PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM500 dan juga kadar baru terendah Imbuhan Tetap Perumahan dinaikan RM300 dari RM180 sebulan.
Pengumuman itu dibuat di perhimpunan bersama penjawat awam, Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang keempat belas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Kenaikan kadar imbuhan itu bagaimanapun hanya melibatkan penjawat awam gred 41 ke bawah sahaja. Bagi penjawat awam yang tinggal di kuarters kerajaan pula akan mendapat tambahan 25% dari Imbuhan Tetap Perumahan itu. Kadar baru itu akan berkuatkuasa mulai 1 November 2015.
"Bagi membantu meringankan beban penjawat awam, saya umumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500 untuk penjawat awam dan RM250 kepada pesara kerajaan yang akan dibayar pada 25 Jun. Perbayaran ini melibatkan kos RM1 bilion," katanya sebelum mengakhiri ucapan.
Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta gaji minimum penjawat awam dinaikan kepada RM1,200 sebulan dari RM900 bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
CUEPACS juga turut meminta agar elaun rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diseragamkan berikutan kadar sewa rumah pada masa ini agak tinggi. - THEHYPEMEDIA.COM
No comments:
Post a Comment