Malaysia yang berada tiga anak tangga di atas lawannya itu dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) - Malaysia di tangga ke 140, Hong Kong 143 - memastikan reputasi sebagai juara Sukan SEA dan Piala Suzuki AFF tidak tercalar pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Pada babak pertama, Malaysia lebih tenang mengawal permainan dengan barisan tengah dikemudi Safiq, beberapa kali berjaya membuat umpanan cantik kepada jentera serangan, Mohd Safee Sali dan Ahmad Fakri Saarani. Rembatan Safee pada minit ke-13, berjaya ditepis Yap Hung Fai dan terkena tiang. Minit ke-24, Fakri pula hampir menewaskan kubu terakhir Hong Kong, tetapi tandukannya sedikit tersasar.
Seminit sebelum rehat, kapten negara akhirnya melunaskan tanggungjawab membuka jaringan dengan memperdaya tiga pertahanan lawan sebelum merembat melepasi Hung Fai untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan 1-0.
Minit ke 53 dan 58, Rajagobal memasukkan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Farizal Marlias menggantikan Fakri di jentera serangan dan Khairul Fahmi Che Mat di kubu terakhir. Malaysia terus mengawal permainan tetapi gagal menambah jaringan.
Dua lagi pertukaran dilakukan Rajagobal pada minit ke-64, memasukkan Amirulhadi dan Mohd Sabre Mat Abu, dan mengeluarkan Mohd Ashaari Samsuddin serta Mahali Jasuli. Malaysia hampir menambah jaringan menerusi tendangan percuma yang ditolak Safiq kepada Aidil, tetapi rembatan pemain pertahanan itu sedikit tersasar.
Peluang negara menggandakan jaringan sekali lagi dinafikan apabila rembatan Kunanlan dalam kotak penalti terkena palang gol pada minit ke-80. Selang tiga minit, sepakan percuma Safiq dari luar kotak penalti terkena benteng Hong Kong. Amirulhadi melengkapkan kemenangan 2-0 negara selepas melepasi perangkap offsaid Hong Kong dan mudah menewaskan Hung Fai.
Sumber: Berita Harian
Nota Dahi: Tahniah skuad Kebangsaan Malaysia kerana berjaya mengekalkan reputasi sebagai juara Asia Tenggara dengan menewaskan Hong Kong malam tadi. Diharapkan pencapaian ini akan berterusan. Perlawanan tersebut menjadi perlawanan terakhir bagi Safee Sali sebelum dia akan berpindah ke sebuah kelab dari Indonesia iaitu Pelita Jaya. Difahamkan gaji yang akan beliau terima mencecah RM30,000 sebulan bersama kelab barunya itu.
No comments:
Post a Comment