Sunday, January 23, 2011

Kehidupan Presiden Tunisia Setelah Digulingkan

By Yvonne Ridley
http://beritaislamglobal.blogspot.com – Original English here

January 16, 2010 “Information Clearing House” – Kehidupannya mungkin masih disaluti kemewahan, tapi jangan tertipu kerana hakikat sebenarnya bekas Presiden Tunisia Zine al-Abidine Ben Ali dan keluarganya sekarang tidak ubah seperti banduan.

Umpama burung dalam sangkar emas, mereka kini dipinggirkan dalam istana yang terletak dalam salah satu daerah paling eksklusif di Jeddah di mana Ben Ali dan keluarganya yang korup itu terpaksa menerima hakikat bahawa mereka kini tiada tempat lain lagi untuk bersembunyi.

Ini sepatutnya memberi amaran kepada semua pemerintah yang zalim dan pemimpin diktator di rantau berkenaan – terutamanya Mesir – bahawa tidak kira betapa rapatnya awak dengan Barat, ketika ditimpa kesusahan mereka akan tinggalkan awak lebih cepat dari arang yang menyala.

Sebagai antara seorang penindas paling kejam di dunia, beliau menerima akibatnya sehingga terpaksa menaiki kapalterbang secara tergesa-gesa untuk menyelamatkan diri ke tempat yang dia sendiri tidak tahu. Begitulah cepatnya beliau pergi.

Kami dimaklumkan bahawa beliau ke Malta, kemudian Perancis dan Dubai dan setengah dozen negara-negara lain, semuanya tidak menerima diktator yang berusia 74 tahun itu.

Lelaki yang terdesak itu akhirnya diterima untuk mendarat di Bandar pelabuhan Jeddah Jumaat lalu dan tiba di sana pada waktu tengah malam selapas sekutu rapat beliau Presiden Nicholas Sarkozy menolak permintaannya untuk mendaratkan kapal terbang di bumi Perancis.

Sementara itu panggilan kecemasan yang dibuat ke White House hotline dan Obama tidak dilayan.

Sekali lagi Amerika telah membuktikan dirinya sebagai seorang kawan yang tidak setia sama seperti yang dialami Almarhum Mohammad Reza Shah Pahlavi apabila beliau hidup dalam buangan selepas regimnya di Iran digulingkan dalam Revolusi Islam 1979. Bekas Shah itu menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Mesir, dipinggirkan dan dijauhi oleh pemimpin-pemimpin Barat yang sama yang pernah menyokongnya dahulu.

Kerajaan Saudi enggan menetapkan berapa lama beliau akan dilayan sebagai tetamu tapi saya rasa ramai tentera yang dikerahkan berkawal di pintu pagar istana itu bukanlah bertujuan untuk melindungi beliau tetapi bagi memastikan supaya beliau terus berada di dalam kawasan bertembok tinggi itu.

Persoalan bagaimana pemimpin sekular itu akan tinggal di bumi Dua Masjid Suci itu diluar pengetahuan saya. Ben Ali merendah-rendahkan Islam hingga ke tahap di mana beliau memastikan supaya para penguatkuasa ganasnya menyakiti dan menghukum mereka yang memakai hijab dan menyimpan jambang dan janggut.
Sebagai contoh, Menteri-Menteri Luar dan Dalam Negara dan Setiausaha Agung parti politik yang memerintah Tunisia, CDR, membuat kenyataan beberapa tahun lalu bahawa mereka berasa bimbang dengan peningkatan wanita-wanita yang memakai hijab dan lelaki yang menyimpan jambang dan janggut dan memakai qamis (baju labuh), sehingga membawa kepada perlaksanaan tegas perintah 108 tahun 1985 Kementerian Pelajaran yang mengharamkan hijab di institusi-institusi pengajian dan semasa bekerja dengan kerajaan.
Polis Tunisia memaksa wanita Islam di negara itu membuka tudung klik di sini
Polis mengarahkan wanita menanggalkan tudung sebelum memasuki sekolah, universiti atau tempat kerja dan bahkan di jalanan (gambar bawah). Amnesty International melaporkan pada waktu itu bahawa beberapa wanita ditahan dan dibawa ke balai polis di mana mereka dipaksa untuk menandatangani komitmen untuk berhenti memakai hijab.

Mungkin seseorang perlu mengingatkan kerajaan Saudi tentang perkara itu supaya Ben Ali boleh didakwa di bawah undang-undang Syari’ah.

Kebencian dan ketakutan Ben Ali kepada Islam boleh juga dilihat di Mesir di mana Hosni Mubarak memerintah secara kuku besi. Penjara-penjara padat dan penuh dengan anggota-anggota Ikhwanul Muslimin dan suara-suara pembangkang dikawal setiapkali tiba musim pilihanraya.

Pengkhianatan Mubarak terhadap rakyat Palestin dan ketakutannya pada Hamas menyerlahkan sikap sekular dan cara hidup beliau yang bertentangan dengan Islam.

Saya diminta meninggalkan Kaherah pada Disember 2009 oleh Kementerian Luar selepas menulis sebuah artikel yang mengatakan Mubarak telah menjadikan Mesir sebagai budak suruhan Amerika di Timur Tengah kerana beliau dengan rela menerima sejumlah besar wang AS sebagai balasan kerana menekan penduduk Gaza dan menyokong Israel.

Tapi sekarang beliau mungkin tertanya-tanya samada sikap berbaik-baik dengan negara Uncle Sam itu memang berbaloi.

Lagipun, tiada yang sujud kepada Amerika lebih daripada Ben Ali. Malahan pada 2005, beliau diminta menghulurkan tangan persahabatan dengan Zionis Israel, iaitu negara yang pernah mengebom negaranya sendiri semasa ibupejabat Yasser Arafat terletak di Tunis pada 1986.

Adakah beliau membantah? Tidak, malah Ben Ali pergi lebih jauh lagi dengan menjemput penjenayah perang Ariel Sharon untuk melawat Tunisia. Kenapa jadi begitu penakut?

Sama seperti raja Tunisia terdahulu yang zalim, beliau dengan senang hati mencium punggung Zionis semasa menari belly di hadapan pemimpin-pemimpin Barat yang beliau anggap sebagai sekutu rapat.

Jadi, ke mana pergi kawan-kawannya sekarang?

Dia tiada kawan, rumah dan diaibkan.

Wartawan British Yvonne Ridley adalah Presiden Kesatuan Wanita Muslim Antarabangsa Eropah. Beliau pernah berada di Tunisia pada Februari 2009 bersama konvoi Viva Palestina. 
Bantahan rakyat (atas) dan rumah ipar Ben Ali turut jadi mangsa (bawah)


p/s : Syukur kehadrat Illahi. Semoga rakyat Tunisia umumnya, dan Muslim Tunisia amnya hidup dengan aman setelah kejatuhan pengkhianat Islam ini.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas