Monday, June 15, 2015

DOA SEMOGA KAPAL TANGKI PETROL SELAMAT DIJUMPAI

Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

1. Kehilangan sebuah kapal tangki MT ORKIM HARMONY yang membawa muatan petrol RON95 begitu mendukacitakan. Ia dipercayai hilang pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Selidi, Kota Tinggi pada awal pagi 12 Jun yang lalu.

2. Kapal tangki yang membawa kira-kira 6,000 tan metrik petrol ini dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan. Tambahan pula, ia dianggotai 22 orang kru ; 16 orang daripadanya adalah warganegara Malaysia, lima orang warganegara Indonesia dan bakinya berwarganegara Myanmar.

3. Kehilangan kapal tangki tersebut merupakan satu tragedi kepada negara. Episod duka ini berterusan melanda negara sejak kehilangan pesawat MAS jenis MH370 tahun lalu.

4. Operasi mencari dan menyelamat perlu dipergiatkan di semua peringkat. Selain itu, kerjasama dari negara jiran juga amat ditagih bagi memudahkan usaha pencarian tersebut. Kita juga harus berwaspada dengan sebarang aktiviti lanun yang tidak mustahil bertapak di perairan tersebut dan menjadi punca kehilangan kapal terbabit.

5. Menurut laporan media, kawasan pencarian diperluas sehingga meliputi 50,000 kilometer persegi dan merentasi sepanjang perairan Tanjung Penawar hingga ke Mersing. Ia juga berkemungkinan merentasi ke sempadan perairan negara jiran.

6. Mari bersama berdoa untuk keselamatan anak-anak kapal dan semoga kapal tangki tersebut kembali dijumpai. Semoga operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan lancar, selamat dan berjaya.

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas