Sunday, October 26, 2014

PEMERHATIAN DAN FAKTA MENARIK SEMASA DI JERMAN DAN PARIS

Sebagai simpanan kenang-kenangan, En. Suami ada menulis tentang pemerhatiannya semasa sepanjang percutian di Jerman dan Paris ni. Ini adalah sambungan dari perkongsian saya tentang percutian di Jerman dan Paris di http://cutifamili.blogspot.com/2014/05/diy-jerman-part-2-pengalaman-memandu.html.

So meh baca pemerhatian dan fakta-fakta menarik yang dikutip dari pandangan seorang lelaki pula ye..


1.       Bandar Frankfurt dan Stuttgart kelihatan tenang dan damai. Apa yang saya maksudkan ialah, kurangnya kereta dan kenderaan di jalan raya. Walaupun Frankfurt mempunya banyak bangunan pencakar langit dan Stuttgart merupakan pusat kereta (Mercedes dan Porsche), jumlah kenderaan yang melata di jalan raya adalah kurang. Keadaan ini mengingatkan saya kepada kawasan pinggir Tokyo iaitu sekitar stesen Kaihimmakuhari yang juga seperti walaupun mempunyai kawasan komersial dan kilang-kilang. Ini berbeza berbanding Munich dan Berlin yang didapati lebih sibuk dan sesak.

2.       Setiap hidangan makanan adalah besar. Maka, kami biasanya hanya perlu memesan 1 hidangan untuk 2 orang. Jika 2 hidangan, biasanya kami akan bawa balik untuk dimakan kemudian.

3.       Memandu di bandar terutamanya Munich (kami tidak memandu di Berlin) adalah tidak begitu menarik kerana seperti juga di sini, trafiknya sesak. Untuk parking, pastikan kita ada kad Parking berwarna biru dan setkan masa parking dan letak diatas dashboard.

4.       Memandu di Autobahn sudah tentu sangat menarik. Kami memandu dari Frankfurt ke Stuttgart dan kemudian ke Schwangau berhampiran Fussen sebelum berakhir di Munich (dalam 300km saja rasanya). Carila dalam google map kalau nak tau yang betul.

a.       Kami menggunakan kereta sewa VW Golf GTD (hasrat hati nak yang hebat lagi! Apakan daya, ini je yang sanggup dibelanjakan!). GPS telah "built-in" dalam kereta ini. Terdapat juga "turn-by-turn" betul-betul di dashboard pemandu (bersama skrin di dashboard tengah). Kereta ini seperti kereta hibrid yang mati enjin apabila kereta berhenti.

b.      Mulanya memangla agak kekok kerana stereng di sebelah kiri. Jadi, kami pusing-pusing di sekitar parkir untuk membiasakan diri.

c.       Apabila memandu di Autobahn, prinsipnya, jika ditanda AX (X satu nombor seperti A6), maka ia seperti PLUS. Jika lebih nombor, maka ia menghubungkan antara bandar.

d.      GPS akan menunjukkan had kelajuan JIKA ADA. Jika tiada, maka ikutla semahunya. Ada bahagian 80km/j, ada juga bahagian 120km/j. Walaupun, begitu, biasanya pemandu akan memandu sekitar 120 - 130 di bahagian tiada had. Kurang yang memandu melebihi 160km/j (pada pengamatan kami). Kami tidak nampak melebihi 200km/j sepanjang perjalan. Mungkin pada masa ini, orang Jerman lebih rilek dan santai??? Entahlah! Ada sebuah kereta Merc yang cuba lari melebihi 200km/j (agaknya) malangnya disekat kenderaan siput dihadapannya. Jadi, sebaiknya kerajaan Malaysia membenarkan kita memandu maksimum 130km/j di PLUS dan LPT. Biasanya, jika disekat, disitula orang (Malaysia!) dan langgar kan!

e.      Kami banyak melalui kawasan ladang bunga Canola yang boleh dibuat minyak sayuran.

f.        Minyak kereta berbeza harga dari satu stesen ke satu stesen, dalam beberapa puluh sen jugala. Jadi, jika rajin, survey dulu. Jika, tak belasah saja. Diesel lebih murah berbanding petrol.

g.       Apabila menghampiri selatan Jerman (selatan Bavaria/ Bayern), ia sudah dekat dengan Alps. Akhirnya, dapat melihat Alps yang dikatakan cantik sangat tu. Terbukti memang Alps cantik! Ketika dia Autobahn, kami dapat lihat Alps betul-betul dekat dan diselaputi salji. Memang cantik. Malangnya, sebab agak laju, tak sempat nak ambil gambar. Bila tiba di Schwangau yang ada Neuschwanstein, gunungnya kurang cantik. Alps yang bersalji cantik boleh dilihat tetapi jauh dan kecil!

h.      Adalah berbaloi jika kita mahu menikmati keindahan Alps sepuas-puasnya, pandulah terus ke Innsbruck, Austria yang dikelilingi Alps. Dalam 2 jam saja perjalanan daripada Fussen, Jerman. Kami tak sempat pasal ada jadual ketat! Hmm, patut kena ada fleksibiliti sikit!

5.       Orang Jerman banyak berbasikal. Bandar-bandarnya juga biasanya dilengkapi dengan laluan sikal. Jika ingin menuggu bas atau tram, pastikan jgn menghalang laluan ini. Biasanya penunggang menunggang dengan laju!

6.       Tiket bagi keretapi adalah mudah. Biasanya ada tiket pelancong yang boleh sekali beli dan naik turunlah suka hati. Cuma pastikan kita "validate" tiket dan kemudian simpan tiket. Bila-bila saja, akan ada pekerja yang akan memeriksa tiket. Jika, tiada tiket atau tiket tidak disahkan, kita akan didenda (EUR30 agaknya), mahal tu! Sistem keretapi/ tram ada terbuka di Berlin dan Munich, jadi, boleh je kalau nak naik "FREE", tapi bayar ah kalau kena saman. Rasanya, orang Jerman banyak jujur dan tahu tanggungjawab, jadi, tak perlu sekat sana-sini macam LRT kita.

7.       Bas di Berlin biasanya sama nombor seperti tram, maka, jika tram no 6, bas untuk laluan sama juga no 6. Biasanya, bas akan beroperasi sehingga malam dan ketika menggantikan tram untuk sebab-sebab tertentu.

8.       Orang Jerman yang kami jumpai (ada sorang atuk ni peramah betul sembang dengan kitaorng dalam tram di Munich) memang percayakan ramalan cuaca. Macam atuk tu dia kata keluar hari ini sebab esok dia tau nak hujan. Dan terbukti esoknya hujan. Memang ramalan cuaca di sini boleh dipercayai! Atuk ni juga pergi ke kedai yang jauh sikit sebab lebih murah berbanding kedai dekat rumahnya tapi mudah sebab ada tram. Tu dia, orang Jerman pun ada susah macam kita juga… haha

9.       Teksi biasanya adalah kereta Mercedes… haha… siap ada E class lagi!

10.   Adalah mudah untuk melihat sekitar bandar menaiki tram.

11.   Orang Jerman yang kami jumpa umumnya lebih peramah dan baik hati berbanding orang Perancis. Bandar-bandarnya juga lebih bersih.

12.   Semasa kami di Paris, minah kaunter tiket agak kurang sopan melayan kami sambil membelek kuku. Dua orang pelancong Jepun juga "dijerkah" minah kaunter kerana silap. Si Jepun ini beli tiket menggunakan kad kredit tp silap pilih. Dia minta tolong pada kami tapi tak boleh buat apa, maka, kami cadangkan jumpa minah kaunter. Alih-alih, kena jerkah! Ada la orang yang baik macam biasa ah tapi minah kaunter memburukkan pandangan pertama.

13.   Di dalam tren dari CDG ke Gare de Lyon, kami tetiba dilayan oleh artis jalanan. Selepas habis persembahan, dia mahu kami bayar. Jika dia tak puas hati, dia minta lagi sampai dapat. Jangan harap nak bagi duit sen, dia akan tolak. Ada mamat Amarika, jenuh cari duit pasal dia bagi sen dan ditolak.

14.   Kami nampak Paris juga agak kurang bersih walaupun di stesen keretapi. Ada juga bahagian yang agak seram (bukan hantu tapi seram orang jahat). Kami diceritakan oleh kawan yang kami jumpa di Frankfurt supaya jangan duduk dibahagian hujung keretapi kerana biasanya diduduki "orang jahat". Nampak macam tu la.

15.   Bangunan di Paris memang cantik. Seni gothic amat memberikan kecantikan abadi kepada Paris diserikan menara Eiffel dan banyak monumen lama bercirikan bangunan Rom. Memang terpesona melihat kecantikan bangunan di Paris ni. Paris ada bahagian modennya di La Defense tapi kami tak sempat ke sana.

16.   Sejarahnya, Jerman datang daripada Holy Roman Empire dan kemudian Prussia. Kemudian disatukan oleh Bismarck yang merupakan Canselor Prussia. Prinsipnya, dalam empayar Jerman moden, Raja Prussia adalah raja Jerman dan Canselor Prussia adalah Canselor Jerman. Bavaria/ Bayern merupakan peserta terakhir di dalam Russia tetapi merupakan negeri (Kingdom) kedua terbesar selepas Prussia. Empayar Jerman dirasmikan di "Hall of Mirrors" di Istana Versailles di Paris selepas Prussia berjaya mengalahkan empayar Perancis (Paris memang banyak kali ditawan oleh kuasa-kuasa besar lain). Selepas perang dunia pertama, Jerman didenda dengan teruk dan mengalami inflasi yang amat teruk yang menyebabkan tercetusnya dendam dan perang dunia kedua. Selepas WW2, Jerman hilang banyak wilayah bekas kerajaan Prussia berdasarkan Garisan Ode-Nesse (banyak diberi kepada Poland). Jerman juga berpecah 2 dan akhirnya bersatu kembali selepas Soviet dan tembok Berlin runtuh. Jadilah, Jerman kini sebagai negara terkuat dan terkaya di dalam EU. Itulah dia, bersatu kita TEGUH, bercerai kita ROBOH.

Semoga bermanfaat untuk anda yang hendak ke Jerman dan Paris.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas