Tuesday, July 1, 2014

Neelofa Ambil Keputusan Berhijab

PETALING JAYA: Kehadiran Ramadan berjaya membuka hati pelakon Neelofa untuk berubah selepas dia memilih untuk memakai tudung.

Pengurus kepada pelakon itu, Mohd Amer Shafiq Khalip atau lebih dikenali sebagai Shawn Amer berkata, Neelofa, 25,  membuat keputusan berkenaan pada Selasa (hari ini) dan langkah itu adalah satu perubahan positif buat dirinya.


"Benar, Neelofa sudahpun berhijab dan dia telah mengesahkan perkara tersebut kepada saya pada hari ini (Selasa).

"Dia juga melihat perubahan yang dilakukannya adalah satu perkara yang positif buat dirinya," katanya kepada mStar Online.

Shawn diminta mengulas mengenai kenyataan adik pelakon itu, Ameera, yang memuat naik foto Neelofa bertudung di Instagram miliknya dengan kapsyen rasa bersyukur dengan perubahan yang dilakukan oleh kakaknya itu lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.


Foto Neelofa yang sudah bertudung yang dimuat naik oleh adiknya, Ameera.

Neelofa tidak dapat dihubungi memandangkan dia sedang membuat rakaman suara bagi program Meletop yang akan bersiaran secara langsung pada malam Selasa di Astro Ria pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Shawn berkata, sebelum membuat keputusan untuk berhijab, dia sudah mula memakai tudung secara perlahan-lahan sejak tiga bulan lalu.

"Alhamdulillah, berdasarkan pemerhatian saya, Neelofa berubah secara perlahan-lahan dan sejak tiga bulan lalu, dia kerap berhijab. Tidak sangka pula dia melakukan perubahan secepat ini.

"Bukan sahaja lebih positif tetapi wajahnya dilihat sentiasa gembira. Apa-apapun kita mendoakan yang terbaik untuknya," ujarnya- Mstar

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas