SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta kepada saf kepimpinan Pas yang telah dipilih bagi penggal baharu 2015-2017.
Katanya bagi pihak PKR, mereka menerima baik ucapan dasar Presiden Pas yang menegaskan perlunya istiqamah dalam perjuangan menentang kezaliman di Malaysia dan prinsip tahaluf siyasi yang terus menjadi teras bersama rakan-rakan seperjuangan di dalam PR.
“Perjalanan kita masih jauh, dan pelbagai cabaran, dugaan dan fitnah politik jahat rekayasa musuh perlu kita tempuhi bersama dalam semangat persaudaraan dan kekeluargaan.
“Walau kita telah berjaya memperoleh 52% undi popular dalam PRU13 yang lalu, tetapi waqie politik tanah air memerlukan kita bersatu tenaga dan usaha.
“Dengan berpegang kepada prinsip musyawarah serta Dasar Bersama Pakatan Rakyat, insya-ALLAH kita akan dapat menyelesaikan masalah dan akhirnya mengalahkan musuh politik utama kita yakni Umno-BN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya lagi, oleh itu, PR perlu melihat kepada titik-titik pertemuan yang dapat membina harapan untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Kerana kita dibelenggu masalah dari GST, harga barang yang meningkat, hutang negara yang membengkak, rasuah dan kezaliman rejim yang kian menjadi-jadi, serta ketiadaan kepimpinan moral dalam pelbagai isu yang dihadapi negara.
“Oleh itu Yang jauh, marilah kita dekatkan. Yang keruh, marilah kita jernihkan. Yang batil, marilah kita terus lawan, demi Malaysia yang lebih baik,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment