Friday, September 13, 2013

2 Lelaki ditahan miliki senapang buatan sendiri


Alor Setar: Tindakan dua lelaki berketurunan Siam memiliki senapang buatan sendiri untuk kegunaan menembak tupai di kebun mengundang padah apabila ditahan polis secara berasingan di sekitar Sik, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, seorang daripada dua suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu ditahan pada jam 2.30 pagi, manakala rakannya ditahan satu jam selepas itu.

Sumber berkata, dua laras senapang buatan sendiri itu ditemui di dalam sebuah rumah berdasarkan maklumat awam sebelum gerakan menjejaki dua lelaki terbabit dilakukan sejurus selepas penemuan berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, senapang buatan sendiri itu menggunakan peluru penabur dan ia bukan saja boleh mencederakan orang lain, malah mampu membawa maut.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, kedua-dua suspek itu ditahan dan siasatan terperinci masih dijalankan untuk mengesan jika ada individu lain terbabit dengan pembuatan senapang angin berkenaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan tidak kurang dari enam sebatan. “Saya juga menyeru kepada semua individu yang memiliki senapang buatan sendiri supaya menyerahkan senjata berkenaan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan,” katanya.

Mengulas perkembangan Ops Cantas Khas di Kedah, Ahmad berkata, sehingga semalam, pihaknya sudah menahan 37 individu mengikut Akta Pertubuhan 1966 selain merampas empat pucuk pistol, tujuh raifal tempur, tiga senapang angin buatan sendiri dan beberapa bilah senjata tajam.

Sumber: Metro Online

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas