Saturday, January 29, 2011

Sukan futsal berbahaya?

Menurut Pakar Perunding Ortopedik/Trauma, Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Bazam Abdul Rani, kecederaan akibat bersukan biasanya melibatkan dua jenis kecederaan.

Yang pertama, kecederaan akibat persentuhan badan seperti pelanggaran dan pertembungan. Kecederaan yang kedua melibatkan bukan persentuhan badan seperti paha, sendi buku lali, sendi lutut, kepala, leher dan lengan.

Tambah Dr. Bazam, kebanyakan kecederaan yang dialami adalah ringan sahaja seperti kekoyakan ligamen buku lali yang separa (partial tear), abrasi, luka yang tidak dalam dan lebam.

Kecederaan serius yang boleh dialami mungkin melibatkan kepatahan tulang, sendi lutut dan buku lali terkehel, tulang yang patah, kekoyakan ligamen lutut yang mengakibatkan ketidakstabilan sendi.


Faktor kecederaan

Bagi Dr. Bazam, sukan futsal mempunyai kebaikan dan keseronokan tersendiri tetapi bahaya untuk pemain.

“Futsal berbahaya kepada pemain kerana ia berbeza daripada perlawanan bola sepak yang mempunyai undang-undang yang lengkap. Pemain futsal juga mudah melakukan aktiviti dan perbuatan kasar seperti menggelongsor dan menghalang kaki lawan. Selain itu, pemain mengawal bola lebih kasar berbanding perlawanan bola sepak biasa. Kecederaan mungkin dapat dikurangkan sekiranya undang-undang futsal tidak membenarkan sentuhan fizikal antara pemain secara berlebihan,” ujar beliau.

Dr. Bazam menjelaskan, keadaan padang permainan futsal juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain. Saiz padang yang kecil dengan aksi permainan futsal yang pantas menyebabkan pemain hilang kawalan.

Padang tiruan daripada getah atau permukaan yang kasar dan melekat tidak mengehadkan pergerakan pemain dan mudah terseliuh. Apabila pemain jatuh di atas permukaan tiruan yang licin, mereka tidak sempat mengawal pergerakan badan apabila terjatuh.

Dalam pada itu, saiz kumpulan pemain futsal yang kecil dengan tempoh masa bermain yang panjang mengurangkan stamina pemain tersebut. Ini menyebabkan mereka cepat berasa letih dan hilang kawalan pergerakan badan.

Sebagai pemain, memakai kasut tanpa merujuk jenis padang permainan boleh menjadi faktor kecederaan. Umum sedia maklum, futsal merupakan permainan dan hiburan hujung minggu. Jika seseorang pemain tidak menyiapkan diri dari segi ketahanan fizikal, mereka mudah cedera.

“Jika pemain tidak melengkapkan diri, otot dan stamina mereka belum cukup kuat digunakan untuk bermain futsal. Tanpa rehat yang cukup mustahil mereka mampu berdepan dengan perlawanan yang agresif dan cepat seperti futsal. Pemain yang tidak melakukan senaman ringan sebelum memulakan perlawanan juga berdepan dengan risiko kecederaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berpakaian sukan futsal yang lengkap,” katanya.

Menurut Dr. Bazam lagi, ramai pemain yang cedera mempunyai sejarah kecederaan akibat permainan sukan yang mereka ceburi sebelum ini. Kecederaan berulang ini menjadi risiko yang paling lazim dan tinggi.

Sumber: Utusan Malaysia

Nota Dahi: Kalau korang nak tengok gaya permainan yang cantik, korang tengoklah futsal berbanding dengan bola sepak. Tapi risiko kecederaan tu memanglah tak dapat nak dielakkan. AKu pun dah beberapa kali cedera sebab main futsal ni. Tapi bila baik je aku main balik. Memang tak akan serik la kate orang. Korang mesti terpegun kalau tengok video kat bawah ni.






No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas