Marang: Tiga kali Maghrib, tiga kali terbakar. Itulah insiden pelik dialami seorang pemilik rumah apabila kediamannya di Kampung Berangan Pak Ayu, di sini, musnah dalam kebakaran buat kali ketiga jam 7.45 malam, kelmarin.
Menurut adik mangsa, Khairudin Awang, 17, rumah milik kakaknya, Rosnani Awang, 34, sudah terbakar dua kali sebelum ini iaitu pada akhir Ogos dan minggu lalu dengan kejadian pertama hanya terbakar di bahagian belakang rumah manakala kali kedua pula membabitkan kebakaran di bilik utama.
Katanya, kedua-dua kebakaran sebelum ini sempat dipadamkan penduduk, namun kebakaran kali ketiga kelmarin disedari penduduk ketika api sudah merebak ke seluruh bahagian rumah.
Menurutnya, kakaknya hanya sekali-sekala tinggal di rumah itu ketika pulang ke kampung berikutan mempunyai sebuah rumah lain di Jenang, di sini.
“Apa yang menghairankan, ketiga-tiga kebakaran itu semuanya terjadi pada waktu Maghrib sehingga menimbulkan pertanyaan ramai pihak dan saya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
“Api yang mulai merebak tidak sempat dipadamkan kerana ketika itu, saya baru pulang bekerja dan ahli keluarga lain tiada di rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Pembantu tukang rumah itu berkata, dia hanya mampu melihat dari jauh kebakaran berkenaan meranapkan rumah kakaknya dalam masa setengah jam dan menganggarkan kerugian melebihi RM30,000.
“Kebakaran kali ketiga menyebabkan keseluruhan struktur rumah ini musnah dan tiada apa yang mampu diselamatkan bomba,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment