Friday, January 1, 2010

perginya tak kembali..

Salam. Selamat tahun baru dengan azam baru.. Selamat semuanya.. amin..

Hari nih dah hari kedua tahun 2010.. cepatkan? Apa pencapaian kawan-kawan semua dalam 2009? Tercapaikah azam di akhir tahun 2008 dahulu? Atau masih menyambungnya untuk tahun 2010 ini? Apa pun, moga apa yang kawan-kawan azamkan akan terlaksana biar berapa lama pun masa yang diambil..

Tahun 2009 pergi takkan kembali. Bagi kami, tahun 2009 penuh dengan warna-warni kehidupan. 1 Julai genap umur annur setahun, 17 Ogos genap usia perkahwinan kami 2 tahun. Belum lagi pertambahan usia masing-masing.. Menuju kehidupan yang seperti yang telah dijanjikan Allah. moga kita semua mendapat rahmat dan lindunganNya. amin..

Memang, dari segi duniawi, tahun 2009 cukup bermakna. Dari segi harta dan pendapatan, alhamdulillah, Allah kurniakan rezeki yang lebih untuk kami sekeluarga.. Terima kasih Ya Allah.. Tanpa keizinanMu tak mungkin kami mengecapi semua ini..

Moga azam tahun 2010 yang semakin mencabar ini dapat kami penuhi. Dalam mencari & memenuhi azam duniawi, jangan kita lupa pada 'kehidupan selepas ini'. Marilah kita sama-sama mengingati sesama sendiri akan hal ini.

Dalam kemeriahan menyambut kedatangan tahun baru 2010 ini, ternyata ada berita yang kurang enak di telinga dan mata. Sungguh, kealpaan membuatkan manusia mudah terjebak dalam kemaksiatan. Seorang pengerusi/pengetua rumah asuhan remaja yang mengandung tanpa ikatan, antara masa yang dikatakan tinggi kes penerimaan di rumah tersebut, salah satunya ialah pada sambutan tahun baru. Juga selepas konsert atau apa-apa acara yang melibatkan ramai orang dan hingga lewat malam. Sungguh, kalau tanpa perayaan atau sambutan ini, jika mereka yang terlibat ini masih melakukannya, tetap akan mereka lakukan. Tapi, keadaan yang melampau ini menjadi penyebab yang besar kepada aktiviti yang tidak sah ini. Rata-rata yang ditangkap merupakan pasangan bukan muhrim di hotel-hotel sejurus selepas aktiviti keraian diadakan. Adakah adanya keraian ini merupakan tiket bagi mereka melakukan perkara terkutuk ini?

Seawal usia kanak-kanak sudah didedahkan dengan aktiviti sambutan yang mana penuh pelbagai ragam, suasana dan tidak keterlaluan aktiviti yang kurang manfaat. Jadi, bila kanak-kanak ini membesar, maka jangan pula kita salahkan mereka kenapa pulang ke rumah lewat malam, kenapa berkawan dengan remaja-remaja liar dan sebagainya, kerana tanpa kita sedari kitalah yang memulakan 'perkenalan' dengan budaya sebegini.

Apalah salahnya hanya berada di rumah menyambut ala kadar kedatangan tahun baru ini dengan doa yang ikhlas agar kita dan keluarga sentiasa dilindungi dari perkara-perkara yang tidak sepatutnya, atau mengadakan bacaan ayat Al-Quran secara berjemaah. Malah itu lebih baik rasanya.

Apa pun, moga kita semua terhindar dari perkara-perkara yang merugikan diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara amnya. Moga azam yang kita tanamkan juga akan terlaksana di penghujung tahun ini. Juga moga kejahatan & kemusnahan dapat diperangi oleh kebaikan & keindahan. Selamat tahun 2010 untuk semua.

* Maaf andai kata-kata ini mungkin menyentuh hati sesiapa. Sekadar mengingatkan diri sendiri seadanya.

fr: selamat hari lahir buat mak tersayang di kampung. moga hari ini membawa kebahagiaannya yang berterusan. moga beroleh hidayah & rahmat dari-Nya. amin..



No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas