Showing posts with label dalam negeri. Show all posts
Showing posts with label dalam negeri. Show all posts

Friday, June 5, 2015

Gempa Bumi: Penduduk Ranau Dinasihat Berwaspada Dalam Masa 24 Jam

Siling sebuah bangunan di sini rosak akibat gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter di Sabah pada 7.15 pagi hari ini. Pusat gempa itu terletak di 16km barat laut Ranau.

KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi menasihatkan penduduk di Ranau, Sabah dan sekitarnya supaya berwaspada kemungkinan berlaku gempa bumi susulan dalam masa 24 jam.

Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama berkata kebiasaannya jika berlaku gegaran seperti ini akan berlaku gempa susulan dalam masa satu jam sehingga 24 jam selepas kejadian.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di Ranau pada 7.15 pagi tadi.

Gegaran itu dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan,  Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.


Sementara itu di RANAU, beberapa struktur bangunan,termasuk premis perniagaan dan kemudahan perniagaan, mengalami kerosakan kecil akibat gempa bumi itu.

Seorang penduduk Yunus Muhamad ketika dihubungi berkata pintu kaca sebuah bank berkecai akibat gegaran itu manakala dinding sebuah lagi bank dan sebuah pasar raya mengalami keretakan.

"Satu daripada kubah kecil Masjid Pekan Ranau juga mengalami kerosakan," katanya.

Bagaimanapun Yunus berkata urusan harian penduduk Ranau berjalan seperti biasa dan premis perniagaan seperti bank serta kedai-kedai masih beroperasi.

Mengulas kejadian pagi tadi, Yunus seorang pekerja bank berkata ketika kejadian dia berada di kebun berhampiran rumahnya, dan dapat menyaksikan jambatan utama di Sungai Liwagu yang menjadi laluan utama ke pantai timur Sabah bergoyang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin mengesahkan beberapa premis perniagaan dan bangunan kerajaan di daerah Ranau mengalami keretakan dan anggota bomba sudah diarahkan membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.


Sumber: mstar.com.my

Thursday, June 4, 2015

Gempa bumi landa Sabah


KUALA LUMPUR - Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah pada 7.15 pagi ini.

Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional dalam kenyataan berkata, gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Ranau, Tambun, Pedalaman, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Pusat gempa tersebut terletak 16km barat laut Ranau. Jurucakap pusat tersebut ketika dihubungi berkata, tiada lagi gempa bumi‎ dilaporkan, sehingga berita ini ditulis.

Ia turut menyebut, Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini.

Sementara itu, tinjauan di media sosial mendapati beberapa netizens berkongsi gambar kerosakan harta benda selain memuat naik status akibat gegaran tersebut.    - Bernama



Gambar yang dimuatnaik di media sosial
 




Wednesday, June 3, 2015

Sesiapa buang sampah di merata-rata tempat lebih bodoh daripada beruk


BUTTERWORTH: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan empat papan tanda yang mengatakan bahawa sesiapa membuang sampah di merata-rata tempat adalah lebih bodoh daripada beruk.

Papan tanda itu dikeluarkan dalam tiga bahasa yang memaparkan gambar seekor beruk menjelirkan lidahnya.

Ahli Majlis bagi MPSP, David Marshel berkata, papan tanda itu hanya ditempatkan di kawasan pembuangan sampah secara haram.

"Saya percaya mesej itu dapat disampaikan kepada orang awam. Kita meletakkan papan tanda ini di Taman Kepar dekat sebuah sekolah dan kadar sampah yang dibuang menurun hampir ke paras sifar sekarang berbanding satu tan seminggu sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, majlis perbandaran itu belum ada perancangan untuk meletakkan lebih banyak papan tanda setakat ini.

Marshel berkata, pendekatan baharu itu digunakan kerana papan tanda sebelum ini yang mengatakan jumlah denda yang dikenakan tidak berkesan untuk mengatasi pembuangan sampah secara haram.


Sumber: mstar.com.my

Sunday, May 31, 2015

Status FB Ruqayyah Farhani Cetus Inspirasi

Ruqayyah Farhani memangku jenazah Maryam Farihah untuk dikebumikan, enam hari lalu.

PETALING JAYA: Status di laman sosial, Facebook, Ruqayyah Farhani Mohd Syukry menyampaikan khabar sedih kembalinya ke rahmatullah salah seorang bayi kembarnya dengan memuatnaik gambar beliau tersenyum tanda reda ketika memangku jenazah bayi berusia 14 hari itu menjadi inspirasi kepada ribuan ibu pernah melalui pengalaman sama.

Tidak menyangka ia menjadi viral, siswazah bidang Pengajian Islam Universiti Al-Azhar yang tenang dan tabah ini menganggap semuanya berlaku dengan izin Allah SWT dan beliau terpanggil untuk terus mencatatkan pengalamannya khusus buat insan bergelar ibu.

"Status yang dimuatnaik itu untuk beritahu kawan-kawan mengenai Maryam (Farihah) yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kita dan saya reda kerana Maryam pergi ke tempat yang lebih baik.

"Tetapi lebih mengejutkan apabila saya terima ribuan mesej secara peribadi daripada ibu-ibu yang menerima nasib sama kerana mereka anggap catatan saya memberi kekuatan dan semangat untuk bangkit meneruskan hidup.

"Buka sahaja dari dalam negara, malahan ada ibu dan wanita dari negara asing seperti Indonesia, Singapura dan Qatar yang mahu berkongsi pengalaman dan masalah mereka," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada usia 22 tahun, Ruqayyah Farhani yang menggunakan namanya untuk dihubungi menerusi Facebook dan Instagram reda dengan ketentuan takdir apabila Maryam Farihah hanya dipinjamkan selama 14 hari kepadanya dan suami, Abdullah Mubarak Hasanuddin.

Lebih menyedihkan, kembar Maryam, Marsya Farihah sedang berjuang untuk hidup dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Kuantan.

Bertemankan keluarganya ketika suami di perantauan menimba ilmu, ibu muda ini mengakui kata-kata semangat yang ditiupkan suami sejak kedua bayi mereka disahkan mengalami jangkitan dalam darah, serta berpegang teguh kepada ajaran agama adalah kunci kekuatan dalam dirinya.

Kata Ruqayyah Farhani, maklum balas positif yang diterima bagaikan pembakar semangat untuk beliau terus menulis dan masa yang terluang sepanjang tempoh berpantang yang kini memasuki hari ke-20 akan digunakan untuk bersama Marsya Farihah dan menulis.

Bagaimanapun, anak keenam daripada 15 beradik ini sentiasa mengingatkan dirinya supaya berpijak di bumi nyata dan tidak leka dengan perhatian yang diterima menerusi catatan alam maya.

"Pujian dan kata-kata semangat yang diberi perlu dianggap sebagai motivasi kerana perlu diingat untuk menjadi orang baik bukannya destinasi tetapi ia perjalanan dalam hidup yang perlu dilalui setiap insan," katanya yang menganggap dugaan yang dihadapi ini lebih merapatkan dirinya dan suami.

Malahan, kata pemilik nama bermaksud "ketinggian kegembiraanku" ini, walaupun suaminya di Mesir tetapi kata-kata semangat dan iringi doanya sepanjang tempoh penuh cabaran ini banyak membantu dirinya untuk terus tabah.

"InsyaAllah Isnin ini suami balik dari Mesir, jadi pertama kali kami dapat bersama untuk menziarahi Marsya dan kemudian ke pusara Maryam," katanya yang berminat berkongsi pengalamannya bukan sahaja di alam maya, malah secara bersemuka sekali gus dapat memenuhi hasratnya untuk menjadi perunding rumah tangga.



Kredit: mstar.com.my

Saturday, May 23, 2015

Mat Salleh Jadi Mat Dan Di Terengganu


MARANG: Tiada yang luar biasa sekiranya anak jati Terengganu yang menikmati tenggiri dengan sambal belacan berkata: "Ni Ikang aye masok singgang. Kite Makang Dengan ulam, sambal belacang jadi doh."

Tetapi ia agak pelik apabila ia diungkapkan oleh seorang lelaki berbangsa Inggeris.

Menetap di Malaysia selama lima tahun sudah cukup menjadikan Daniel Tyler, atau dikenali sebagai "Mat Dan" untuk bercakap dengan fasih dalam dialek tempatan.

Pemuda kelahiran Bristol, England itu juga sering dilihat bergaul bebas dengan penduduk tempatan dan menikmati nasi yang dihidangkan bersama ulam dan sambal belacan menggunakan tangannya.

Perkara tersebut juga menjadikan penguasaan bahasa ibundanya terjejas.

"Percakapan dalam bahasa Inggeris saya terjejas selepas menguasai dialek tempatan. Apabila saya berjumpa keluarga pada perkahwinan abang saya, rakan-rakan dan keluarga terkejut dengan percakapan saya yang berbeza.

"Saya mengambil masa yang agak lama untuk kembali normal," kata Mat Dan yang kini sering menambah pengakhiran ayat bahasa Inggerisnya dengan "-Lah".


Mat Dan berkata dia terpaksa belajar dialek tersebut berikutan sukar untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan.

"Saya boleh bercakap dialek tempatan selepas tiga atau empat tahun berada di negara ini," kata lelaki berusia 25 tahun kepada The Star.

Mat Dan berkata, pada asalnya dia menggembara di Thailand dan Laos sebelum seorang rakan mencadangkan untuk bercuti ke Pulau Perhentian.

"Dari situ saya ke Pulau Kapas. Daripada sehari ke sehari hingga bertukar menjadi minggu, minggu ke bulan, dan lima tahun kemudian, saya masih di sini. Saya jatuh cinta dengan tempat ini!.

"Pulau ini indah dan faktor utama kerana hospitaliti di Malaysia membuatkan saya terus tinggal di negara ini," ujarnya.

Tambahnya lagi, Malaysia tidak seperti England, di mana "orang hanya memikirkan hal masing-masing".

Mat Dan memeluk Islam setelah beberapa tahun menetap di Terengganu dan menukar namanya kepada Kareef Daniel Abdullah.

Dia menjejakkan kaki di negara ini pada tahun 2009 ketika berusia 19 tahun selepas menyelesaikan Advanced Subsidiary level.

Menurutnya, dia sedang memikirkan untuk meneruskan pengajian dan mungkin dalam kursus biologi marin.

Mat Dan turut merancang menamatkan zaman bujang di negara ini tahun depan.

"Insya-Allah... tahun depan," katanya tetapi enggan mendedahkan identiti wanita tersebut.

Bapanya yang merupakan ahli perniagaan Kevin, 52, dan ibu Nicol, juga 52, telah beberapa kali ke Malaysia bagi melawat anak mereka.


Kredit: mstar.com.my

Thursday, May 21, 2015

Kereta Ferrari Habis Minyak Punca Kesesakan Lalu Lintas Di Lebuhraya Mahameru


 Semalam, gara-gara sebuah Ferrari 458 Italia kehabisan minyak dan tersadai di atas Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) tidak jauh dari Bangunan Parlimen telah menyebabkan berlaku kesesakan yang agak teruk di lebuhraya tersebut.


Kenderaan mewah tersebut telah kehabisan minyak betul-betul di kawasan jalan yang tengah menjalani penyelenggaraan di mana jalan tersebut telah di kecilkan kepada dua lorong.

Sudahlah kehabisan minyak, pemandu kereta mewah tersebut nampaknya nasibnya kurang baik kerana pihak polis datang untuk memberi bantuan kepadanya mendapati kereta tersebut melakukan begitu banyak kesalahan.


 Pemandu tersebut telah disaman oleh pihak polis atas kesalahan  nombor plat tidak mengikut spesifikasi, cermin terlalu gelap dan mengganggu lalu lintas.

Menurut pihak polis, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang iaitu pada waktu kemuncak trafik di mana orang awam baru balik dari kerja.


Bagaimanapun tidak lama selepas itu selepas meminta bantuan ada seorang lelaki telah datang dengan membawa sebotol minyak petrol.

Selepas mengisi minyak lelaki itu terus beredar pergi. Perjalanan trafik lebuhraya tersebut kembali lancar.



Monday, May 18, 2015

Kejam! Mayat bayi dikerat 15 dibuang dalam loji kumbahan

Bayi dijumpai dalam loji kumbahan, dikerat 15
 
 Bahagian mayat ditemui termasuk kaki tangan dan badan bagaimanapun kepala gagal ditemui.


JOHOR BAHRU - Pekerja pembersihan loji kumbahan menemui mayat bayi tanpa kepala yang dikerat 15 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara,  Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata,  pekerja pembersihan bersama tiga rakan ketika itu sedang membersihkan perangkap sampah yang dipasang di loji berkenaan.

Menurutnya, ketika sedang membersihkan kawasan itu lelaki berkenaan ternampak beberapa objek yang mencurigakan yang tersangkut di perangkap sampah.

"Lelaki itu bertindak mengumpulkan bahagian mayat ditemui termasuk kaki tangan dan badan bagaimanapun kepala gagal ditemui sebelum memaklumkan perkara itu kepada penyelia syarikat dia bekerja.

"Penemuan mayat bayi itu dimaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di Pos Polis Komuniti, PPR Kempas Ria dan kemudiannya memaklumkan kes itu kepada Balai Polis Kempas.

"Sepasukan polis telah datang ke lokasi untuk menjalankan siasatan kira-kira jam 1.30 petang. Berdarkan siasatan awal mendapati loji berkenaan menamung kumbahan daripada empat blok yang mempunyai 1, 288 unit kediaman," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mohd Khamsani berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan di setiap blok 17 tingkat yang mempunyai kira-kira 6, 000 penduduk bagi mengesan wanita yang baharu melahirkan anak termasuk klinik di kawasan sekitar.


Sumber: Sinar Harian

Monday, May 11, 2015

Lebih 1,000 Pati Rohingya, Bangladesh Dibuang Di Perairan Langkawi

Sebahagian daripada lebih 1,000 Pati warga Bangladesh dan Myanmar Rohingnya termasuk wanita dan kanak-kanak yang ditahan di perairan Langkawi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi di Langkawi, Selasa. Foto BERNAMA

LANGKAWI: Kumpulan penyeludup manusia di Thailand 'membersihkan' khemah pelarian di selatan negara itu berikutan pihak berkuasa melancarkan operasi membanteras aktiviti berkenaan secara besar-besaran.

Sekurang-kurangnya 1,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) dibuang di perairan Langkawi selepas mereka ditahan di hutan Thailand selama beberapa minggu.

Kesemua Pati dibawa dengan menaiki bot dan ditinggalkan di perairan Langkawi selepas perjalanan selama sejam dari Satun di selatan Thailand.

Dipercayai ia merupakan ketibaan pati yang terbesar di Malaysia dan mungkin disebabkan oleh tindakan kerajaan Thailand yang membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan kem pelarian di sempadan Thailand-Malaysia.

Kumpulan pertama Pati warga Myanmar Rohingnya dan Bangladesh ditemui di pantai Kuala Muda di Padang Matsirat di sini pada pukul 12.30 pagi Isnin selepas bot mereka mengalami masalah akibat ombak besar di perairan itu pada pukul 10.30 malam Ahad lalu.

Satu kumpulan lagi ditemui menuju ke muara sungai Kuala Temeyong di sini pada pukul 2.30 pagi Isnin, kira-kira 10 kilometer dari lokasi pertama.

Sumber berkata, mereka diarahkan untuk terjun ke sungai dan berenang ke pantai.

Kesemua Pati yang ditemui berada dalam keadaan basah, penat dan kelaparan. Kebanyakan mereka berkaki ayam dan ada segelintirnya hanya memakai kain sarung tanpa berbaju.

Difahamkan antara mereka meninggal dunia kerana sakit dan kebuluran dan mayat mereka dibuang ke laut.

Terdapat penduduk tempatan yang menawarkan mereka roti dan air.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Harrith Kam Abdullah berkata, polis menemui 1,051 Pati warga Bangladesh dan Rohingya pada Isnin.

Mereka terdiri daripada 463 warga Rohingya - 103 wanita dan 61 kanak-kanak serta 588 warga Bangladesh.

"Kita percaya mereka berlepas dari negeri Rakhine di Myanmar dan warga Bangladesh pula melalui sindiket tempatan mereka. Mereka dibawa ke Malaysia melalui Thailand.

"Mereka berada di Thailand untuk beberapa lama sebelum dibawa ke perairan Langkawi," katanya pada Isnin.

Harrith Kam berkata, polis akan menjejaki lebih ramai Pati yang tiba di Langkawi.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan para nelayan turut bekerjasama untuk memantau sebarang kehadiran Pati.

Dilaporkan Pati itu datang ke Malaysia selepas ditipu sindiket yang menjanjikan mereka dengan pekerjaan.

Pihak berkuasa Thailand memulakan operasi membanteras aktiviti itu secara besar-besar selepas penemuan kem pelarian dan kubur besar dengan 33 mangsa pemerdagangan di selatan Thailand sejak 1 Mei lalu.


Sumber: mstar.com.my

Saturday, May 9, 2015

PATI tengah syok layan filem lucah diberkas imigresen

 ANGGOTA Imigresen Selangor membuat pemeriksaan dalam dua operasi.

Filem lucah punya pasal...

Kajang: Seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar diberkas anggota Jabatan Imigresen Selangor ketika sedang leka menonton filem lucah di kediamannya di Taman Mesra, Jalan Ehsan Setia, Batu 13 di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, lelaki berusia lingkungan 30-an itu tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa yang melakukan operasi di kawasan itu.

Lelaki terbabit yang bersendirian di dalam sebuah bilik diberkas untuk pemeriksaan lanjut.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Selangor, Mohd Sayuti Ayub berkata, suspek kelam-kabut menutup tayangan filem lucah di televisyen menggunakan alat kawalan jauh.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki itu tidak mempunyai dokumen sah kerana pasport miliknya tidak mempunyai sebarang catatan perjalanan keluar masuk ke negara ini.

“Lelaki itu antara 42 individu yang ditahan dalam Ops Selera dan Ops Pintu yang dijalankandi dua lokasi di Batu 13 dan sebuah kondominium di Taman Unipark Suria, di sini.

“Kami menerima maklumat daripada orang ramai berhubung kehadiran ramai warga asing di kawasan ini,’ katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah kondominium di Taman Unipark Suria dan pihaknya menahan 42 warga asing membabitkan warga Bangladesh (8), Myanmar (26), Yaman (2), Somalia (2), Oman (1), Chad (1) dan Nigeria (1) berusia dari 18 hingga 44 tahun.

“Dalam serbuan itu, pihak kami mengesan beberapa warga asing menyalahgunakan kad UNHCR (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian). Mereka yang memegang kad itu tidak dibenarkan bekerja di negara ini.

“Semua individu ditahan dibawa ke depoh tahanan sementara di Kompleks PKNS Shah Alam,” katanya.


Sumber: myMetro

Thursday, May 7, 2015

Pelanggan datang naik helikopter untuk nikmati asam pedas

 Mastuki menunjukkan hidangan yang dijual di kedai makannya di Jeti Kampung Sungai Sembilang.

SUASANA jeti nelayan mungkin menjadi tarikan pengunjung apabila mereka bukan sahaja dapat memilih ikan segar bahkan juga dapat menikmati asam pedas Sungai Sembilang yang cukup terkenal.

Lokasi Sungai Sembilang Klasik Enterprise yang terletak lebih kurang satu kilometer dari Pantai Remis itu membolehkan pengunjung bersama keluarga menikmati makan malam selepas penat beriadah di satu-satunya lokasi tumpuan pelancong di daerah ini.

Bukan sahaja pengunjung dalam daerah, malah ada yang sanggup menaiki helikopter untuk melepaskan gian menikmati asam pedas ikan sembilang dan pari selain masakan kari yang cukup memikat.

Pengusahanya, Mastuki Kileho, 53, berkata, pada asalnya jeti di perkampungan nelayan itu hanya tertumpu dengan operasi pendaratan ikan dan menjadi tempat nelayan turun ke laut.

“Pakcik mulakan niaga ini kecil-kecil saja sebab mudah nak dapatkan bekalan ikan segar dan memang berminat nak berniaga lepas keluarga bagi sokongan penuh...jeti pun depan kedai saja.

“Pakcik baru saja operasi dua tahun lalu dan mungkin resipi rahsia isteri yang berasal dari Melaka kena dengan selera orang...lagi-lagi guna mangkuk claypot untuk kekalkan kepanasan.

“Mula dengan modal kecil di tepi jeti dan niaga pada jam 1 tengah hari sampai lewat malam dan alhamdulillah permintaan yang tak putus-putus menjadi rezeki buat kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, memang tidak dinafikan ada yang sanggup datang menggunakan helikopter sehingga menjadi tarikan kepada pengunjung lain yang cukup teruja melihat kenderaan itu diparkir di tepi padang.

“Mungkin itu menjadi tarikan kedai makan pakcik selain ruang makan yang lebih santai di bawah pokok dan atap rumbia dengak kayu bakau sebagai tiang macam betul-betul ada di tepi laut.

“Walaupun menu utama asam pedas dan kari sembilang serta pari, tapi ikan lain pun ada macam cencaru dan jenahak yang boleh dipilih ikut saiz untuk dihidangkan dengan nasi putih. 

“Dengan harga yang berpatutan, sepinggan nasi bersama hidangan asam pedas ikan sembilang hanya dijual dengan harga dalam lingkungan RM9,” katanya.  

Tambah Mastuki yang juga bekas pemandu kontena di Pelabuhan Klang, dia tidak menyangka kerjaya sebagai tukang masak rupa-rupanya lebih serasi dan lebih memberi kepuasan.

“Bukan saja beri peluang kerja kepada 15 anak penduduk tapi memberi punca pendapatan kepada nelayan yang menjual hasil sekurang-kurangnya 30 kilogram ikan terus ke kedai," katanya.


Sumber: Sinar Harian

Tuesday, May 5, 2015

Penjual harumanis untung ribuan ringgit sehari

Azlan memilih harumanis yang mahu dibeli.
PAUH - Musim harumanis bukan sahaja memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha ladang mempelam itu, malah penjual harumanis di bahu jalan sekitar negeri ini juga turut memperoleh keuntungan mencecah ribuan ringgit sehari.

Penjual di bahu jalan Lebuhraya Kuala Perlis-Changloon di Pauh, Mohd Faizal Hafiz Zainol, 33, berkata, dia memperoleh jualan kira-kira RM3,000 sehari apabila kira-kira 100 kilogram (kg) harumanis terjual dalam masa sehari.

Katanya, setiap kg harumanis dijual mengikut gred iaitu RM35 bagi gred A manakala RM30 bagi gred B.

“Tapi jika pelanggan minta kurang saya akan kurangkan sehingga RM5 bagi setiap kilogram bergantung jumlah yang mereka beli.

“Setiap kilogram kami akan dapat untung kira-kira RM10. Dalam sehari kami boleh untung antara  RM1,000 atau RM1,500,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man ke gerainya di Pauh, semalam.

Menurutnya,  jualan itu boleh meningkat sehingga RM4,000 terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Shila, 28, pula berkata, dia memperoleh jualan kira-kira RM2,000 setiap hari dengan keuntungan antara RM600 sehingga RM700 sehari.

Katanya, setiap kg harumanis dijual antara RM25 sehingga RM28 juga mengikut gred A dan B selepas mendapat harga dari peladang antara RM17 dan RM20 bagi setiap kg harumanis.

“Sekiranya buah itu sudah masak, peladang akan menjual dengan kami RM20 dan jika buah itu sudah tua, peladang akan tolak dengan harga RM17,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis Zulkepli Amin Jusoh berkata, pihaknya menasihatkan supaya pembeli harumanis memilih buah yang berkualiti.

“Kepada penjual pula pihak kami nasihatkan supaya jual buah yang berkualiti sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkepli berkata, pihaknya bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta polis akan bekerjasama membuat pemeriksaan di gerai-gerai jualan harumanis bagi memeriksa buah tersebut.

Katanya, ia berikutan terdapat aduan daripada pengguna apabila harumanis yang dibeli kurang elok serta masam pada tahun lalu.


Sumber: Sinar Harian

Tuesday, April 21, 2015

Gadis Melayu lindungi wartawan Cina semasa protes lambang salib di Taman Medan jadi viral


 Terima kasih Jannah, sikapmu seindah namamu!

'SIKAPMU seindah namamu Jannah'. Demikian kata-kata yang diungkapkan oleh seorang pelayar Facebook apabila terpaparnya kisah seorang gadis wartawan membantu rakannya seorang Kristian.

Dalam dunia kewartawanan pada hari ini, jarang sekali cerita tentang wartawan itu sendiri diangkat melainkan isu-isu yang ditulisnya.

Namun bila sikap gadis ini menyentuh hati seorang wartawan berbangsa Cina yang dibantunya, susuk tubuh yang hanya dikenali sebagai Jannah, tiba-tiba menjadi viral.

Memang benarlah, kadang-kadang perkara kecil yang kita buat, besar maknanya kepada orang lain.

Perkongsian Nicholas Cheng di laman sosial Facebook bila gadis yang hanya dikenali sebagai Jannah 'melindunginya' sepanjang tempoh membuat liputan demo membantah pemasangan salib baru-baru ini, menunjukkan perkara itu begitu besar maknanya buat wartawan The Star itu.

Nicholas menyatakan rasa berterima kasihnya kepada Jannah. Kata-kata Jannah kepadanya diungkapkan satu persatu oleh Nicholas di dalam luahannya.

“Awak ikut saja saya dan jangan pergi jauh,” antara pesanan yang diungkapkan Jannah kepada Nicholas.

Jelas gadis itu nampaknya risau dengan keselamatan lelaki Cina yang dikerumumi ratusan peserta demo yang sedang naik berang.

Siapa Jannah? Kenapa dia buat begitu? Benar sikapmu seindah namamu Jannah!

Yang pasti dia tidak fikir lain ketika tindakannya itu! Dia nampak Nicholas sebagai rakan setugas, hanya seorang sahaja lelaki berbangsa Cina di situ dan keselamatannya seolah-olah terancam.

Ketika dan saat itu, gadis ini hanya merasakan tanggungjawabnya untuk 'melindungi' rakannya itu.

Jannah atau nama sebenarnya, Janatul Firdaus Yaacob, 29, kini sudah empat tahun bertugas sebagai wartawan di Sinar Harian. Orangnya kecil molek, berperwatakan biasa tetapi cukup peramah.

Ketika namanya tiba-tiba menjadi bualan, anak kelahiran Jitra, Kedah itu turut berkongsi cerita sebenar dengan Sinar Online.

"Saya beritahu dia, jangan takut... Saya nampak orang tengking dia, tarik kolar (baju) dia. Saya fikir, kenapa perlu marah dia. Dia hanya seorang wartawan. Dia sedang buat kerja dia," jelasnya yang merupakan wartawan Sinar Harian edisi Selangor dan Kuala Lumpur.

Selepas protes penurunan salib di Taman Medan, Petaling Jaya kelmarin, luahan hati Nicholas mengenai tindakan Jannah menjadi viral dan mendapat perhatian beribu-ribu pelayar laman Facebook, Twitter dan juga forum-forum sosial atas talian.

Orang ramai dan pelayar yang mendapat tahu kejadian tersebut melahirkan rasa syukur dan memuji tindakan Jannah yang digambarkan sikap sebenar rakyat Malaysia.

"Hah! Itu dia! Anak Kedah yang bertamadun..," kata Andrew Khor.

"Muslim yang sebenar. Bravo," balas Jason Yap pula.

"Semoga Tuhan merahmati anda Jannah. Dan saya berterima kasih kepada anda," tulis Stephanie Ng.

"Muda dan matang, bertamadun dan (tindakan) menggambarkan Islam dari kumpulan (penunjuk perasaan) tersebut. Mereka patut malu. Terima kasih Jannah," kata Suan Yee.


Sumber: Sinar Harian

Thursday, March 12, 2015

Pengantin 'nikahkan' jurunikah

 Kerana terlalu gementar, Rahmat ‘nikahkan’ juru nikah ketika menjawab lafaz akad nikahnya.

KUANTAN - Mungkin kerana terlalu gementar ketika menjawab lafaz akad nikah, salah seorang pengantin lelaki tersasul ‘menikahkan’ kembali juru nikah hingga mencuit hati tetamu termasuk orang kenamaan yang hadir.

Namun selepas lima kali mencuba, seorang saudara baharu Orang Asli, Rahmat Awang, 27 dari Pekan selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Rohani Samat, 21 dari Kampung Orang Asli Sungai Mas, Sungai Lembing dekat sini, kelmarin.

Rahmat dan isterinya antara lima pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan sempena perasmian Surau Al- Falah, Kampung Sungai Mas dekat sini anjuran Unit Dakwah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Turut diraikan pasangan Nasrizan Ngah 20 dan pasangan, Kamariah Misi, 19, Ali Batas, 20 dan isteri, Hamidah Putih, 23, Najib Alip, 23 dan pasangannya Luma Putih, 27 serta seorang seorang duda bersama pasangannya.

Majlis akad nikah pasangan tersebut dijalankan Ketua Penolong Kadi Daerah Kuantan, Rosli Mamat dan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Mukim Ulu Kuantan, Mohd Jaya Rani disaksikan Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Rata-rata pengantin terpaksa menjawab lebih sekali kecuali Najib Alip yang lebih berkeyakinan dengan sekali lafaz.

Rahmat ketika ditemui berkata, dia amat gementar ketika itu memandangkan dikelilingi ramai tetamu termasuk orang kenamaan.

Menurutnya, pada mulanya dia yakin dapat menjawab dengan lancar memandangkan persediaan untuk upacara itu dilakukan sejak pagi.

“Tapi bila  berada di hadapan juru nikah, perasaan mula berkecamuk dan agak gementar namun atas bantuan juru nikah dan sokongan rakan, saya akhirnya berjaya menjawab biarpun terpaksa mengulanginya sebanyak lima kali, katanya yang memeluk Islam sejak 2012.

Dia yang bekerja sendiri tidak menyangka rancangannya untuk berkahwin dengan isterinya, Rohani Samat dari Kampung Sungai Mas secara kecil-kecilan bertukar menjadi majlis yang ‘luar biasa’ baginya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, majlis meraikan pengantin itu dirancang sebagai salah satu pengisian dalam majlis perasmian surau baharu kampung itu, kelmarin.

Menurutnya, usaha itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dalam mendekatkan saudara baharu kepada Islam selain memberikan pendedahan mengenai keindahan Islam kepada  masyarakat Orang Asli yang bukan beragama Islam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar apabila kelima-lima pasangan ini selamat diijabkabulkan malah ramai dari kalangan penduduk yang bukan Islam turut hadir memeriahkan majlis,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

Monday, March 2, 2015

Lelaki pelik mengamuk tanpa sebab

 Keadaan bahagian kaki lima unit rumah lelaki yang berselerak. Namun pintu rumahnya sentiasa berkunci

KUALA LUMPUR - Tidak banyak yang melegakan hati penduduk meskipun selepas empat hari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan serbuan ke atas sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda yang dihuni sepasang suami isteri didakwa mengaku sebagai bomoh dan membela lebih 40 ekor kucing untuk tujuan pemujaan.

Salah seorang penduduk berkata, walaupun struktur halangan depan unit rumah lelaki itu telah dirobohkan, ia tidak mengubah sikap pelik individu itu yang sering mengamuk tanpa sebab.

Malah pada malam hari selepas serbuan minggu lalu, lelaki itu didakwa menjerit-jerit sambil mengeluarkan kata-kata kesat.

“Lelaki itu  disyaki pecahkan saluran paip luar sebuah unit kosong menyebabkan najis kucing yang dibersihkan di kaki lima unitnya mengalir ke bawah dan mengenai unit rumah bawah,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi sumber penduduk berkata, lelaki itu masih membuang sisa pasir najis kucing ke bawah bangunan setiap hari.

Malah perkara berkenaan turut diakui oleh pekerja pembersihan di kawasan berkenaan.

“Dia baling jauh sedikit, tidak betul-betul jatuh di bawah flat, tapi najis itu akan kena kereta orang,” katanya. 

Turut didakwa, lelaki berkenaan bertindak melemparkan botol kaca berisi sos ke salah sebuah unit, tanpa sebab, sehari selepas serbuan.

“Nasib baik tidak kena penghuni kerana pintu bertutup,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian ke unit berkenaan mendapat ia berkunci dan tidak terdapat tanda-tanda ada penghuni di dalamnya.

Bahagian kaki lima unit masih dipenuhi kesan lumut dan terdapat sangkar yang dilonggonkkan di bahagian tepi tangga.

Turut ditemui kuali kecil berisi sisa bara api, yang disangkut menghalangi laluan ke unit berkenaan, tidak diketahui tujuannya.

Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi penghuni berdekatan namun mereka enggan mengulas lanjut dan memberi alasan tidak mahu mencampuri urusan lelaki berkenaan.

Bagaimanapun, ada antara mereka mengakui tidak senang dan takut apabila terserempak dengan lelaki itu disebabkan beberapa insiden yang pernah berlaku sebelum ini.

Ditanya tentang kucing-kucing belaan lelaki itu, tiada penduduk yang mengetahui sama ada ia masih ada dalam unit atau telah dipindahkan, namun tiada yang mendakwa melihat lelaki berkenaan membawa turun kucing dengan banyak.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pemantauan terhadap unit yang dihuni lelaki itu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, walaupun tempoh 30 hari diberikan untuk memindahkan kucing-kucing yang dibela, pihaknya tetap melakukan pemantauan dan tindakan tamat kontrak sewa akan diambil sekiranya melanggar syarat yang ditetapkan.

Dalam masa sama, pihaknya akan mendapatkan kerjasama agensi-agensi berkaitan agar tindakan lebih serius dapat dilaksanakan bagi menyiasat kedudukan sebenar lelaki itu.

“Jabatan tidak mempunyai rekod kesihatan penghuni namun kita boleh dapatkan bantuan agensi kesihatan untuk tindakan siasatan lanjut.

“Bagaimanapun tempoh telah diberikan, jikadia gagal pindahkan kucing-kucing, kita akan sita,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

Thursday, February 26, 2015

Pelanduk Putih Ditangkap Di Langkawi Jadi Tumpuan

Pengumpul madu lebah dan pengamal perubatan tradisional, Jasmini Hasan, 41, memerhatikan gelagat Awang Putih, seekor pelanduk putih dan seekor pelanduk biasa yang ditangkapnya di dalam hutan berdekatan Kampung Buluh Penyumpit di sini. - Foto BERNAMA

LANGKAWI – Seekor pelanduk putih yang ditangkap seorang pencari madu lebah kini menjadi tumpuan ramai.

Rumah Jismani Hasan, 41, yang terletak di lerang bukit di Kampung Buluh Penyumpit menjadi tumpuan sejak seminggu lalu.

Pelanduk ini yang dinamakannya “Awang Putih’ merupakan yang kedua ditemui di Langkawi dalam tempoh 14 tahun, selepas seekor lagi ditemui pada tahun 2001 di Hutan Simpan Bukit Tekuh.

Menceritakan bagaimana beliau menangkap pelanduk itu, Jismani berkata pada mulanya pelanduk atau napuh setinggi kira-kira 17 sentimeter itu ditemuinya sedang minum di sebuah anak sungai, ketika beliau masuk ke dalam hutan berdekatan kampungnya bagi mencari madu.

“Saya pada mulanya rasa seram juga apabila terserempak dengan pelanduk itu sebab hari sudah senja. Sebelum ini saya selalu jumpa pelanduk, tetapi yang biasa berwarna perang,” katanya yang juga seorang pengamal perubatan tradisional.

Namun Jismani yang ditemani seorang anaknya bertekad untuk menangkap haiwan itu dengan menggunakan pukat yang kebetulan turut dibawanya.

“Pada mulanya pelanduk itu berjaya memboloskan diri, namun saya dan anaknya terus mengejar sebelum berjaya menangkapnya,” katanya.

Mungkin sudah rezekinya, pada masa yang sama beliau turut berjaya menangkap seekor pelanduk biasa yang kebetulan berada berhampiran pelanduk putih berkenaan.

Sejak tertangkap pelanduk putih itu, rumahnya sering dikunjungi orang ramai.

Menceritakan lebih lanjut, Jismani berkata kira-kira 14 tahun lepas, datuknya yang merupakan pengamal perubatan tradisional menemui seekor kera putih berdekatan kawasan kebun getah di Bukit Temin.

Ditanya sama ada berlaku sebarang kejadian pelik kepadanya selepas menangkap pelanduk itu, beliau berkata: “Tidak ada perkara pelik-pelik, cuma saya rasa rezeki saya bertambah sedikit”.

Pelanduk putih turut mempunyai kaitan dengan sejarah pembukaan negeri Melaka, apabila Parameswara iaitu putera raja dari Palembang yang melarikan diri dari peperangan di Majapahit sehingga sampai ke muara Sungai Melaka, telah menyaksikan kehebatan seekor pelanduk putih menendang anjing perburuannya, sehingga menyebabkan baginda memutuskan untuk membuka negeri di situ mengambil sempena nama pohon Melaka tempat baginda sedang bersandar. – BERNAMA

Tuesday, February 24, 2015

Ibu muda melacur dalam semak

Kawasan semak yang dipercayai sering dijadikan port pelacuran dimusnahkan penguatkuasa dalam operasi semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang ibu muda yang mengaku janda antara yang ditahan di lokasi pelacuran dekat kawasan semak di Taman Kampian, Jalan Sekerat, jam 11 pagi semalam.

Turut ditahan dua wanita dan seorang lelaki yang berperwatakan seperti perempuan di port pelacuran yang hanya dilengkapi dengan khemah serta alatan lain dipercayai untuk aktiviti pelacuran.

Bagaimanapun, hasil soal selidik mendapati wanita berusia 22 tahun itu masih berstatus isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Pemeriksaan ke sekitar lokasi pula mendapati ia seakan-akan lokasi perkhemahan dalam semak namun dipenuhi alatan kondom digunakan untuk pelacuran.

Kesemua mereka yang ditahan anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Muda itu dibawa ke pejabat untuk soal siasat selain memanggil waris untuk tindakan selanjutnya.

Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Osman berkata, dua perempuan ditahan mengikut Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014 iaitu melacur manakala seorang lagi wanita bukan Islam dilepaskan selepas diberi khidmat moral.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Manakala seorang lelaki berperwatakan perempuan ditahan mengikut Seksyen 26 iaitu mana-mana lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jika bersalah, boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM1,000 denda atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Penguatkuasa MPSPK, Anil Aris manakala PAD diketuai Zaiferi Zainul Abidin.


Sumber: Sinar Harian

Sunday, February 22, 2015

Tarian gelek di Bazar Karat JB dikecam


JOHOR BAHRU  - Video pertunjukan tarian gelek yang didakwa diadakan di bazar karat, di sini, Ahad lalu, mendapat kecaman pelbagai pihak kerana berpakaian menjolok mata.

Tarian berdurasi 1.23 minit itu ditonton lebih 49,857 pelayar sehingga jam 5 petang semalam, menjadi viral menerusi Facebook.

Menurut jurucakap Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), pihaknya maklum mengenai penganjuran persembahan yang diadakan di Jalan Tan Hiok Nee, di sini.

Jelasnya tarian itu bukan diadakan di bazar karat, sebaliknya berdekatan dengan laluan di situ malah perniagaan di situ tidak terlibat secara langsung dengan penganjuran persembahan tersebut.

“Setiap hujung minggu, sebuah persatuan di sini menganjurkan pelbagai aktiviti kebudayaan sejak setahun setengah yang lalu.

“Pelbagai persembahan diadakan antaranya persembahan kipas dan zumba yang bertukar setiap minggu. Kebetulan minggu lalu mereka mempersembahkan tarian yang dimaksudkan, dan pihak kami telah memberi notis secara lisan,” katanya.

Menurutnya, permit hiburan juga dikeluarkan secara sah oleh pihak bertanggungjawab bagi penganjuran aktiviti kebudayaan tersebut dan mendapat sokongan daripada badan pelancongan.

Beliau berkata, pihaknya akan memantau perkara tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan ia kali pertama berlaku sepanjang aktiviti kebudayaan itu diadakan sejak 2013.

Sinar Harian turut mendapatkan maklum balas Persatuan Tiong Hua yang dipertanggungjawab mengenai aktiviti persembahan kebudayaan yang diadakan di situ.

Presidennya, Datuk Seri Tey Kim Chai berkata, beliau mengakui telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan kesal dengan kejadian itu.

“Saya telah diberitahu, kita memang bertanggungjawab untuk mengendalikan aktiviti di kawasan tersebut, di mana kita membuka ruang dan peluang buat mana-mana persatuan membuat persembahan  di situ.

“Bagaimanapun, kita tidak menyangka, persembahan sebegitu diadakan dan kami akan lebih berhati-hati dan membuat tapisan mengenai penyertaan yang memohon  membuat persembahan di situ,” katanya.

Tegasnya, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana persembahan yang menjolok mata dan tidak menghormati sensitiviti kaum lain di negara ini.



Sumber: Sinar Harian

Thursday, February 12, 2015

TGNA kembali ke rahmatullah


KOTA BAHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam tadi.

Allahyarham sebelum itu dibawa pulang pada 8.40 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan ditemani kaum keluarga.

Terdahulu, anaknya, Nik Mohamad Abdul memaklumkan di dalam Facebook tahap kesihatan bapanya menurun selepas menjalani rawatan ulser, semalam.


Sumber: Sinar Harian

Saturday, January 31, 2015

Binatang Misteri yang Ditemui di Sibu Sarawak adalah Beruang Matahari




Kuching: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengesahkan binatang misteri yang ditemui pekerja ladang sawit di Bintangor, Sibu, pagi semalam, adalah Beruang Matahari.

Pengesahan itu dibuat selepas rakaman video berdurasi seminit 25 saat mengenai penemuan bintang itu tersebar dan menjadi viral dalam laman sosial sejak beberapa hari lalu.


Pengurus Komunikasi Korporat SFC Elaine Tan berkata, binatang terbabit dilaporkan mengalami pelbagai penyakit menyebabkan berat badan menurun secara mendadak.

"Pasukan SFC akan mencari untuk menyelamatkan haiwan itu esok. Ini kerana kami tidak dapat masuk ke ladang berkenaan berikutan sebahagiannya masih ditenggelami air," katanya.

Sebelum ini, sekumpulan pekerja warganegara Indonesia terkejut apabila menemui binatang pelik ketika bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Bintangor-Sibu.

Binatang itu, dipercayai muncul secara tiba-tiba ketika mereka sibuk bekerja pada 10 pagi. - myMetro online

Gambar Belangkas