Tuesday, August 5, 2014

PAS tetap mesyuarat 10 Ogos biarpun PKR pecat Khalid

KUALA LUMPUR: PAS tetap dengan pendirian mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor biarpun PKR berkemungkinan akan memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu.

Sumber dalaman PAS memberitahu, kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor tidak akan terjejas biarpun dipecat dari PKR dan keadaan ini membuatkan PAS akan bertegas dengan keputusannya.

"Hanya undi tidak percaya dari Adun-Adun menerusi sidang Dun sahaja mampu untuk gugurkan Tan Sri Khalid dari jawatan menteri besar.

"Kalau dipecat dari parti, kedudukan beliau tidak terjejas dan masih boleh meneruskan tugas seperti biasa sehingga adanya undi tidak percaya dari majoriti Adun dalam sidang Dun," kata sumber PAS itu kepada Astro AWANI.


Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu Astro AWANI jika mengikut Perkara 53 fasal 6, Perlembagaan negeri Selangor, jika undi tidak percaya dalam sidang Dun bersetuju Abdul Khalid perlu melepaskan jawatan, masih terdapat dua pilihan untuk dilakukan.

"Pertama, Tan Sri Khalid dan barisan exco yang dilantik beliau, semuanya perlu meletak jawatan, bukan hanya menteri besar.

"Aatau yang kedua, Tan Sri Khalid selaku menteri besar boleh menasihatkan Sultan Selangor supaya membubarkan DUN bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan," katanya.

Manakala penganalisis politik  PAS, Mohd Sayuti Omar berpendapat, jika Abdul Khalid seorang pemimpin yang mempunyai integriti, beliau perlu menasihatkan Sultan supaya membubarkan Dun sebelum undi tidak percaya dilakukan.

Katanya, jika Abdul Khalid hanya menasihatkan Sultan selepas undi tidak percaya maka banyak pihak akan mempertikaikan tindakannya itu.

"Dari segi perlembagaan, memang Tan Sri Khalid masih boleh nasihatkan Sultan untuk bubarkan Dun biarpun mendapat undi tidak percaya dari Adun.

"Tetapi sebagai seorang pemimpin yang bercakap soal integriti dan sebagai pemimpin yang bermaruah, beliau sepatutnya nasihatkan Sultan sebelum adanya usul undi tidak percaya," katanya kepada Astro AWANI.

PAS Pusat dijadualkan akan mengadakan mesyuarat pada 10 Ogos ini bagi membincangkan hasrat PKR yang menamakan presidenya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Abdul Khalid.

Sementara itu, Jawatankuasa Disiplin PKR telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid yang didakwa engkar keputusan parti.

Abdul Khalid perlu menjawab surat tersebut apada atau sebelum 8 Ogos ini, dan kemungkinan berdepan dipecat dari PKR akibat kesalahannya itu. - Astro

No comments:

Post a Comment

Gambar Belangkas