Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini memberi peringatan kepada semua ahlinya tentang sejarah parti itu bahawa pemimpin tertinggi parti yang bersama parti atau pertubuhan lain, akan "tenggelam".
Peringatan itu terkandung dalam surat terbukanya kepada anggota parti hari ini tanpa menamakan mana-mana pihak dalam PAS.
"Setiap ahli PAS mestilah bersama dengan jamaah yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.
"Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
"Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah," kata Hadi.
Dalam surat itu, Hadi turut mengingatkan anggota supaya memahami dan menghayati dua aspek penting iaitu istiqamah dengan akidah perjuangan dan pendekatan dakwah bagi melaksanakan Islam, bagi mengelak kecundang atau tercicir dalam perjuangan.
Katanya, kedua-dua aspek itu dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sababat sewaktu lemah dan kuat, serta belum wujudnya negara dan setelah tegaknya negara.
"Kedua-dua aspek tersebut mewajibkan hidayah, melalui ilmu, kebijaksanaan dan terpentingnya memohon petunjuk Allah dengan khusyuk setiap rakaat salat dan bila-bila masa sahaja," katanya.
Mengulas lanjut, Hadi berkata perjuangan Islam berbeza dengan ideologi ciptaan manusia, malah beliau menyeru supaya ahli konsisten melaksanakan pendekatan yang dizinkan Allah.
Katanya, perkara tersebut perlu dengan mengambil kira hukum halal dan haram termasuk dalam berhubungan dengan bukan Islam dan musuh tetapi bertegas dalam akidah.
Beliau memberi dalil Al-Quran, hadith serta sejarah Rasulullah SAW dan para sahabat khususnya dalam melaksanakan arahan berhijrah Madinah sehingga tertegaknya negara yang mempunyai masyarakat majmuk berbagai agama, kaum dan sikap.
"Ayat-ayat al-Quran tersebut bermaksud bahawa Allah menunjukkan kepada kita supaya berlaku baik kasih sayang terhadap seluruh manusia mengikut sempadannya.
"Maka Rasulullah SAW, menjalinkan segala pendekatan hubungan dengan kalangan bukan Islam, secara bertahaluf, berta’awun, berdamai, memaaf kesalahan dan lain-lain.
"Apabila berlakunya sikap bermusuh yang mahu merosakkan Aqidah maka dibatalkan segala bentuk hubungan walupun terhadap kaumnya di Makkah. Menunjukkan banyaknya keterbukaan dalam perkara pendekatan dan sangat tegas dalam perkara Aqidah perjuangan," katanya. - Mkini
No comments:
Post a Comment