Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS mengkaji semula keputusan muktamar parti Islam itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP.
Bekas timbalan perdana menteri itu menyatakan rasa kesal dan bimbang kerana keputusan tersebut akan menjejaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.
“Saya kesal dengan usul untuk memutus hubungan dengan DAP yang telah diterima di Muktamar PAS. Saya gesa rakan politik kami PAS untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas, dan agar ia tidak dilaksana pada ketika ini.
“DAP yang telah lama menjadi teman dan rakan seperjuangan, terus komited dengan perjuangan untuk membawa perubahan,” katanya.
“Saya juga tahu yang DAP bersama kami dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan menjadi pilihan alternatif rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara mengirim kenyataan tersebut melalui anggota biro politik PKR, N Surendran yang juga MP Padang Serai.
Pesanan sama turut dikirim kepada pemimpin utama PAS dan DAP, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang, katanya.
Bekas MP Permatang Pauh itu juga berkata, PAS perlu menilai harapan penyokong Pakatan yang berharap agar gabungan parti itu akan dapat menyelesaikan masalah politik dan ekonomi bawah BN.
“Di bawah BN, keadaan semakin teruk. Rakyat terbelenggu dengan GST dan hutang mahabesar 1MDB; manakala polemik perkauman dan agama masih belum reda,” katanya. - Malaysiakini
No comments:
Post a Comment