Pemimpin lantang PAS Khalid Samad berkata beliau rela dimaki susulan pandangannya berkaitan ucapan kontroversi menyentuh isu hudud oleh ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang baru-baru ini.
“Ya, saya tahu dan faham bahawa saya akan turut ‘dibaruakan’ atas sebab tulisan saya ini. Biarkan. Golongan yang tiada hujah akan menggunakan pendekatan caci maki.
“Biasalah. Kalau sudah akhlak mereka begitu, memang tidak mampu saya katakan apa-apa. Namun bukan keredhaan mereka yang saya inginkan pun, maka ada saya kisah? ” katanya sambil menegaskan hanya Allah tempat mengadu.
Beliau hari ini mempertahankan ucapan Lim (kanan) pada 10 Mei lalu di Kota Bahru yang didakwa menghina hudud dan Islam.
Menulis dalam blognya, Khalid menyifatkan apa yang berlaku sebagai budaya “Islam tanpa akhlak” dalam parti Islam itu.
“Kononnya wujudnya golongan 'Islam tanpa syariat' turut merupakan tuduhan melulu golongan “Islam tanpa akhlak”.
“Kalau akhlak yang asas pun tiada, jangan bersyarah mengenai syariat! ” katanya.
Politik musim pemilihan
Khalid juga mengaitkan serangan terhadap Lim itu dengan politik dalaman PAS ketika musim pemilihan pucuk kepimpinan parti.
“Maklumlah tahun pemilihan. Mungkin boleh dijatuhkan orang-orang tertentu dan menangkan yang tertentu. Ingin jatuhkan Timbalan Presiden atau Ketua Dewan Muslimat?
“Atau cuba tunjuk kononnya ‘hero’ sanggup sanggah DAP,” soalnya lagi.
Pemilihan PAS akan berlangsung awal bulan depan.
Pergi lebih jauh, Khalid membangkitkan persoalan sama ada terdapat usaha untuk mengeluarkan PAS daripada Pakatan dengan menanam kebencian terhadap parti rakan.
“Tidakkah mereka sedar bahawa melalui tuduhan 'DAP anti-Islam' mereka menjadi bagaikan suara Umno atau PERKASA dalam PAS?
“Mustahil tidak nampak implikasinya. Kecuali benar-benar buta politik!” katanya. - Mkini
No comments:
Post a Comment