Terdapat persoalan yang dilontarkan kepada pihak as-Salihin Trustee mengenai kekeliruan wasiat apabila pernyataan di mana wasiat bukan untuk seorang waris telah dibincangkan di kaca televisyen (tv9) dalam beberapa minggu lepas yang mana telah menimbulkan sedikit persoalan mengenainya,jadi di sini saya telah diarahkan untuk membuat sedikit komen atau jawapan kepada persoalan tersebut oleh pihak pengurusan as-salihin,semoga penjelasan ini dapat memberikan input kepada kita semua.
Persoalan yang timbul adalah sebenarnya terdapat kekeliruan dalam penerangan tentang kepentingan wasiat dan sama ada wasiat adalah sesuatu yang dibolehkan oleh agama kepada waris atau tidak telah menjadi isu yang diperkatakan di sini. Oleh itu kita akan membincangkan dengan lebih teliti konsep penulisan wasiat dan juga kaitannya dengan undang-undang syarak di Malaysia dan pemakaiannya dari perspektif undang-undang sivil.
Pertamanya sekali tentang konsep sebenar wasiat. Penerangan mengenai wasiat telah di sebut oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 180 yang menyatakan tentang kewajipan untuk menulis wasiat tetapi ia telah dinasakhkan dengan penurunan surah an-Nisa ayat 11-12 yang menyatakan bahawa tidak lah mewajibkan seorang mukmin itu menulis wasiat tetapi lebih kepada diharuskan. Tetapi dari hadis-hadis yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW telah menggalakkan kita untuk menulis wasiat antaranya ialah :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat”
-Riwayat Ibnu Majah-
Dan dalam hadis lain Rasulullah SAW menyatakan lagi :
“ sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.”
-Riwayat Ibnu Majah-
Sabda Rasulullah lagi:
adalah rugi seseorang mukmin itu sekiranya dia tidur dua hari berturut-turut tanpa menulis wasiat dan meletakkan di bawah kepalanya semasa ia tidur.
Jadi adalah jelas bahawa Rasulullah amat menggalakkan umatnya untuk menulis wasiat semasa masih hidup sekiranya mempunyai harta yang akan ditinggalkan.
Wasiat sememangkan bukan untuk waris kerana wasiat adalah sebenarnya untuk bukan waris sahaja.
Rasulullah bersabda bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris”. (Riwayat Abu Daud).
Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Tetapi kita sedang melihat dari satu situasi sahaja yang mana tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.
Tetapi sekiranya kita lihat satu lagi hadis Rasulullah SAW yang berbunyi :
La wasiyati Li waarithin illa yujiiza al Warathah.
“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain”
(Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).
Ini bermakna walaupun peraturan asas wasiat adalah waris tidak boleh menerima wasiat tetapi ia tidak lah sesuatu yang absolute atau tidak boleh disangkal. Menurut hadis di atas terdapat satu pengecualian atau dari segi bahasanya di sebut sebagai ‘isthisna’ yang disebut selepas penafian memberi makna ‘ithbaat’ atau pembenaran. Dengan itu hadis ini menjadi dalil kepada SAHNYA wasiat tersebut apabila terdapat kerelaan dan penerimaan atau pembenaran dari waris lain.
Pendapat lain menyatakan bahawa perbuatan mewasiatkan harta kepada waris ini adalah ‘mauquufah’. Iaitu ia tidak membenarkan wasiat kepada waris tetapi kitab ‘Aunul Ma’bud dalam menerangkan makna hadis tersebut menegaskan bahawa pandangan yang tidak membenarkan perbuatan mewasiatkan harta kepada waris adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan hak-hak waris-waris lain, oleh itu sekiranya mereka membenarkan, bersetuju menerima kandungan wasiat itu sebagaimana halnya jika mereka bersetuju diwasiatkan harta lebih daripada 1/3 kepada bukan waris (oleh si mati) maka perbuatan itu adalah DIHARUSKAN.
Jadi di as-Salihin Trustee Bhd kami menggunakan dalil-dalil yang kuat dan telah dipersetujui secara bersama oleh Lembaga Syariah syarikat ini tentang kebenaran membuat wasiat dan wasiat itu dibenarkan serta diterima oleh waris lain, tetapi peraturan asas wasiat iaitu wasiat bukan untuk waris adalah tulang belakang kepada setiap wasiat yang dibuat di as-Salihin. Oleh itu wasi, boleh, dengan kuasa yang ada padanya menyerahkan bahagian faraidh waris yang tidak bersetuju dengan wasiat yang dibuat oleh pewasiat sebelum kematiannya.
Adalah perlu diingatkan bahawa kepentingan wasiat hari ini adalah untuk dua perkara ini iaitu :
i. melantik wasi bagi menjadi pentadbir harta bagi pihak si pewasiat selepas kematiannya dan,
ii. perlantikan penjaga bagi pewasiat yang masih mempunyai anak di bawah umur yang tidak boleh mentadbir harta.
Ini adalah sangat penting memandangkan perkaitannya dengan undang-undang sivil di Malaysia yang memerlukan pentadbir harta dilantik sebelum kuasa mentadbir harta diberikan kepada wakil si mati untuk mentadbir dan menguruskan harta si mati bagi di serahkan kepada yang berhak. Tetapi undang-undang telah menetapkan satu prosedur yang dirasakan sangat sukar untuk dilakukan dalam sesetengah situasi yang membabitkan masalah pusaka yang rumit. Tetapi undang-undang membenarkan pemilik harta melantik sendiri wasi atau pentadbir harta bagi pihaknya tanpa memerlukan persetujuan waris lain. Jadi di sinilah terletaknya kepantingan wasiat. Wasiat yang di tulis di as-Salihin tidak sesekali meletakkan faraidh di belakang kerana faraidh adalah tunjang kepada perancangan dan pembahagian harta umat Islam di Malaysia. Cuma dengan adanya wasiat akan memudahkan tuntutan hak oleh waris si mati.
Beberapa perkara perlu diketahui berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:
1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.
2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.
3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.
4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain. Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.
Persoalan yang kedua adalah dari segi perkhidmatan atau instrumen-instrumen yang boleh digunakan dalam proses perancangan harta dari segi pembahagian dan pengagihan harta si pewasiat kepada waris-warisnya. Antara instrumen perancangan harta yang boleh digunakan dalam pengagihan harta pusaka ialah hibah, amanah serta wakaf. Di sini saya hanya merujuk kepada hibah sama ada ia dibenarkan dalam Islam atau tidak dan adakah ia telah melanggar hukum faraidh atau sebaliknya.
Hibah dari segi bahasa ialah pemberian tetapi dari segi istilah adalah akad yang membawa kepada perpindahan harta atau pemilikan secara percuma tanpa mengharapkan pulangan/imbalan ketika masih hidup secara sukarela. Jadi di sini unsur-unsur penting dalam hibah adalah :
i. akad
ii. milikan
iii. sukarela
ingin saya sentuh ketiga-tiga perkara di atas yang mana ia adalah sangat penting bagi menunjukkan bahawa Hibah adalah sebenarnya sesuatu yang dibenarkan dalam Islam dan tidak melanggar hukum faraidh.
Pertamanya adalah akad atau sebenarnya satu pengishtiharan pemberian oleh si pemberi kepada benefisiari atau penerima dengan adanya akad ini maka hibah itu boleh diterima. Keduanya ialah milikan yang mana merupakan satu unsur penting dalam hibah iaitu di mana si pemberi mestilah mempunyai milikan mutlak dan kuasa sepenuhnya ke atas harta yang ingin di hibahkan kepada orang lain. Di dalam Islam sendiri membenarkan pemilik harta itu melakukan apa sahaja kepada harta yang dimilikinya selagi ia tidak melanggar hukum syarak. Dan yang ketiga adalah sukarela iaitu setiap pemberian yang diberikan itu mestilah dijauhi dari sebarang unsur lain seperti paksaan dan juga fraud.
Berikut adalah antara dalil-dalil mengenai hibah dan sejauh mana ia digalakkan di dalam Islam :
Al-Baqarah : ayat 177
“dia memberi harta yang dikasihinya kepada keluarga yang terdekat, anak yatim, orang miskin, orang yang berhajat dan hamba”
Hadis Riwayat Bukhari & Muslim :
“berilah hadiah (Hibah) nescaya kamu akan dikasihi”
Dari Khalid bin ‘Adi, Rasulullah SAW bersabda :
“barangsiapa yang diberi oleh saudaranya kebaikan dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak dia minta,hendaklah diterimanya (jgn ditolak). Sesungguhnya yang demikian itu pemberian yang diterima oleh Allah kepadanya”.
Jadi selagi pemberi hibah itu adalah pemilik mutlak yang mempunyai penguasaan penuh terhadap harta yang ingin dihibahkan maka, adalah di benarkan untuk membuat hibah ke atas harta tersebut kepada orang lain.
Sebenarnya semua instrument perancangan harta pusaka islam yang di praktikkan di Malaysia ini adalah berkonsepkan pemilikan penuh atau kuasa mutlak pemilik ke atas hartanya jadi tiada siapa yang boleh mempersoalkan hak pemunya untuk merancang penggunaan dan pengagihan harta yang ingin dilakukannya. Jadi sekiranya seseorang itu ingin melakukan hibah, wakaf atau amanah semasa hidup ia adalah sesuatu yang dibenarkan di dalam Islam kerana ia adalah hak kepada pemilik harta tersebut dalam mentadbir hartanya.
Tetapi sekiranya dia ingin membuat hibah atau mana-mana instrument perancangan tersebut di dalam wasiat ia adalah tertakluk kepada 1/3 dan jika melebihi dari 1/3 kebenaran waris-waris lain adalah diperlukan kerana selepas kematian milikan mutlak sudah tidak wujud dan harta pusaka tersebut adalah merupakan hak waris jadi persetujuan waris adalah diperlukan bagi tujuan yang dinyatakan di dalam wasiat.
Kesimpulannya ialah, setiap perancangan harta yang dibuat semasa hidup pemilik harta tersebut adalah dibenarkan di dalam Islam jadi tidak timbul isu sama ada ia melanggar hukum syarak atau berdosa. Wasiat sememangnya bukan untuk waris tetapi waris boleh menerima wasiat sekiranya setiap waris bersetuju dengan untuk menerima penetapan yang di nyatakan di dalam wasiat. Sekiranya waris tidak bersetuju maka pembahagian akan di lakukan mengikut hukum faraidh seperti yang telah di tetapkan dalam surah an-nisa ayat 11-12.
Thursday, May 14, 2009
WASIAT KEPADA (WARIS @ BUKAN WARIS)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
-
| Peranan buah dada dan puting wanita memang banyak, bukan sekadar menggoda nafsu lelaki saja, tapi buah dada sebagai bukti kalau gadis itu...
-
Khunsa, berasal dari perkataan Arab yang bererti lembut. Menurut Kamus Dewan, orang yang mempunyai dua alat kelamin. Golongan istimewa ini A...
No comments:
Post a Comment