Terkejut dengan pengumuman hari ini tentang kenaikan tambang teksi murah, bas ekspres dan KTM Komuter, pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati mereka.
Ramai yang mengatakan kenaikan tambang tersebut dilaksanakan sejurus sebelum rakyat Malaysia dapat menyesuaikan dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam masa 2 minggu lagi.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan tambang teksi meningkat 43% mulai hari ini sementara tambang bas ekspres naik sebanyak 23% mulai 15 Mei.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan mengatakan tambang baru bagi perkhidmatan komuter akan diumumkan pada 1 April dengan kadar baru yang berkuat kuasa pada1 Mei.
Erna Mahyuni melalui Twitternya @ernamh mengatakan: "Saya boleh terima 5-10% kenaikan tambang untuk seimbangkan dengan inflasi. Tetapi 40% secara mendadak? Yang miskin tidak dapat menyerap kenaikan sebegitu."
Seorang lagi pengguna Twitter Akmal Saufi MK (@akmalsaufi) berkata: "Kenaikan harga yang diluluskan SPAD dengan ketidaktentuan GST merupakan kejutan berganda bagi rakyat. Umno dan BN perlu melawan. Lawan untuk kami.
"Kami belia tidak akan terima begitu sahaja kenaikan harga ini. Peningkatan pendapatan belia tidak cukup pantas untuk menampung kos sara hidup sebegini."
Di bawah kadar baru yang diumumkan SPAD hari ini, tambang teksi bajet di Kuala Lumpur akan meningkat ke 25sen/200m daripada 10sen/115m.
Juga dilaporkan, tambang permulaan teksi kekal pada RM3.
Tambang bas ekspres akan meningkat ke 11.4 sen/km daripada 9.3 sen/km.
Ini bermakna perjalanan bas dari Ipoh ke Kuala Lumpur akan menjadi RM25.30 dari 1 April berbanding RM20.60 pada ketika ini.
Beberapa pengguna Internet berkata kenaikan tambang hanya akan melemahkan semangat orang awam daripada menggunakan teksi atau bas ekspres.
Ada yang menulis tweet mengatakan mereka akan memandu kereta sendiri daripada mengambil teksi.
Cina (@YouTiup) berkata: "Kenaikan 40% tambang teksi. Saya rasa patut memandu kembali."
Seorang pengguna Twitter mempersoalkan rasional menjadikan pengangkutan awam lebih mahal sementara usaha untuk menggalakkan rakyat bagi menggunakannya patut dijalankan.
QJ (@qayzr) berkata: "Hairan negara ini. Kita bukannya berbangga dengan pengangkutan awam kita dan kini, hello kenaikan tambang."
Seorang lagi menulis tweet yang nakal ditujukan kepada seorang menteri Kabinet.
Ram (@ramachandran_m) menulis: "Jadi di mana menteri yang menggesa boikot perniagaan Cina bila sekarang kerajaan sudah umumkan kenaikan tambang pengangkutan awam?" merujuk kepada komen Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang menyeru supaya perniagaan Cina diboikot kerana tidak menurunkan harga apabila harga minyak turun.
Rakyat Pulau Pinang juga akan berdepan tarif air di negeri tersebut dinaikkan apabila kadarnya akan disemak semula bermula 1 April.
Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Jaseni Maidinsa mengumumkan hari ini pengguna air domestik akan membayar purata 16.7% lebih kadar tarif air berkuat kuasa 1 April.
Pengguna domestik yang menggunakan 20,000 hingga 35,000 liter sebulan akan membayar maksima hanya RM0.60 sebulan untuk bil air, katanya dan menambah hanya mereka yang menggunakan lebih 35,000 liter air sebulan akan membayar lebih mengikut penggunaan air mereka.
Kadar yang disemak semula itu tidak akan melibatkan penggunaan pertama 0-20 meter padu sebulan pada 22sen/m3. Langkah ini adalah untuk memberi ganjaran kepada mereka yang menjimatkan air.
Pengguna Internet juga berkongsi pautan pada media sosial mereka, dengan kritikan terhadap kenaikan tambang.
Orde Baru (@hashimrahim) menulis: "Naikkan tarif air until mengurangkan penggunaan, ini alasan yang bodoh."
Walaupun dengan kenaikan tersebut, tarif air Pulau Pinang dilaporkan masih lagi terendah di dalam negara dibandingkan dengan negeri lain, pada RM0.32 setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter pertama. - TMI
No comments:
Post a Comment