Saturday, June 6, 2015

Gempa Bumi Sabah: Pendaki Lihat Bongkah Batu Sebesar Rumah Bergolek Ke Arah Mereka

Peter Hamel

KOTA KINABALU: Seorang pendaki Gunung Kinabalu dari Amerika Syarikat, Peter Hamel menyaksikan bagaimana seketul bongkah batu sebesar rumah bergolek dan hampir-hampir menghempapnya ketika gempa bumi berlaku awal pagi Jumaat.

Pendaki berusia 35 tahun dari Colorado itu berkata, ketika kejadian yang sangat mengerikan itu berlaku, dia dan sepupunya Stephen Dannimiller bersama seorang jurupandu sedang menuruni puncak Gunung Kinabalu.

Mereka katanya adalah di antara kumpulan pendaki yang paling awal turun meninggalkan puncak dari arah Barat gunung tersebut.

“Apa yang kami alami sangat-sangat menakutkan kerana bongkah-bongkah batu bergolek menuju ke arah kami,” katanya.

Menurut Hamel lagi, ini adalah kali kedua dia berhadapan dengan gempa bumi ketika dalam ekspedisi mendaki.

Kali pertama ialah di Nepal baru-baru ini.

“Jadi ia adalah sesuatu yang sukar dipercayai yang kami masih selamat selepas berhadapan dengan dua tragedi gempa bumi di kawasan pergunungan," ujarnya lagi.

Bagaimanapun katanya, insiden ini tidak akan menjejaskan percutiannya di Sabah kerana dia bersama sepupunya itu bercadang untuk menghabiskan baki cuti mereka di hutan hujan Sukau di Sandakan dan juga Sipadan.

Diminta bercerita mengenai pengalamannya lagi, Hamel memberitahu, keetiga-tiga mereka mengambil keputusan untuk berehat di pondok Sayat Sayat selepas berjaya sampai ke puncak setinggi 4,095 meter.

“Kami juga adalah antara yang paling awal untuk sampai ke puncak dan juga yang paling awal untuk turun dan ketika itulah gegaran melanda.

"Ketika kami berhenti di Sayat Sayat terdapat sekurang-kurangnya 20 pendaki lain yang turut berhenti. Gegeran mula berlaku pada lebih kurang jam 7.07 pagi,” katanya.

Menurutnya lagi, selepas berjaya meloloskan diri di kawasan yang lebih selamat mereka menunggu selama lebih kurang sejam.

Selepas meneruskan perjalanan, mereka telah terserempak dengan seorang pendaki yang patah kaki.

Jurupandu mangsa yang patah kaki itu cuba untuk mendukungnya tetapi gagal.

Mereka juga berselisih dengan ramai lagi pendaki yang tercedera akibat gempa bumi itu sebelum tiba di Taman Kinabalu dengan selamat.



Kredit: mstar.com.my

Lelaki dihukum mati bunuh anak tiri terberak dalam seluar

AYER KEROH: Seorang broker tanah dikenakan hukuman mati mandatori selepas didapati bersalah membunuh anak tirinya yang berusia enam tahun dalam satu kejadian pada 10 Oktober 2011.

Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman kepada Azman Abd Rahman 41, kerana didapati bersalah memukul sehingga menyebabkan kematian Muhammad Firdaus Mohd Dan.

Beliau gagal mengawal kemarahan selepas anak tirinya membuang air besar di dalam seluar.

Zulkifli dalam alasan kehakimannya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan yang dikemukakan.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfarhana Ahmad dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Hilmy Samsudin.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merotan dan menerajang anak tirinya sehingga mati pada kejadian 10 Oktober 2011 di Kebun Kelapa Sawit Kampung Solok Pinang, Gadek, Alor Gajah antara jam 10.30 pagi hingga 2.15 petang.

Tindakan berkenaan dilakukan selepas mangsa membuang air besar di dalam kereta menyebabkan tertuduh berang sehingga bertindak memukul tetapi akibat mengalami kecederaan parah, mangsa meninggal dunia.

Selepas meneliti keterangan pembelaan dan pendakwaan tertuduh didapati bersalah menyebabkan kematian anak tirinya kerana mempunyai niat untuk menyebabkan kecederaan yang boleh membawa kematian.

Zulkifli berkata, tindakan tertuduh disifatkan melampaui batas untuk mengajar mangsa yang terbuang air besar di dalam kereta.

“Mangsa dirotan di dalam kereta kerana membuang air besar selepas itu mangsa keluar kereta kerana kesakitan tetapi kenapa tertuduh perlu memukul dan menerajang mangsa lagi sehingga membawa maut,” katanya.

Terdahulu, Nurfarhana semasa prosiding rayuan memohon hukuman berkenaan memberi pengadilan kepada mangsa dan keluarganya serta menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Katanya, hukuman itu menjadi mesej kepada masyarakat bahawa sekiranya mempunyai sifat panas baran seharusnya perlu bijak mengawal perasaan selain menghormati sistem undang-undang negara. - Astro

Australia tak puas hati tentera Indonesia juara menembak, dakwa guna ilmu rahsia

BANDUNG — Kemenangan besar pasukan Indonesia dalam kejohanan menembak antarabangsa di Australia bulan lalu dengan meraih 30 daripada 50 pingat emas bukan sahaja dicemburui, malah dipertikaikan negara maju.


Antaranya Australia selaku tuan rumah dilaporkan ‘marah’ kejayaan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam cabaran tahunan berprestij dikenali sebagai Australian Army Skill at Arms Meeting (AASAM) di Melbourne itu.

Menerusi pertandingan menembak tersebut, TNI muncul juara dengan 30 pingat emas, 16 perak dan 10 gangsa; jauh meninggalkan tentera Australia sebagai naib juara dengan kutipan hanya 4 emas, 9 perak dan 6 gangsa.

Paling memalukan, tentera Amerika Syarikat (AS) yang dianggap kuasa besar dunia cuma mendapat 4 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa; manakala sekutunya, Britain di tempat keempat dengan 3 emas, 5 perak dan 3 gangsa.

Mungkin amat malu dengan kekalahan teruk tersebut, Australia dikhabarkan meragui penggunaan senjata oleh penembak TNI dan mendakwa senapang buatan Indonesia tidak mematuhi spesifikasi standard antarabangsa.

Namun isu itu dinafikan Ketua Staf Kepresidenan, Luhut Pandjaitan yang menjelaskan senjata buatan firma milik pemerintah republik tersebut, PT Pindad mengikut ciri-ciri am ditetapkan badan persenjataan di seluruh dunia.

“Saya juga hairan mesti ada ‘rahsia’ TNI boleh menang besar, tetapi apabila saya semak sendiri dengan pihak pengurusan PT Pindad, senapang ini tiada apa aneh pun,” katanya selepas melawat kilang senjata itu di Bandung.

Secara sinis, Luhut menyindir Australia enggan mengakui kelemahan anggota tentera mereka sendiri, malah ia bukan perkara luar biasa kerana Indonesia pernah menjadi juara AASAM sebanyak lapan kali sebelum ini.

“Lagipun beza jurang pungutan emas oleh Indonesia dengan Australia cukup jauh, lainlah jika kita menang tipis perbezaan satu atau dua pingat emas, itu mungkin boleh dianggap seperti ‘menang nasib’ sahaja,” jelas beliau.

Sebaliknya Luhut menyifatkan TNI memang hebat, malah mampu menang besar tanpa ada unsur penipuan, disebabkan tiga faktor utama: kemahiran penembak itu sendiri, jenis peluru dan penggunaan senjata yang betul.

“Jika selama ini sebut sahaja senapang, anak kecil kita segera ingat M16 buatan AS dan AK47 oleh Rusia, namun menerusi AASAM, kita mahu ubah persepsi agar bangga kehebatan senjata SS2 keluaran PT Pindad,” ujarnya.

Indonesia diwakili 21 penembak TNI Angkatan Darat dianggap pasukan miskin ketika bersaing dalam kejohanan tersebut dari 20 sehingga 23 Mei lalu dan disertai 17 pasukan elit dari 14 buah negara. — Agensi/H.A.AMREE

Mat Sabu lepas jawatan di PP

Mohamad Sabu berkata, beliau akan melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang minggu ini ekoran keputusan muktamar memutuskan hubungan dengan DAP.

"Kalau saya tak ikut, mereka mungkin kata saya tak taat kepada ulama," katanya ketika menyampaikan ucapan sarat dengan sindiran di sesi penggulungan muktamar PAS di Kuala Selangor hari ini.

Ketika ini Mohamad adalah salah seorang anggota Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang Halal Hab. - Malaysiakini

Kes 'Hawaii Five-O': Penuduh tak tunjuk bukti

Bekas ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Hatta Ramli hari ini mendedahkan, individu yang menuduhnya mengetuai gerakan menjatuhkan presiden tidak pernah menghadirkan diri ketika dipanggil jawatankuasa siasatan.

Malah Pengerusi Lajnah Pilihan Raya PAS itu berkata, pihak yang menuduhnya - Ketua Pemuda PAS Kuantan -  bukan saja gagal hadir untuk kali pertama, malah pada kesempatan kedua diberi jawatankuasa terbabit.

"Selepas empat bulan, akhirnya jawatankuasa ini yang dibentuk memanggil penuduh. Panggil Ketua Pemuda PAS Kuantan dan saya untuk mendapatkan maklumat bagi penyiasatan.

"Tapi penuduh tak datang dengan alasan tak yakin pada enam orang jawatankuasa yang lakukan penyiasatan.

"Jadi bila tak datang buat kali kedua, keputusan (siasatan) tergantung," katanya ketika berucap di sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor.

Selain itu, Dr Hatta juga melahirkan rasa kecewanya apabila pihak yang menuduhnya itu tidak dikenakan sebarang tindakan.

Secara sinis, Hatta juga mengatakan bahawa disebabkan isu tersebut beliau kini mengalami kekalahan dalam pemilihan parti.

"Sepatutnya penuduh itu diambil tindakan tapi saya tak desak ahli jawatankuasa PAS ambil tindakan, jadi (kes) ini tergantung begitu," katanya lagi. - Malaysiakini

'Nak cari deposit pun payah...'

Pengerusi Lajnah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli memberi peringatan kepada perwakilan supaya memberi cadangan yang berasas dan tidak secara emosi berhubung isu pilihan raya.

Beliau berkata, cadangan perwakilan dari Sabah yang memberi amaran bahawa PAS akan bertanding di 32 kerusi di Sabah pada pilihan raya umum depan dilihat tidak berasas.

"Nak cari deposit untuk 11 kerusi pun payah, sampai ada yang hilang deposit. Untuk dua kerusi parlimen untuk kita adakan perbincangan cukup rapi.

"Jangan sebab marah, letak cadangan begitu. Letak cadangan biar berasas," katanya dalam ucapan penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-61.

Semalam perwakilan Sabah memberi amaran kepada DAP dan PKR bahawa PAS mungkin akan bertanding kesemua 32 kerusi DUN dalam pilihan raya umum.

Mohd Zulfikar Abd Mijan berkata tindakan itu susulan sekutu mereka itu enggan memohon maaf kerana “menendang” PAS Sabah daripada Pakatan Rakyat susulan isu hudud di Kelantan. - Mkini

PP tak sabar tunggu peletakan jawatan PAS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta semua wakil PAS yang menduduki jawatan dalam kerajaan negeri supaya meletak jawatan.

Kata Lim, tindakan itu perlu dibuat selepas muktamar PAS meluluskan usul supaya parti itu memutuskan semua hubungannya dengan DAP.

"Peletakan jawatan yang dijangkakan daripada wakil PAS dalam kerajaan Pulau Pinang akan diterima dengan segera tanpa soalan kerana tiada sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Lim, beliau menikmati hubungan kerja yang mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS dalam kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, individu yang mewakili PAS terbabit perlu melepaskan jawatan masing-masing atas alasan etika dan moral.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diketuai oleh saya dalam kapasiti saya sebagai Setiausaha Agung DAP, apabila Muktamar PAS telah memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Usul ulama sensitif

Semalam muktamar menerima usul daripada Dewan Ulama PAS untuk parti itu memutuskan hubungannya dengan DAP.

Bagaimanapun PAS mendakwa mereka akan kekal dalam gabungan Pakatan Rakyat.

Usul berkenaan diterima tanpa dibahaskan atas alasan ianya "sensitif".

Kata Lim, walaupun tiada perdebatan dibenarkan semasa muktamar untuk usul "sedemikian penting", kepimpinan PAS yang baru berhak untuk mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, sama ada melalui demokrasi atau autokrasi.

"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk menjawab kedudukan bercanggah mereka apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP tetapi masih kekal dalam PR sedangkan PR terdiri daripada ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS.

"PR berfungsi atas konsensus semua tiga parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

"Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP," katanya.

Antara lantikan dinikmati ahli PAS di Pulau Pinang ketika ini ialah di peringkat kerajaan tempatan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

"Kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan terjejas akibat ketiadaan wakil PAS dalam kerajaan. DAP dan PKR masih menikmati majoriti dua pertiga," katanya. - Malaysiakini

Gambar Belangkas