Monday, August 30, 2010

Ulasan drama Jepun : Grave of the Fireflies


Sempena hari merdeka ini aku hendak mengulas satu drama Jepun yang telah aku tonton tidak lama dahulu. Drama ini aku terjumpa di dalam youtube. Drama anti perang ini asalnya adalah dalam bentuk animasi kemudian diterjemahkan dalam lakonan filem. Drama ini berkisar tentang perjuangan hidup dua orang adik beradik di era perang dunia kedua di Kobe, Jepun.

Seita dan Setsuko dua watak adik-beradik asalnya adalah dari keluarga yang berada dan bahagia. Bapanya seorang yang berpangkat kapten dalam tentera laut telah dipanggil untuk berperang dan tinggallah Seita yang masih remaja (abang) untuk memikul tanggungjawab menjaga adik perempuan iaitu Setsuka dan ibunya. Tidak lama kemudian ibunya meninggal akibat cedera dalam serangan bom. Kedua adik-beradik ini tiada tempat untuk tinggal setelah rumah mereka juga hancur dalam serangan bom dan kerana kasihan mereka telah diambil dan tinggal dengan seorang berpangkat makcik dari sebelah ibunya.

Makciknya mempunyai empat orang anak yang perlu dijaga. Pada awalnya Seita dan Setsuka dijaga oleh makciknya dengan amat baik dengan makanan yang cukup walaupun bekalan makanan pada masa itu dicatu oleh pihak kerajaan. Apabila keadaan semakin meruncing dan catuan makanan semakin berkurang dan tiada barang untuk digadai untuk membeli makanan, makciknya meminta Seita menggadai cincin ibunya untuk membeli makanan. Seita menurut kata tetapi Seita hanya menyimpan sebuah tin gula-gula yang menjadi kenangan untuk adiknya yang merupakan hadiah daripada makciknya itu. Apabila bekalan makanan habis, makciknya hanya memberi makanan yang secukupnya kepada anak-anaknya tetapi tidak kepada kedua beradik tersebut. Makciknya yang pada awal kedatangan mereka sangat dialu2kan tetapi telah berubah menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri dan bersikap tidak berperikemanusiaan selepas mendapat tahu suaminya mati di medan perang. Peperangan yang tidak pernah dia restui suaminya sertai membuatkan dia berperang dengan orang sekeliling. Makanan yang berzat hanya diberikan kepada anak-anaknya sahaja. Makciknya mengungkit akan sikap Seita yang tidak mahu membanting tulang untuk mendapatkan makanan. Ini membuat Seita yang kuat egonya kecewa dan mengambil keputusan keluar dari rumah makciknya bersama Sesuka dan mahu berdikari.

Mereka berdua tinggal di pondok perlindungan yang ditinggalkan di sebuah kawasan tasik. Tempat ini merupakan syurga untuk mereka berdua kerana terdapat kelip-kelip pada waktu malam. Kelip-kelip inilah yang menjadi tajuk cerita ini. Seita membelanjakan duit-duit ibunya masih ada untuk membeli makanan dan memasak untuk adiknya setiap hari. Apabila kehabisan duit Seita terpaksa mencuri untuk meneruskan kehidupan. Semakin hari badan Setsuka semakin susut dan sakit. Seita membawa adiknya berjumpa doktor dan doktor mengatakan Sesuka kekurangan zat makanan tetapi tidak diberikan ubat dan nasihat apa yang perlu beliau lakukan.

Seita membawa pulang adiknya ke pondok dan memujuk dan berjanji pada adiknya beliau akan membawa pulang makanan dari pekan. Seita cuba menghabiskan sisa-sisa duit yang ada untuk membeli makanan tetapi diberitahu duit tersebut tidak laku lagi kerana Jepun telah kalah dalam peperangan. Berita tersebut membuatkan dia berasa marah terhadap bapanya kerana selama ini dia mencanang pada dirinya Jepun akan menang dan kekalahan tersebut menandakan bapanya turut meninggal. Kepulangan beliau bersama makanan untuk Setsuka tidak bermakna lagi apabila didapati Setsuka telah meninggal.
Seita membawa mayat Setsuka di kawasan bukit untuk dibakar dan abunya disimpan di dalam tin gula-gula yang menjadi kesayangan adiknya. Beberapa minggu kemudian Seita dijumpai mati di stesyen keretapi bersama tin gula-gula yang masih ada ditangannya.

Drama ini diadaptasi dari novel Akiyuki Nosaka yang berbentuk semi autobiography. Novel ini dihasilkan sebagai satu cara untuk beliau meminta maaf kepada adiknya yang mati akibat kekurangan zat makanan yang berlaku pada era perang Jepun tahun 1945 kerana beliau merasakan beliau bertanggugjawab atas kematian adiknya dan sebagai cara untuk beliau menerima kenyataan kematian yang penuh tragis itu.

Drama ini sangat bagus dan lebih tertumpu kepada kesan kehidupan kepada kanak-kanak akibat peperangan dan kesan daripada peperangan adalah kurangnya makanan. Drama ini adalah cermin kepada peperangan yang berlaku di serata dunia sekarang. Adios!!!

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas