Thursday, August 31, 2006

Imbas kembali zaman sebelum merdeka

Seperti yang diceritakan oleh makcik Normah bt Kassim kepada wakil
majalah PERMATA (Oktober 1998
)

Ketika orang sibuk dan heboh bercerita tentang komunis, makcik masih
kecil lagi. Kalau tak silap mak cik ketika itu usia makcik dalam
lingkungan 8 atau 10 tahun.

Semasa kecil makcik dipelihara oleh nenek makcik. Selepas kematian
nenek, makcik tinggal pula bersama-sama keluarga bapa saudara makcik,
Pak Long Seman. Dia mempunyai ramai anak perempuan. Makcik dipelihara
dan dibesarkan bersama-sama dengan anak-anaknya.

Ketika itu kami tinggal di Kampung Batu 1 Jalan Tras. Tak seperti
sekarang, masa dulu di sekeliling kawasan ini semuanya hutan belukar.
Hanya ada beberapa buah rumah sahaja. Jarak di antara sebuah rumah
dengan rumah yang lain pula agak berjauhan.

Pada suatu malam ketika kami semua berkumpul, tiba-tiba kedengaran
pintu di bahagian dapur rumah diketuk orang. Bunyi ketukan itu
berterusan tanpa henti.

Ketika itu makcik dan sepupu makcuk berpandangan sesama sendiri.
Walaupun pada waktu itu kami masih kecil tetapi kamu sudah dapat
memahami apa yang berlaku di sekitar tempat kami.

Sebentar kemudian kami lihat Pak Long bangun dan terus menjuju ke
dapur. Perlahan-lahan dia membuka pintu dan mengintai siapa yang
datang. Sebaik sahaja pintu dibuka kami lihat ada beberapa orang lelaki di
luar sana. Kesemua mereka berbangsa Tionghua. Kami dengar mereka
bercakap-cakap sesuatu dengan Pak Long.

Melihatkan air muka dan cara mereka berpakaian kami sudah dapat
mengagak siapa mereka itu. Mereka semua komunis. Apakah tujuan mereka
datang malam-malam buta begini? Perkara tersebut terus menghantui
fikiran makcik. Kami sudah mula berasa risau. Kami terus mengintai
dari celah-celah pintu. Kami ingin tahu apa sebenarnya yang sedang
terjadi.

Pada masa yang sama kami sudah mula berasa takut. Menurut cerita
orang, komunis suka bunuh orang. Sekarang mereka sudah berada di rumah
kami. Apa yang mereka mahu?

Sebentar kemudian makcik lihat Pak Long masuk ke dalam. Dia nampak
kami dan segera menyuruh kami sumua bersembunyi. Seperti yang
diarahkan kami masuk ke bilik dan segera bersemubunyi. Selepas itu
makcik tak tahu apa yang terjadi.

Setelah setengah jam selepas itu kami dengar Pak Long masuk semula.
Kami pun segera keluar dari tempat persembunyian. Makcik dan semua
sepupu makcik terus mendapatkan Pak Long dan Mak Long. Kami ingin tahu
apa yang sudah terjadi.

Sebenarnya pada ketika itu semua komunis tadi baru saja beredar pergi
meninggalkan rumah kami. Dari cerita Pak Long, makcik mendapat tahu
dia telah digertak dan diugut oleh komunis-komunis itu.
"Mereka datang nak minta makan," bisik Pak Long kepada kami. Suaranya
kedengaran gementar. Menurut Pak Long komunis itu mungkin akan datang
lagi.

Kami mendengar cerita Pak Long dengan rasa takut. Komunis itu mengugut
akan membunuh kami semua jika Pak Long enggan memenuhi kehendak
mereka.

Sebenarnya beberapa hari sebelum kejadian tersebut, komunis telah
muncul di rumah salah seorang jiran kami. Apa yang terjadi ke atas
keluarga tersebut amat menyayat hati. Makcik tak berapa ingat nama
jiran makcik itu. Tapi salah seorang daripada anak mereka sebaya
dengan makcik dan sepupu makcik. Dia berkawan dengan kami.

Peristiwa sedih itu berlaku tanpa disangka-sangka. Pada suatu malam
bapa kepada kawan makcik itu baru sahaja menang judi. Dia bawa pulang
banyak wang. Entah bagaimana komunis datang ke rumahnya malam itu.
Mereka minta wang dan makanan. Dia tak bagi. Akhirnya komunis bunuh
dia, isteri dan anak-anaknya.

Entah macam mana secara diam-diam kawan makcik dapat melarikan diri.
Dia datang ke rumah kami. Sambil menangis-nangis dia ceritakan apa
yang terjadi ke atas keluarganya. Kerana bimbang kalau-kalau komunis datang mencarinya maka Pak Long sembunyikan dia di dalam gulungan tikar. Sudah ditakdirkan umurnya masih panjang. Nasib dia baik kerana komunis tak datang.

Kejadian tersebut menjadi bukti kekejaman komunis. Mereka tidak
mengenal mangsa. Sesiapa sahaja yang enggan menurut kehendak mereka
pasti akan menerima akibatnya. Jadi, apabila komunis muncul malam itu,
kami semua berasa amat takut.

Keesokan harinya Pak Long menunggang basikal dan terus menuju ke pekan
Bentung. Pak Long memakai topi besar untuk melindungi mukanya dari
dicam. Kata Pak Long komunis bukan sahaja ada di dalam hutan tetapi
agennya ada di bandar.

Kami tahu apa tujuannya Pak long ke pekan pagi itu. Tapi kami diminta
jangan bising atau mengheboh-hebohkannya. Pak Long menyuruh kami
duduk diam di dalam rumah. Sampai di pekan, Pak Long terus ke balai polis. Dulu tempat ini dipanggil rumah pasung. Pak long membuat laporan polis mengenai
kejadian komunis muncul di rumah kami malam tadi.

Setelah mengambil keterangan, pihak polis menyuruh Pak long pulang.
Polis mengiring Pak Long dari jarak jauh. Ini dilakukan kerana pihak
polis bimbang kalau-kalau ada agen komunis terlihat Pak Long berhubung
dengan mereka dan cuba melakukan sesuatu di tengah jalan nanti.
Mujurlah tiada apa-apa yang berlaku. Pak long samai di rumah dalam
keadaan selamat.

Sampai di rumah, Pak Long terus menceritakan apa yang pihak polis
arahkan kepadanya. Menurut Pak Long, pihak polis hanya akan datang
pada hari esok. Mereka sedang mengatur satu rancangan bagaimana hendak
memberkas pengganas komunis itu. Sementara itu jika komunis datang
lagi malam nanti mereka menyuruh Pak Long melayannya seperti biasa.
kalau mereka minta makan, berikan sahaja. Begitu arahan polis kepada
Pak long.

Malam kedua komunis itu datang lagi. Seperti malam sebelumnya, mereka
datang untuk meminta makanan. Sebagaimana yang diarahkan oleh pihak
polis, Pak Long pun memberi beras, tepung, susu dan gula kepada
komunis-komunis itu. Setelah memperolehi barang-barang tersebut,
komunis itu pun beredar pergi.

Keesokan harinya pihak polis pun datang. Mereka datang seorang demi
seorang. Mereka juga tdak memakai pakaian seragam sebaliknya memakai
pakaian biasa. Pakaian seragam disimpan di dalam satu bekas dan
dijinjing.

Pihak polis juga tidak menampakkan senjata mereka. Senapang dan
pistol mereka dibungkus dengan kain. Senjata itu kemudiannya
ditinggalkan di celah-celah semak di sepanjang jalan menuju ke rumah
kami.

Semua ini dilakukan bagi mengelakkan kehadiran polis dikesan pihak
komunis. Ini kerana kawasan di sekeliling rumah kami dipenuhi hutan
belukar. Komunis mungkin bersembunyi di situ dan mengintai dari
celah-celah semak. Seorang demi seorang daripada anggota-anggota polis
itu datang ke rumah kami. Oleh kerana rumah kami tinggi, mereka masuk
ke bawah rumah dan bersembunyi di situ. Keliling rumah kami telah
dipagar dengan papan dan tiada sesiapa pun yang dapat melihat siapa
yang bersembunyi di bawah rumah.

Sepanjang hari itu, Pak Long ditugaskan mencari 'kayu api'. Sambil
mengutip kayu api Pak Long akan mengutip senjata-senjata yang
ditinggalkan pihak polis tadi lalu diikat bersama-sama kayu api
tersebut. Semuanya dibawa pulang ke rumah. Dia melakukan perbuatan
tersebut berulang kali sehingga habis semua senjata tersebut dibawa
pulang.

Sampai di rumah, senjata-senjata tadi diserahkan semula kepada pihak
polis yang sudah bersedia menunggu di bawah rumah. Mereka juga sudah
menukar pakaian dan kini kesemua mereka lengkap berseragam. Mak Long
memasak makanan dan memberi mereka makan.

Malam itu seperti yang dijangkakan komunis-komunis itu datang lagi.
Seperti malam-malam sebelumnya mereka datang meminta makan. Selepas
berbual beberapa ketika dengan komunis-komunis itu, Pak Long pun
segera masuk ke dalam. Anggota-anggota komunis itu terus menunggu di
pintu dapur.

Pak Long terus menuju ke tengah rumah dan mengelak daripada dilihat
oleh komunis-komunis itu. Sampai di suatu sudut Pak Long membuka papan
lantai dan segera memberitahu pihak polis tentang kedatangan komunis
itu. Papan-papan lantai tersebut memang telah ditanggalkan sebelumnya.

Sebaik sahaja diberitahu, separuh daripada pihak polis segera naik ke
atas melalui papan-papan lantai yang terbuka tadi. Sebahagian lagi
mengepung dari luar. Komunis itu benar-benar terperangkap. Mereka
diserbu dari luar dan dalam. Akhirnya kesemua mereka berjaya diberkas.
Mereka ditahan dan dibawa ke bandar.

Rupa-rupanya kejadian ini telah membangkitkan kemarahan rakan-rakan
mereka yang lain. Beberapa hari selepas itu segerombolan komunis telah
datang menyerang hendap dekat sebuah bukit berhampiran dengan sebuah
tanah perkuburan.

Komunis mula mengganas. Mujurlah sejak kejadian tempohari pihak polis
telah meletakkan anggotanya di semua kawasan hutan berhampiran. Pihak
komunis tidak sempat mara lebih jauh lagi.

Komunis dan pihak polis bertempur sepanjang malam di kawasan bukit
tersebut. Makcik mendapat tahu kemudiannya tidak kurang 30 orang
komunis berjaya dibunuh. Mayat-mayat mereka dapat dilihat dengan jelas
di dalam trak-trak polis yang melalui kawasan berhampiran rumah kami.

Begitulah beberapa kejadian yang tak dapat makcik lupakan berlaku di
dalam hidup makcik pada zaman komunis dahulu. Makcik benar-benar
bersyukur kepada tuhan kerana makcik terselamat dan dapat meneruskan
kehidupan sehingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas