|
Seorang waris yang pengsan diusung beberapa orang pasukan keselamatan sahaja mendengar penemuan mayat penumpang pesawat QZ8501 di Laut Jawa, petang tadi. – Gambar Reuters |
Pengsan, pitam, menjerit, sugul dan menangis.
Itu reaksi waris dan anggota keluarga penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di Pusat Krisis Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya sebaik sahaja pihak berkuasa Indonesia mengesahkan penemuan beberapa serpihan pesawat itu dan mayat di Laut Jawa petang Selasa.
Ada waris dan anggota keluarga terpaksa dibawa keluar dari pusat krisis itu menggunakan pengusung kerana pitam sebaik mendengar pengumuman yang dibuat pihak berkuasa di Jakarta.
Ada pula yang ditenangkan wakil syarikat penerbangan dengan memeluk dan memegang tangan waris dan anggota keluarga yang emosi mereka kelihatan semakin tidak stabil dan tenteram.
Ada juga dilihat sugul dan tidak mahu berkata apa-apa kepada sesiapa pun kerana inginkan masa bersendiri.
Beberapa pegawai kesihatan dan kaunselor dilihat turut menawarkan perkhidmatan bagi menenangkan mereka termasuk memberi air dan membawa mereka ke kawasan yang tenang dan tidak bising bagi memberi mereka ruang untuk menghadapi perkembangan terbaru itu.
Turut kelihatan beberapa buah ambulans diletakkan berdekatan pusat krisis itu selain kehadiran anggota pihak berkuasa mengawal persekitaran pusat krisis itu.
Media tempatan dan antarabangsa pula sibuk merakamkan reaksi dan riak wajah waris dan anggota keluarga secara siaran langsung sehingga terpaksa bersesak-sesak dan berebut di pintu masuk pusat krisis ini.
Kawasan lapangan terbang Juanda ini pula seakan mengerti apa yang terjadi apabila turut 'menangis' dengan hujan lebat sambil langit terus mendung sewaktu berita ini ditulis.
Malah keadaan trafik di lapangan terbang ini turut sesak dikunjungi orang ramai sehingga anggota pihak berkuasa terpaksa ditambah untuk mengawal lalu lintas yang semakin padat.
Berkesempatan menemui waris seorang anak kapal pesawat itu, Haidar Fauzi, 60, yang menyifatkan kejadian itu ditetapkan Allah dan semua pihak harus bersabar dan menerima dengan tenang.
"Ya, pasrah, sedih tapi kami sekeluarga sudah tahu ini risikonya jika anak bekerja sebagai pramugari dan terlibat dengan syarikat penerbangan.
"Kami sentiasa berdoa keselamatannya tapi maut itu di mana-mana sahajakan," kata bapa Hairunnisa, 22, pramugari pesawat itu.
Media Indonesia dan antarabangsa melaporkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Indonesia (Basarnas) sudah mengesan enam mayat dalam pencarian pesawat hilang itu di sekitar Selat Karimata, dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah pada petang Selasa.
Pasukan itu dilaporkan sudah mengesan banyak serpihan terapung di laut dalam lingkungan lima kilometer antaranya pintu kecemasan dan jaket keselamatan.
Pesawat Airbus 320-200 itu yang membawa 162 penumpang dan anak kapal berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan sepatutnya tiba di Singapura pada 8.20 pagi tetapi terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi. – Bernama