. Ia juga memiliki pengikutnya yang tersendiri. Tetapi tahukah anda yang media massa juga penyebab kepada dosa yang tidak berhenti mengalir masuk ke dalam diri kita?

Kalau kita tengok perihal maruah diri manusia ketika ini, boleh dikatakan ramai yang sudah hilang rasa malu. Gambar yang dikongsikan kadang-kadang terlalu "menyerlah". Dan mereka yang berkongsikan gambar sopan dan santun, dikatakan ketinggalan zaman. Manusia berlumba-lumba memperlihatkan tubuh mereka. Dan tanpa mereka sedari, bukan setakat pujian yang mereka terima, tetapi dosa. Inilah dosa yang tidak berhenti mengalir masuk ke dalam diri mereka.


Pernah aku berjumpa dengan 1 akuan instagram. Gambar profilenya sungguh manis bertudung. Layaknya perempuan melayu terakhir. Bila aku lihat ke dalam akaun gambarnya, lain pula hal nya. Gambar berbaju renang dengan caption "Baru beli baju dekat bla bla bla". Perkara pertama apabila melihat sesuatu gambar itu adalah kepada "likenya". Berapa ramai yang suka dengan gambar terbaru itu. Dan sedar atau tidak, ia mendedahkan auratnya dan di saksikan berpuluh, beratus atau beribu orang. Dan sedar atau tidak dosa akan mula dan tidak akan berhenti mengalir selagi mana ia berada di tempatnya.

Aku bukanlah sesiapa, Ustaz, guru agama atau alim ulama. Aku sekadar meluahkan apa yang berada di dalam fikiran aku. Tak usah cakap kaum hawa, kaum adam juga melakukan perkara yang sama. Banyak sebenarnya perkara yang antara kita sedar atau tidak, membawa kepada dosa yang tidak berhenti mengalir masuk ke dalam diri kita. Aku cuma sekadar mengambil 1 contoh daripadanya.

Selagi mana kita bernafas, elakkanlah daripada berkongsi perkara-perkara seperti itu. Kita sendiri tidak pasti, betapa siksanya hukuman yang bakal di tanggung sewaktu di akhirat kelak. Tiada seorang manusia pun yang kekal bernyawa. Semuanya pasti akan mati. Kerana kita semua telahpun lulus Syarat untuk mati.

Sunday, July 26, 2015

Apa yang sebenarnya sedang berlaku?

Keadaan waktu pagi yang huru hara|Ceritaejoy macam ni, pagi tadi aku terbangun lewat. Sebenarnya banyak kali juga lewatnya. Aku masuk kerja jam 0740, dan aku terjaga dari tidur jam 0650 *itupun wife aku yang kejutkan* Warghh! Biasanya waktu semacam ini aku dah masuk kerja dah. Bila dah terjaga tu, apa lagi semua benda mestilah dilakukan dengan pantas!

Dah selesai bersiap semua, aku bergerak ke tempat kerja dengan superbike aku. Nak dijadikan cerita, break disc pula sangkut. Adoii. Dah la lambat, dia buat hal pulak. Dah berat semacam je motor aku. Aku pun berhentilah tepi jalan sebab nak check. Jari ni pulak gatal nak sentuh break disc. Ha, hambik ko, dia pun panas, hingga ke saat ni rasa sakit tu tak hilang kat jari telunjuk aku ni. Hish, Apa yang sebenarnya sedang berlaku ni?

Disebabkan aku dah lambat nak ke tempat kerja, aku takdalah hiraukan sangat jari aku tu *walhal memang panas sangat-sangat*, Sampai dekat 1 traffic light ni, lampu baru sahaja bertukar merah, Kebiasaannya, penunggang motosikal akan cross jalan lain. Maksud aku, masuk simpang kemudian keluar simpang semula. Ha, faham tak apa yang cuba aku sampaikan ni? Hahahaha.

Nak dijadikan cerita, bila aku masuk simpang dan nak cross ke jalan sebelah, waktu itulah dengan secara tiba-tibanya banyak kenderaan. Arghh! Apa yang sebenarnya sedang berlaku ni? Kenapa tiba-tiba banyak kenderaan? Aku dah lambat ni! Bayangkan aku tunggu kenderaan kurang, sampai hijau semula lampu traffic light tadi. Aduh!

Dah lepas tu, aku teruskan lagi perjalanan aku ke tempat kerja. Dah la superbike aku perlahan, dengan kenderaan tiba-tiba banyak. Ish. Sampai dekat satu simpang tiga, aku perlu ambil jalan sebelah kanan. Aku dah nampak ada sebuah kereta dan jauh kebelakang sikit ada sebuah motosikal. Aku sangat yakin yang aku boleh masuk simpang tu.

Aku pun masuklah, tiba-tiba motosikal kat belakang tadi tu *seorang lelaki berumur dalam 40an dan anaknya berpakaian sekolah* menjerit dekat aku. Woii! Erks. Aku pandang pakcik tu sambil dalam hati cakap: Apa yang sebenarnya sedang berlaku ni? Dah kenapa semua orang macam gini pagi-pagi ni? Huhuhuhu. Aku betul-betul tak faham kenapa pakcik tu berperangai sedemikian. Apa yang beliau sedang atau cuba sampaikan. Aku tak ganggu jalan dia pun. Hmm.

Aku betul-betul malas nak ambil tahu. Aku teruskan juga perjalanan aku. Sampai dekat traffic light nak masuk ke tempat kerja, lampu hijau. Jadi, takdelah aku perlahankan superbike aku. Waktu tu memang banyak motosikal dan kereta. Elok je aku nak masuk simpang, ada sebuah motosikal mati enjin. Dah berhenti tengah-tengah jalan. Selamat aku tak langgar motor tu. Adoii. uits! Apa yang sebenarnya sedang berlaku ni? Kenapa? Mengapa? Bagaimana? Di mana? Huhuhuhu.

Aku betul-betul tak paham. Aku sendiri tak pasti, Apa yang sebenarnya sedang berlaku? Betul-betul bingung aku pagi tadi. Macam-macam persoalan muncul dalam minda aku. Dah kenapa kan? Hish.

Thursday, July 23, 2015

Amaran yang tidak di endahkan.

Amaran yang tidak di endahkan|Manusia sememangnya mudah lupa kan? Macam-macam bentuk amaran diberikan, tetapi tidak semua yang benar-benar sedar. Alam dah semakin tua. Dah tak tertampung dek dosa manusia yang semakin menjadi-jadi. Apa perlu satu bentuk kejadian yang terlalu besar untuk menyedarkan sekalian makhluk manusia?

Semakin menjadi-jadi pula perangai manusia zaman sekarang ni. Baru kejap tadi aku baca dekat 1 blog ni, Cerita bayi yang di rogol. Nafsu jenis apakah manusia semacam ini? Dalam bentuk apa keghairahan manusia kepada seorang bayi? Bayi itu sudah pasti tempatnya di syurga. Sang perilaku tu macamana pula? Apa perlu bencana alam baru mahu tersedar? Amaran ini yang manusia tidak pernah endahkan.

Tak perlu lihat ke luar negara. Lihat sahaja apa yang sudah berlaku di negara kita. Bencana alam, perpecahan, penyakit dan macam-macam lagi. Apakah kalian tidak sedar atau tidak mahu ambil tahu? Apa lagi yang kalian mahukan? Amaran demi amaran diberikan. Apabila manusia benar-benar tidak mahu ambil tahu dan sengaja di endahkan, bencana di turunkan. Waktu inilah, kita akan melihat manusia menadah tangan di mana sahaja. Waktu inilah manusia akan berbicara mengenai agama di mana sahaja.

Kenapa perlu sampai ke tahap itu? Kenapa tidak kita beringat sebelum terkena? Aku bukan ustaz, guru agama mahupun alim ulamak. Tetapi ia bukanlah penghalang untuk aku berkongsi dan mengingatkan rakan-rakan. Tiada salahnya bukan. Kerana, jika turunnya musibah yang besar, ia bukan sekadar terkena pada seseorang, malahan semua turut merasanya. Ini semua kerana amaran yang tidak di endahkan.

Gambar Belangkas