Terimakasih atas kepercayaan perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke 61, yang memilih saya dalam kelompok AJK Kerja PAS Pusat sesi 2015-2017. Amanah ini amat berat, manakala harapan rakyat begitu tinggi.
Buat tempoh tertentu, saya mahu menumpukan perhatian terhadap Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) yang mempunyai pejabat baru di Ukay Perdana. Memperkasa organisasi dan menangani isu FGV serta kebajikan warga Felda adalah fokus utama. Ia disentuh dalam Ucapan Dasar Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.
Sungguh pun komitmen terhadap Ngo Anak akan diteruskan, kemelut dalaman parti telah memberi kesan yang mendalam terhadap diri saya. Sebagai manusia biasa dan penglibatan dalam PAS sejak tahun 1986, situasi ketika ini paling mencabar dan menuntut kesabaran yang tinggi.
Apatah lagi ramai rakan akrab puluhan tahun berjuang dan berkorban telah tewas dalam pemilihan. Saya amat sedih dengan suasana ini dan mengganggu emosi saya. Ia detik yang sukar; kepada Mu Ya Allah, hamba Mu memohon pertolongan.
Justeru, saya akan umumkan dalam masa yang sesuai, samada kekal sebagai AJK Kerja PAS Pusat atau membuat keputusan melepaskan jawatan. Apa pun keputusan yang saya buat, perjuangan mendaulatkan Islam dan pembelaan terhadap nasib rakyat adalah keutamaan hidup. Ia segala galanya dalam hidup saya.
Moga Allah beri kekuatan kepada hambaNya ini.
Mazlan Aliman
5 Jun 2015
No comments:
Post a Comment