Konsep harta dalam Islam menyatakan bahawa secara mutlaknya harta yang kita miliki adalah milik Allah. Kita diberi hak pemilikan sementara sahaja semasa kita hidup. Apabila kita telah tiada lagi di dunia ini maka harta tersebut akan dikembali semula secara otomatik kepada Allah pencipta sekalian alam buat sementara waktu, sehingga harta itu dapat diagihkan semula kepada waris-waris yang masih hidup.
Sebagai khalifah, kita dipertanggungjawabkan untuk memindah hak milik harta tersebut kepada waris kita dan juga kepada bukan waris (dibenarkan sekiranya menghendaki). Proses pemindahan hak milik ini dilaksanakan melalui faraid atau wasiat. Pada kebiasaannya proses ini akan dilaksanakan selepas kita meninggal dunia, tetapi sebenarnya adalah lebih baik kalau kita dapat melaksanakan perancangannya sendiri semasa kita hidup.
Sebagai pemilik harta, kita digalakkan membuat perancangan pemindahan hak milik harta ini semasa hidup melalui instrumen-instrumen yang ada dalam perancangan harta pusaka Islam bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan sesama saudara dan risiko kebajikan keluarga tidak terjaga akibat harta yang beku oleh proses perundangan (tidak dapat digunakan atau dikeluarkan) selepas meninggal dunia.
Masa depan keluarga kita bergantung kepada apa yang kita rancangkan semasa hidup. Perancangan harta semasa hidup menjamin kesinambungan warisan keluarga kita di masa hadapan apabila kita telah tiada. Jangan biarkan hidup orang yang kita sayang terumbang-ambing akibat kesilapan kita tidak melaksanakan perancangan harta. Perancangan harta pusaka adalah lebih mudah dan murah apabila kita tahu bagaimana caranya.
No comments:
Post a Comment