Kuantan: Dua pemain bola sepak Liga Super Pahang dicekup berkhalwat bersama pasangan masing-masing di sebuah hotel terkemuka di bandar ini, awal pagi kelmarin.
Sumber berkata, pemain terbabit ditahan jam 4 pagi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menyerbu hotel berkenaan selepas menerima aduan orang awam apabila mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan mahram.
“Berdasarkan maklumat diterima, anggota penguat kuasa JAIP terus melakukan pemeriksaan dan mendapati mereka berada dalam keadaan mencurigakan bersama pasangan masing-masing di bilik berlainan,” katanya yang dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, pemeriksaan di bilik pertama mendapati pemain bola sepak berusia 27 tahun itu sedang berdua-duaan dengan wanita yang bukan mahramnya. “JAIP yang melakukan pemeriksaan di sebuah lagi bilik turut menahan rakannya yang juga berusia 27 tahun kerana disyaki berkhalwat bersama pasangan bukan mahram,” katanya.
Beliau berkata, pihak penguat kuasa terpaksa mengetuk pintu bilik beberapa kali serta memperkenalkan diri sebelum mereka membuka pintu.
“Siasatan awal mendapati mereka yang belum berkahwin mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing berusia 20-an,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pemain terbabit yang masing-masing bermain di posisi pertahanan dan tengah untuk pasukan Tok Gajah dibawa ke pejabat JAIP.
“JAIP menahan mereka untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Pahang Dollah Salleh enggan mengulas perkara itu kerana tidak mendapat maklumat lanjut mengenainya.
“Saya tidak mahu ulas sebab tidak mendapat maklumat tepat mengenai perkara itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment